Perhimpunan Intelektual Dr. Yusof Qaradhawi Kali Pertama

Doha, Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Yusof Qaradhawi telah menganjurkan Perhimpunan Intelektual Dr. Yusof Qaradhawi Kali Pertama pada 5 hingga 11 Februari 2010 bertempat di Doha, Qatar. Tujuan perhimpunan ini adalah untuk mendalami pendekatan kesederhanaan dalam Islam melalui siri wacana dan intellectual discourse. JAKIM telah diwakili oleh Encik Abdul Karim bin Zakaria, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Fatwa, JAKIM.

Objektif Program ini ialah:

1. Membincangkan isu-isu semasa umat Islam melalui siri wacana dan intellectual discourse bersama Prof. Dr. Yusof Qaradhawi dan para ulama’ seluruh dunia;

2. Mengukuhkan strategi dakwah Islamiah dan teras pengajian Islam berasaskan pendekatan kesederhanaan melalui pertemuan dan perbincangan sesama delegasi dalam memperkasa jati diri umat Islam di seluruh dunia secara amnya; dan

3. Mengeratkan hubungan dua hala dan kerjasama antarabangsa dalam pengurusan hal ehwal Islam di kalangan para ulama’ Islam seluruh negara.

Majlis perasmian perhimpunan telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan Qatar pada 5 Februari 2010, jam 8.00 malam di Hotel W, Doha, Qatar. Perhimpunan Intelektual Dr. Yusof Qaradhawi kali ini memfokuskan tajuk “Metode Teras Pengajian Islam” dengan mendalami konsep pembaharuan dan pendekatan kesederhanaan dalam Islam. Seramai 60 orang pakar dan ahli akademik dari seluruh negara telah hadir ke perhimpunan kali ini, mereka terdiri dari kalangan mufti, pensyarah, pendakwah, penyelidik, penulis, ahli politik dan pegawai hal ehwal Islam.

Sebanyak 11 resolusi telah dicapai dalam perhimpunan ini dan telah dibacakan oleh Syeikh Salim al-Syeikh, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Britain selaku setiausaha agong perhimpunan. Resolusi-resolusi tersebut adalah seperti berikut:

  1. Membuat terjemahan buku-buku hasil karangan Dr. Yusof Qaradhawi dari bahasa Arab ke bahasa-bahasa lain;
  2. Memajukan laman web rasmi Dr. Yusof Qaradhawi;
  3. Menjawab secara akademik sebarang tohmahan ke atas Dr. Yusof Qaradhawi;
  4. Mewujudkan anugerah antarabangsa terhadap pemikir, penyelidik, penyebar pemikiran dan ilmu Dr. Yusof Qaradhawi;
  5. Menganjurkan persidangan ilmiah di kalangan murid-murid Dr. Yusof Qaradhawi;
  6. Mewujudkan penyelarasan kerja di Pusat Penyelidikan dan Ilmu Dr. Yusof Qaradhawi;
  7. Membuat ringkasan terhadap buku-buku karangan Dr. Yusof Qaradhawi;
  8. Membuat penyelidikan ilmiah terhadap lima buah buku karangan Dr. Yusof Qaradhawi setiap tahun;
  9. Memasukkan buku-buku karangan Dr. Yusof Qaradhawi sebagai salah satu sukatan pengajian di peringkat institut pengajian tinggi, sekolah dan persatuan ilmiah;
  10. Mengumpulkan kajian dan tulisan berkenaan Dr. Yusof Qaradhawi dari seluruh negara untuk dimuatkan di laman web rasmi Dr. Yusof Qaradhawi; dan
  11. Menyenaraikan tajuk dan isu yang belum ditulis atau disempurnakan oleh Dr. Yusof Qaradhawi.