Bengkel Penyediaan Pelan Strategik Jabatan Mufti Seluruh Malaysia
Tarikh:
22 November 2009 - 11:17am - 24 November 2009 - 11:17am
Lokasi:
Hotel Empress, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor
Bahagian Pengurusan Fatwa JAKIM telah mengadakan Bengkel Penyediaan Pelan Strategik Jabatan Mufti Seluruh Malaysia pada 22 - 24 November 2009 bertempat di Hotel Empress, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor Darul Ehsan.
Bengkel ini diadakan ialah untuk merancang dan merangka Pelan Strategik Jabatan Mufti Seluruh Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang supaya selaras dengan Pelan Strategik JAKIM 2009-2014 yang telah dilancarkan. Objektif Bengkel ini diadakan ialah untuk:
Ø Memahami secara mendalam konsep dan kaedah perancangan strategik serta kemahiran mengaplikasi teknik-teknik pengurusan strategik;
Ø Menjelaskan peranan dan tanggungjawab pengurusan atasan dalam proses perancangan, pelaksanaan dan pemantauan pelan strategik Jabatan;
Ø Memberi peluang untuk bertukar-tukar pendapat dan pengalaman dalam proses penyediaan pelan strategik Jabatan; dan
Ø Menyediakan draf pelan strategik Jabatan Mufti;
Puan Hajah Wan Morsita binti Wan Sudin, Pengarah Bahagian Pengurusan Fatwa semasa menyampaikan ucapan semasa pembukaan bengkel tersebut telah menekankan tentang pentingnya Jabatan Mufti merangka pelan strategik untuk lima tahun akan datang bagi menjelaskan hala tuju dan rangka kerja khususnya dalam merancang dan membangunkan program-program baru yang menjadi keperluan semasa masyarakat Islam di samping meneruskan kesinambungan tugasan sedia ada. Beliau turut menjelaskan bahawa pelan yang digubal ini perlu mengambil kira isu-isu dan cabaran semasa yang sedang dihadapi oleh umat Islam.
Seramai 40 orang peserta telah menghadiri Bengkel selama tiga hari dua malam ini terdiri dari Timbalan Mufti dan Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Mufti seluruh Malaysia. Bengkel ini dikendali dan dibimbing sepenuhnya oleh En. Mohamed Musaddik bin Abdul Majid, Pegawai Sekretariat Majlis Penasihat Ekonomi Negara Jabatan Perdana Menteri yang juga sebagai fasilitator.
Semua peserta telah memberikan komitmen yang tinggi dalam setiap perbincangan kumpulan dan pembentangan yang diadakan. Meski pun tempoh masa agak singkat, Bengkel ini telah berjaya mencapai objektif yang diharapkan iaitu menghasilkan Draf Pelan Strategik Jabatan Mufti 2010-2014. Draf Pelan Strategik yang disediakan ini akan dikemas kini oleh Bahagian Pengurusan Fatwa selaku penyelaras setelah mendapat maklum balas tambahan daripada negeri-negeri. Seterusnya akan dibawa ke pihak pengurusan atasan untuk kelulusan dan dibukukan sebagai dokumen rujukan kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti seluruh Malaysia dalam melaksanakan tugasan mereka.

Penerangan Penyediaan Pelan Strategik Oleh Fasilitator.

Sesi Perbincangan Kumpulan.

Sesi Perbincangan Kumpulan.

Sesi Perbincangan Kumpulan.

Sesi Perbincangan Kumpulan.


Penyampaian Cenderamata Kepada Fasilitator.

Sesi Bergambar Selepas Tamat Bengkel.
- 440 reads
Printer-friendly version







