Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pengurusan dan Pembangunan Fatwa Kali Ke-2

Tarikh: 
19 April 2010 - 3:02pm
Lokasi: 
Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor

Y.Bhg. Tuan Haji Othman bin Mustapha, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pengurusan dan Pembangunan Fatwa (JKPPF) Kali Ke-2 yang telah diadakan pada 19 April 2010 (Isnin)diBilik Syura Utama, Aras 2, Blok Akademik A, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi, Selangor.

Mesyuarat yang bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengah hari telah dihadiri oleh Timbalan/ Pegawai Kanan Jabatan-Jabatan Mufti seluruh Malaysia serta beberapa wakil Bahagian di JAKIM.

Antara isu yang dibincangkan ialah mengenai cadangan untuk menganjurkan Wacana Pendidikan Fatwa secara bersama antara Jabatan-Jabatan Mufti dan JAKIM di negeri-negeri bagi tujuan menyebar dan mendidik masyarakat mengenai isu-isu yang telah dikeluarkan pandangan hukum/ fatwa oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan juga Jabatan-Jabatan Mufti negeri.

Isu lain yang turut dibincang ialah mengenai tindakan susulan terhadap Pelan Strategik Jabatan Mufti: 2010 – 2014 yang telah siap digubal pada bulan Februari 2010 yang lalu. Mesyuarat bersetuju supaya pelan strategik tersebut dijadikan sebagai Pelan Strategik Jabatan Mufti masing-masing dan juga pelan induk bersama antara Jabatan Mufti dan JAKIM dalam usaha memartabatkan institusi fatwa di negara ini.

Sempena mesyuarat pada kali ini juga, satu taklimat berkaitan dengan tatacara permohonan perjawatan bagi tujuan pengstrukturan semula Jabatan-Jabatan Mufti telah disampaikan oleh wakil Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia iaitu Puan Suzina binti Mohd. Thani.

Taklimat tersebut diharap dapat memberi panduan dan membantu Jabatan-Jabatan Mufti dalam usaha untuk mengstruktur dan memperkukuhkan organisasi agensi berkenaan selaras dengan perkembangan dan cabaran semasa.

Ahli-Ahli Mesyuarat daripada Jabatan-Jabatan Mufti.

Mesyuarat JKPPF sedang berlangsung.

Model Struktur Jabatan Mufti.

Wakil dari JPA.

Wakil-wakil dari Jabatan Mufti.

Y.Bhg. Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim ketika mempengerusikan mesyuarat tersebut.