Muzakarah JKF Kali Ke-85
Tarikh:
12 February 2009 - 5:16pm
Lokasi:
Dewan Syura JAKIM, Aras 9, Blok D7, Kompleks D, Putrajaya Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah mengadakan Muzakarah kali pertamanya bagi tahun 2009 pada 12 Februari 2009 bertempat di Dewan Syura, Aras 9, JAKIM. Muzakarah yang merupakan kali ke-85 sejak penubuhannya itu telah dipengerusikan oleh Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin, Pengerusi JKF dan dihadiri oleh seramai 10 orang Sahibus Samahah Mufti-mufti, 4 orang Ahli Dilantik oleh Majlis Raja-Raja dan Ketua Pengarah JAKIM selaku Setiausaha JKF. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Pengarah Bahagian Keurusetiaan dan Perhubungan Antarabangsa, Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pengarah Bahagian Pengurusan Fatwa Dan Pembangunan Ijtihad, JAKIM.
Muzakarah kali ini merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Y.B. Dato’ Seri Hj. Harussani bin Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak di atas penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1430 Hijriah baru-baru ini. Penganugerahan yang merupakan penghargaan negara terhadap sumbangan para ulama’ dalam membangunkan agama, bangsa dan negara amat membanggakan dan perlu dijadikan suntikan semangat dalam mempertingkatkan lagi usaha memartabatkan Islam di negara ini.
Muzakarah juga telah merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Y. Bhg. Dato’ Hj. Mohd. Murtadha bin Hj. Ahmad, mantan Mufti Negeri Sembilan yang telah tamat tempoh lantikan berkuatkuasa pada 31 Disember 2008 di atas sumbangan ilmu yang amat besar kepada JKF dan umat Islam seluruhnya. Beliau merupakan antara ahli JKF yang paling lama dan telah menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan sejak tahun 1987. Muzakarah kali ini juga turut meraikan kehadiran ahli baru iaitu Sahibus Samahah Dr. Juanda bin Jaya, Mufti Kerajaan Negeri Perlis yang baru dilantik pada 1 Februari 2009 menggantikan Y. Bhg. Dr. Mohd. Asri bin Zainul Abidin.
Muzakarah kali ke-85 ini berakhir pada jam 12.45 tengah hari dengan harapan JKF akan berfungsi dengan lebih aktif supaya peranan yang dilaksanakan mampu lebih maju dalam apa jua bidang yang memerlukan pandangan syarak.



- 566 reads
Printer-friendly version





