Muzakarah JKF Kali Ke-86

Tarikh: 
21 April 2009 - 5:19pm - 23 April 2009 - 5:19pm
Lokasi: 
Hotel Legend, Kuala Lumpur
Bertempat di The Legend Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini, Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah mengadakan muzakarahnya bagi kali ke-86 bermula pada 21 hingga 23 April 2009. Muzakarah kali ini telah dihadiri oleh seramai 21 orang ahli yang terdiri daripada Sahibus Samahah Mufti-mufti dan Ahli-Ahli Dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

Sebanyak tujuh (7) kertas kerja telah dibentangkan untuk pertimbangan Muzakarah dan dua (2) sesi taklimat daripada pihak Kementerian Pertahanan Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia juga diadakan bagi menjelaskan isu-isu yang dibentang.
 
Semasa ucapan aluannya, Y.Bhg Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin, Pengerusi JKF merakamkan ucapan tahniah kepada Sahibus Samahah Dato’ Hj. Mohd. Yusof bin Hj. Ahmad yang baru dilantik sebagai Mufti Kerajaan Negeri Sembilan berkuatkuasa pada 1 April 2009 dan juga ucapan tahniah dan penghargaan kepada Y.B Tuan Meor Hashimi bin Abdul Hamid, bekas Ahli Dilantik Jawatankuasa Fatwa, yang kini berkhidmat sebagai Penasihat Undang-undang Negeri Melaka juga berkuatkuasa pada 1 April 2009 lalu.
 
Beliau juga berharap, JKF akan melakukan anjakan paradigma dari masa ke semasa ke arah memperkukuhkan kedudukan institusi fatwa di negara ini.