Bioteknologi Dalam Makanan & Minuman

Keputusan

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 12 Jul 1999 telah membincangkan Bioteknologi Dalam Makanan & Minuman. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Barangan, makanan dan minuman yang diproses melalui kaedah bio-teknologi DNA babi adalah bercanggah dengan syarak dan hukumnya adalah haram
     
  2. Penggunaan bio-teknologi DNA babi dalam pemerosesan barangan, makanan dan minuman belum lagi sampai ketahap yang boleh dikatakan darurat kerana masih ada pilihan bahan yang lain.
     
  3. Ijtihad ini adalah berpegang kepada kaedah usul fiqh seperti berikut : درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

English Version

 
Food and Drink Biotechnology

Decision:

The Special Muzakarah (conference) of the Fatwa Committee National Council of Islamic Religious Affairs Malaysia held on 12th July 1999 has discussed food and drink biotechnology. The Committee has decided that:
 
1. Products, food and drink processed through pig DNA bio-technology is contradictory to Islamic law and it is forbidden

2. Using pig DNA bio-technology in products, food and drink manufacturing does not reach the level of darura (necessity) as there is still other alternatives available

3. This ijtihad is based on the usul fiqh maxim stating that preventing harm is prioritized than gaining benefit
 

Arabic Translation

1.   التكنولوجياالحيوية في الأغذية والمشروبات
 
في 12 من يوليو لعام 1999م عقد مجلس الفتوى الوطني الماليزي جلسة خاصة للمباحثة في قضية استخدام التكنولوجيا الحيوية في الأغذية والمشروبات. وأصدر المجلس قراره على النحو التالي:
1.   السلع والمواد الغذائية والمشروبات التي تم إنتاجها باستخدام عملية التكنولوجيا الحيوية من (DNA) الخنزير حكمها حرام لأنها مخالفة للشريعة الإسلامية.
2.   لا يمكن اعتبار استخدام التكنولوجيا الحيوية من (DNA) الخنزير في إنتاج السلع والمواد الغذائية والمشروبات من الضرورات المشروعة، وذلك لتوفر الخيارات الأخرى.
3.   يستنبط هذا الاجتهاد من القاعدة الفقهية التالية: درء المفاسد مقدم على جلب المصالح.
 
Keterangan/Hujah: 
 
  1. Bioteknologi adalah satu proses menggunakan sel organisma sama ada sel-sel bakteria, tumbuhan atau haiwan untuk menghasilkan sesuatu hasilan (produk) atau perkhidmatan. Semua makhluk Allah sama ada manusia, binatang, mikroorganisma, bakteria ataupun kulat semuanya mempunyai sel dan di tengah-tengah sel itu terdapat nukleus. Di dalam nukleus ini terdapat kromosom dan seterusnya di dalam kromosom itu pula terdapat Asid Deoksi-Ribonukleik (Deoxy-Ribonucleic Acid - DNA).
     
  2. DNA adalah satu rantaian Asid Deoxi-Ribonukleotida, iaitu apa yang dipanggil nukleotida - A, G, C dan T. A ialah Adenine, G ialah Guanine, C ialah Cytosine dan T ialah Thymine. Kombinasi dari keempat-empat A, G, C dan T inilah yang dijadikan rantaian DNA. Rantaian atau maklumat genetik ini akan disalin dan seterusnya diterjemah untuk menjadi Protein.
     
  3. Allah s.w.t. telah menjadikan sistem maklumat genetik DNA ini sebagai suatu sistem yang universal. Mekanisme di mana rantaian DNA ini disalin dan seterusnya diterjemah kepada protein atau rantaian Asid Amino hanyalah berdasarkan kod-kod genetik A, C, G, T ini sahaja tidak kira sama ada ianya bakteria, kulat, tumbuhan, binatang ataupun manusia.
     
  4. Teknologi ini telah membolehkan DNA yang berlainan asal usul dapat dicantumkan dan menghasilkan protein yang serupa dengan yang asal. Proses pemindahan maklumat genetik atau dikenali sebagai teknologi DNA Rekombinan di mana DNA atau gen dapat dipindah dari satu organisma ke satu organisma yang lain.Contohnya maklumat genetik binatang yang tidak halal dimasukkan kepada tumbuhan dan apa yang berlaku ialah hasilan pertama merupakan salinan DNA atau gen binatang tersebut. Modifikasi genetik melalui teknologi DNA Rekombinan yang dilakukan tidak mengubah keadaan asal atau rupa tumbuhan berkenaan.
     
  5. Mengikut kaedah Usul Fiqh “Asal sesuatu perkara yang harus adalah hukumnya halal dan asal sesuatu yang haram adalah hukumnya haram. Apabila bercampur sesuatu yang halal dengan yang haram sama ada banyak atau sedikit, maka hukumnya adalah haram”.
     
  6. Isu bioteknologi DNA babi ini telah ditimbulkan di peringkat antarabangsa sejak tahun 1996 lagi. Pemerosesan makanan dan minuman melalui bioteknologi seperti kacang soya dan jagung sudah lama diamalkan di negara-negara lain. Walaubagaimanapun penentuan hukum sama ada halal atau haram barangan yang dikeluarkan melalui proses ini telah menjadi persoalan kerana sebahagiannya melibatkan bahan yang haram seperti babi.
     
  7. Dalam proses bioteknologi DNA, selagi bahan-bahan protein babi berada di dalam perumah atau rumah tumpang atau sel yang menjadi benih sama ada kepada manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan bagi tujuan pembiakan dan kesuburan, maka ia tidak boleh dihukum halal kerana bahan babi itu merupakan najis berat.
     
  8. Penggunaan Kaedah Fiqh درء المفاسد مقدم على جلب المصالح adalah amat bertepatan dalam isu pemindahan sel atau gen babi melalui proses bioteknologi ini kerana ia akan menimbulkan fitnah dan menyebabkan umat Islam terjebak dalam perkara-perkara yang haram.