Lawatan Mufti Poland Ke Jakim
”Poland berharap kerjasama dengan Malaysia dalam bidang hal ehwal Islam dapat dijalin terutamanya di bidang halal,” ujar Mr. Ahmad Tomasz Miskiewicz, Mufti Besar Negara Poland semasa mengadakan lawatan kerja ke Jakim pada 29 Mac 2010 Masihi bersamaan 13 Rabiulakhir 1431 Hijri bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 8, Jakim. Mufti Besar Poland turut ditemani oleh isteri beliau Mrs. Barbara Pawlic – Miskiewicz, Ketua Projek Pertubuhan Muslim di Poland serta empat orang pegawai dari Kedutaan Besar Poland di Kuala Lumpur. Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah wakil Bahagian Pengurusan Fatwa, Bahagian Hab Halal, Bahagian Dakwah, Pejabat Penasihat Undang-Undang, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti dan Bahagian Penyelarasan Undang-Undang.
Dalam pertemuan yang sama, video korporat Jakim versi bahasa Inggeris ditayangkan kepada semua para hadirin. Melalui tayangan tersebut, anggota delegasi didedahkan dengan visi, misi dan objektif Jakim sebagai agensi pusat yang merancang pengurusan hal ehwal Islam dan pembangunan ummah di Malaysia. Bagi pendedahan dan pemahaman yang lebih mendalam dalam bidang hab halal di Malaysia, satu video korporat Bahagian Hab Halal Jakim turut ditayangkan kepada semua anggota delegasi.
Dalam ucapan ringkas ketua delegasi, beliau menyatakan golongan minoriti Muslim di Poland tidak mengalami masalah dalam mengamalkan ajaran agama, malahan Kerajaan Poland sentiasa menyokong pembinaan masjid di negara tersebut. Semasa sesi dialog dan soal jawab, beberapa isu halal di peringkat antarabangsa terutamanya dalam memenuhi prosedur permohonan akreditasi badan Islam di luar negara menarik perhatian para hadirin.
Kunjungan delegasi Poland ke Jakim merupakan salah satu agenda delegasi dalam rangka lawatan kerja mereka ke Malaysia. Di akhir pertemuan, pihak delegasi merakamkan penghargaan atas layanan Kerajaan Malaysia sepanjang mereka berada di negara ini dan kedua-dua pihak berharap jalinan kerjasama antarabangsa yang lebih erat dapat dijana menerusi program-program dua hala khususnya dalam pengurusan hal ehwal Islam.
Keterangan Gambar :

Gambar 1: Mr. Ahmad Tomasz Miskiewicz, Mufti Besar Negara Poland dan pegawai kanan Kedutaan Besar Poland merangkap penterjemah

Gambar 2: Delegasi Negara Poland

Gambar 3: Wakil dari Bahagian Pengurusan Fatwa turut hadir

Gambar 4: Perbincangan sedang dijalankan

Gambar 5: Penyampaian cenderamata daripada pihak Jakim kepada delegasi

Gambar 6 : Sesi bergambar kenang-kenangan selepas majlis

Gambar 7 : Perbincangan selepas majlis

Gambar 8 : Wakil Bahagian Pengurusan Fatwa sempat berbincang dgn Mufti Poland selepas majlis

Gambar 9 : Perbincangan selepas majlis
- Add new comment
- 532 reads
Printer-friendly version





