Persidangan Mufti-Mufti Seluruh Malaysia Kali Ke-5

Tarikh: 
4 Dec, 2009
Lokasi: 
The Puteri Pacific Johor Bahru

Bertempat di The Puteri Pacific Johor Bahru pada 14 hingga 16 Disember 2009 baru-baru ini, Persidangan Mufti-mufti Seluruh Malaysia Kali Ke-5 telah diadakan bagi membincang dan menyelaras isu-isu pengurusan dan pembangunan institusi fatwa supaya ia sentiasa dikemaskini dan diperkukuhkan dari masa ke semasa. Jabatan Mufti Negeri Johor telah menjadi Tuan Rumah bagi Persidangan kali ini.

 
Sebanyak enam (6) kertas kerja telah dibentangkan pada Persidangan kali ini, antaranya mengenai cadangan pengstrukturan semula jabatan-jabatan mufti, cadangan penambahbaikan portel e-fatwa dan laman web jabatan-jabatan mufti, draf Pelan Strategik Jabatan-jabatan Mufti dan cadangan mengadakan program pendidikan fatwa di negeri-negeri. Hasil daripada pembentangan kertas-kertas kerja tersebut, Persidangan telah bersetuju supaya beberapa tindakan segera diambil oleh JAKIM dan Jabatan/Pejabat Mufti Negeri-negeri bagi meningkat dan memperkasakan pengurusan fatwa di negara ini.
 
Persidangan ini telah dipengerusikan oleh Y.Bhg. Dato’ Hj. Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abd. Aziz, Ketua Pengarah JAKIM dan telah dihadiri oleh Sahibus Samahah Mufti-mufti dan Sahibul Fadhilah Timbalan Mufti Negeri, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan JAKIM, Pengarah Bahagian Penyelidikan JAKIM dan Pengarah Bahagian Pengurusan Fatwa JAKIM.
 
Bersempena dengan dengan Persidangan kali ini juga, Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Johor telah berkenan menerima mengadap semua ahli Persidangan di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru. Selain itu, ahli-ahli Persidangan juga telah diberi peluang melawat dan mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Operasi Iskandar Regional Development Authority (IRDA) mengenai pembangunan yang sedang rancak berjalan di   Wilayah Iskandar Malaysia. Persidangan selama 2 hari ini telah berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama yang amat baik daripada Kerajaan Negeri Johor khususnya Jabatan Mufti Johor selaku tuan rumah pada kali ini.
 
Persidangan dipengerusikan oleh Y.Bhg. Dato' Ketua Pengarah Jakim.
 
 
Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Johor telah berkenan bersama-sama peserta persidangan di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.
 
 
Y.Bhg. Dato’ Ketua Pengarah Jakim diberikan taklimat daripada Ketua Pegawai Operasi Iskandar Regional Development Authority (IRDA) mengenai pembangunan yang sedang rancak berjalan di Wilayah Iskandar Malaysia.