Wacana Pendidikan Fatwa: Penggunaan Lafaz Allah

Tarikh: 
28 January 2010 - 4:00pm
Lokasi: 
Auditorium, Blok D8, Kompleks D, Putrajaya

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah berjaya menganjurkan Wacana Pendidikan Fatwa: Penggunaan Lafaz Allah pada 12 Safar 1431H bersamaan 28 Januari 2010M bertempat di Auditorium, Blok D8, Kompleks D, Putrajaya.

Program setengah hari ini telah berjaya menarik minat lebih 1,200 orang peserta yang terdiri dari Pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti, Jabatan dan Majlis Agama Islam seluruh negara, imam-imam dan guru-guru agama Wilayah Persekutuan, wakil-wakil agensi kerajaan sekitar Putrajaya serta pelajar-pelajar IPTA dan IPTS sekitar Lembah Klang.

Objektif utama wacana pendidikan fatwa ini ialah untuk memberi maklumat dan penerangan yang tepat dari sudut Islam dan undang-undang negara mengenai penggunaan lafaz Allah kepada masyarakat Islam. Ini selaras dengan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-82 yang telah pun membuat keputusan mengenai isu tersebut pada 5 – 7 Mei 2008 seperti berikut:

“ Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ”

Perasmian wacana ini telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Dato’ Hj. Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM. Turut hadir Y.Bhg. Prof Dato' Dr. Abdul Shukor bin Hj. Husin, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Sahibus Samahah Dato’ Hj. Ahmad Alawi bin Hj. Adnan, Mufti Kerajaan Negeri Sabah dan sebahagian pengarah Jabatan Agama Islam Negeri.

Dalam ucapan perasmian, Y.Bhg.  Dato’ Hj. Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz menegaskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang perlu dijaga dan amat berkait rapat dengan akidah Islam. Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama, bersikap terlalu terbuka dengan membiarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat berbahaya. Justeru kita semua terpanggil kepada satu perjuangan untuk memperjelaskan konsep tauhid kepada yang bukan Islam bagi  mengembalikan keharmonian di negara ini.

Sebanyak empat kertas kerja berhubung isu penggunaan lafaz Allah ini telah dibentangkan, iaitu: 

Tajuk   :          Keabsahan Penggunaan Nama Allah Hanya Untuk Orang Islam

Oleh    :           Y. Bhg. Dr. Zulkifli bin Muhamad Al-Bakri
                         Penulis dan Pendakwah               

Tajuk   :      Hikmah Di Sebalik Isu Lafaz Allah: Satu Analisa

Oleh    :       Y. Bhg. Us. Hj. Zamihan bin Mat Zin
                     Institut Latihan Islam Malaysia

Tajuk   :       Implikasi Penggunaan Lafaz Allah Oleh Orang Bukan Islam Terhadap Pemikiran Orang 
                     Islam

Oleh    :        Y. Bhg. Us. Mohd. Aizam bin Masod
                      Bahagian Penyelidikan, JAKIM

Tajuk   :        Penggunaan Lafaz Allah Dari Aspek Perundangan

Oleh    :          Y. Bhg. Tuan Hj. Mahamad Nasir bin Disa
                        Timbalan Ketua Bahagian Penyelidikan (Syariah)
                       Jabatan Peguam Negara

Manakala Us. Iszam bin Padil dari Bahagian Dakwah, JAKIM telah bertindak sebagai  moderator sesi pembentangan tersebut.

Semoga wacana ini dapat memberikan penjelasan kepada masyarakat mengenai isu penggunaan lafaz Allah yang telah pun diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sejak tahun 2008 lagi.

 

Y.Bhg. Dato' Ketua Pengarah Jakim menyampaikan ucapan perasmian.

Turut kelihatan Y.Bhg. Prof. Dato' Dr. Abdul Shukor bin Hj. Husin dan S.S. Dato Hj. Ahmad Alawi bin Hj. Adnan.

Ahli- ahli panel Wacana Pendidikan Fatwa.

Para jemputan yang memenuhi Auditorium.