Isu Kekeliruan Jantina Congenital Adrenal Hyperplasia Dan Testicular Feminization Syndrome

Keputusan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21 - 23 November 2006 telah membincangkan Isu Kekeliruan Jantina Congenital Adrenal Hyperplasia Dan Testicular Feminization Syndrome. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Bagi kes Congenital Adrenal Hyperplasia (CAH) pembedahan jantina untuk kembali kepada genetik asal iaitu perempuan adalah diharuskan oleh Islam kerana ia boleh dilakukan melalui rawatan hormon dan pembedahan.
     
  2. Manakala bagi kes Testicular Feminization Syndrome (TSF), untuk kembali kepada genetik asal (lelaki) secara pembedahan atau rawatan hormon adalah sukar. Sekiranya individu berkenaan bercadang untuk melakukan pembedahan, ia adalah diharuskan selagimana perbuatan tersebut tidak mendatangkan kemudharatan samada dari aspek psikologi atau biologi kepada individu tersebut.
     
  3. Bagi kes Testicular Feminization Syndrome yang dikesan ketika dewasa, individu tersebut boleh menjalani kehidupan seperti biasa dan jantina mereka diiktiraf berdasarkan fizikal dan genitalia zahir mereka. Pembedahan untuk mengeluarkan testes (sekiranya ada) adalah harus untuk mengelakkan risiko penyakit seperti mendapat kanser. Perkahwinan dengan pasangan mengalami Testicular Feminization Syndrome tidak perlu dipisahkan.
     
  4. Pakar-pakar perubatan perlu memberi penjelasan, bimbingan dan menasihati ibu-bapa serta individu-individu muslim yang terlibat dengan kes-kes Congenital Adrenal Hyperplasia dan Testicular Feminization Syndrome supaya menjalani rawatan bagi mengelakkan permasalahan hukum agama di kalangan umat Islam.

English Version

 
The Issue of Gender Disorder; Congenital Adrenal Hyperplasia and Testicular Feminization Syndrome
 
Decision:

The 76th Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee National Council of Islamic Religious Affairs Malaysia held on 21st-23rd November 2006 has discussed the issue of gender disorder; congenital adrenal hyperplasia and testicular feminization syndrome. The committee has decided that:
 
1. For congenital adrenal hyperplasia case, gender reassignment surgery to get back to the pervious gender that is female is permitted in Islam because it can be treated by hormone treatment and surgery.

2. Meanwhile for testicular feminization syndrome (TSF), getting back to the male gender through surgery or hormone treatment is quite difficult. If the patient intended to undergo surgery, it is permitted provided that the surgery does not harm the patient psychologically or biologically.
 
3. For the case of testicular feminization syndrome detected after the person is already grown up, the person can continue a normal life and the gender is acknowledged from his/her physical form and the explicit form of the genitalia. A surgery to remove the testis (if any) is permissible to prevent the risk of getting cancer. Marriage of a person with a spouse who suffers testicular feminization syndrome need not be dissolved.

4. Medical specialists should give explanation and advice to parents and Muslim individuals who suffer from congenital adrenal hyperplasia and testicular feminization syndrome to undergo treatment in order to avoid any difficulties on religious issues.
 
Keterangan/Hujah: 
 
  1. Ambiguous Genitalia dan Testicular Feminisation Syndrome adalah kes-kes kekeliruan jantina bayi yang ada persamaan dengan ciri-ciri khunsa musykil. Ambiguous genitalia adalah individu yang mengalami keadaan ‘kecacatan’ jantina, manakala Testicular Feminisation Syndrome adalah mereka yang mempunyai alat kelamin sempurna tetapi genetiknya berbeza dan ‘cacat’ organ dalaman. Kekeliruan jantina disebabkan dua (2) faktor utama iaitu psikologi dan biologi.
     
  2. Terdapat dua (2) penyakit disebabkan masalah horman yang mengakibatkan kekeliruan jantina iaitu Congetinal Adrenal Hyperplasia dan Testicular Feminization Syndrome. Congenital Adrenal Hyperplasia (CAH) secara genetik adalah perempuan tetapi membesar menjadi seorang lelaki (female pseudohermaphrodite).Ciri-cirinya ialah:

    a.Mempunyai rahim dan ovari
    b.mempunyai hormon lelaki yang berlebihan disebabkan oleh penghasilan hormon ini yang berlebihan oleh kelenjar adrenal
    c.Individu ini akan membesar dengan mempunyai sifat lelaki walaupun secara genetiknya adalah perempuan
    d.Bayi baru lahir yang menghidap CAH selalunya mempunyai Ambiguous Genitalia (kelainan alat kelamin)
    e.Jika dikenalpasti, bayi akan dirujuk kepada pakar endokrin & pediatrik untuk rawatan lanjut (Rawatan hormon dan Pembedahan kecil membetulkan alat kelamin).
     

  3. Testicular Feminization Syndrome (TSF) secara genetik adalah lelaki tetapi membesar menjadi seorang perempuan (male pseudohermaphrodite). Ciri-cirinya ialah:

    a.Mempunyai paras hormon lelaki yang normal
    b.Tetapi alat kelamin tidak respon terhadap hormon tersebut
    c.Alat kelamin luaran menyerupai wanita
    d.Tetapi tidak mempunyai sistem peranakan wanita
    e.Mempunyai ciri-ciri kewanitaan
    f. Rawatan hormon tidak efektif
     

  4. Kebanyakan pandangan ulama’ seperti yang terdapat dalam kitab-kitab fiqh lebih menumpukan kehadiran dua alat kelamin sebagai kriteria khunsa. Keadaan zahir merupakan dasar utama dalam penentuan jantina bagi kebanyakan ulama’. Atas asas ini, bagi kes Ambigious Genitalia kriteria yang ada kepada kanak-kanak mungkin boleh diklasifikasikan sebagai khunsa musykil.
     
  5. Namun bagi kes Testicular Feminisation Syndrome, kebanyakan mereka mempunyai alat kelamin sempurna, hanya segelintir terpaksa menjalani pembedahan kerana kehadiran testis pada groins (bahagian luar alat kelamin kanak-kanak). Bayi ini lahir pada zahirnya adalah jelas memiliki alat kelamin lelaki atau perempuan tetapi genetiknya adalah jantina berlawanan dengan jantina biologi mereka dan mengalami ‘kecacatan’ organ dalaman seperti ketiadaan rahim. Pakar perubatan mendapati bahawa kelainan jantina bayi atau genetik yang bertentangan dengan jantina biologi menyebabkan individu itu tidak boleh dianggap sebagai lelaki atau perempuan.
     
  6. Ulama’ Fiqh membahagikan khunsa kepada dua; khunsa wadhih dan khunsa musykil. Khunsa wadhih ialah khunsa yang nyata memiliki tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan dan dapat dibezakan sama ada lelaki atau perempuan semasa bayi oleh warisnya melalui pemerhatian sifat dan ciri alat kelamin tersebut atau berdasarkan dari alat yang mana satu tempat keluar air kencing terlebih dahulu. Jantina dapat dikenalpasti dengan jelas berdasarkan yang mana alat yang lebih dominan berbanding dengan yang satu lagi yang kurang.
     
  7. Manakala Khunsa musykil ialah individu yang mempunyai dua alat kelamin dan air kencing keluar serentak dari kedua-dua alat tersebut dan identiti jantinanya sukar dibezakan atau hanya dapat dibezakan setelah baligh. Musykil ini hilang apabila dapat ditentukan dari mana tempat mula keluar air kencing atau kuantiti yang paling banyak atau dikira yang paling akhir berhenti. Jantina mereka juga boleh ditentukan setelah baligh dengan tanda-tanda yang dikenal pasti sama ada memiliki ciri-ciri kewanitaan (seperti kedatangan haid) atau kelelakian (seperti tumbuh janggut dan misai).
     
  8. Dalam kes ketidaktentuan jantina seperti ini, syarak memberi pengecualian kepada golongan khunsa musykil untuk menentukan jantina melalui pembedahan dengan syarat disokong oleh keterangan pakar di bidang tersebut. Kelonggaran adalah khusus sebagai ‘maslahah’ atau demi kebaikan bagi membolehkan individu itu dapat menjalani kehidupan dengan baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim dengan lebih sempurna.
Keputusan Fatwa Kebangsaan lain berkaitan: 
Bil Tajuk Bil. JKF Tarikh Keputusan
1 Hukum Menukar Status Jantina Di Mykad Muzakarah Kali Ke-68 14 Apr, 2005
2 Pertukaran Jantina Daripada Lelaki Kepada Perempuan Muzakarah Kali Ke-4 13 Apr, 1982
3 Kedudukan Mak Nyah Dalam Islam Muzakarah Kali Ke-25 13 Dec, 1989