Muzakarah

Tarikh Keputusan: 
11 Feb, 2015
Tarikh Mula Muzakarah: 
10 Feb, 2015
Tarikh Akhir Muzakarah: 
11 Feb, 2015
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-107

Keputusan

 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-107 yang bersidang pada 10 - 11 Februari 2015 membincangkan Hukum Pelaburan Yang Dijalankan Oleh Syarikat Mecca Fund Global. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
  1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan Muzakarah menegaskan bahawa terdapat beberapa syarat bagi kontrak mudharabah yang sah mengikut syarak, iaitu antaranya:
Kebebasan menjalankan urusan tanpa tertakluk kepada syarat tertentu.
Pelaburan mestilah bersifat terbuka dan sesuatu pelaburan dianggap tidak sah jika pelabur menetapkan pengusaha perlu membeli barang tertentu contohnya, sejadah, atau barangan jenis tertentu daripada orang tertentu.
 
Keuntungan hanya dikongsi antara pelabur dan pengusaha.
Keuntungan yang dihasilkan mesti dikongsi bersama oleh pelabur dan pengusaha. Pelabur akan mengambil hasil pelaburan modalnya, sementara pengusaha akan memperoleh hasil usahanya.
 
Pengusaha mestilah bebas menguruskan modal dan bekerja.
Kontrak pelaburan dianggap tidak sah jika wujud syarat yang menetapkan pelabur perlu bekerja bersama pengusaha.
 
  1. Muzakarah mendapati bahawa pelaburan yang dijalankan oleh Syarikat Mecca Fund Global ini bertentangan dengan prinsip sebenar mudharabah dalam Islam, iaitu antaranya pelabur perlu membeli lot yang ditawarkan oleh pemilik syarikat,  akan berlaku kehilangan modal dan  berlaku ketidakpastian terhadap kadar keuntungan dan modal. Selain itu, pelaburan yang dijalankan juga bertentangan dengan undang-undang yang terpakai di Malaysia iaitu melakukan perbuatan mengambil deposit secara haram.
     
  2. Sehubungan itu, berdasarkan perkara-perkara tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan yang dijalankan oleh Mecca Fund Global adalah tidak mengikut prinsip mudharabah yang sebenar dan tidak sah mengikut hukum syarak. Pelaburan yang dijalankan juga didapati melanggar undang-undang negara kerana mengambil deposit daripada pelabur tanpa kebenaran Bank Negara Malaysia (BNM).
     
  3. Muzakarah juga menasihatkan umat Islam supaya tidak terlibat dalam skim pelaburan oleh Mecca Fund Global ini.
     
 
Tarikh Keputusan: 
10 Feb, 2015
Tarikh Mula Muzakarah: 
10 Feb, 2015
Tarikh Akhir Muzakarah: 
11 Feb, 2015
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-107

Keputusan

 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-107 yang bersidang pada 10 - 11 Februari 2015 membincangkan Pengurusan Jenazah Orang Islam Yang Disyaki Atau Disahkan Dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Disease: EVD)  Di Malaysia. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
  1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa setiap mayat orang Islam wajib dimandi, dikapan, disembahyang dan dikebumikan. Walau bagaimanapun terdapat pengecualian dan kelonggaran (rukhsah) kepada hukum ini sekiranya terdapat keadaan-keadaan yang boleh menimbulkan kemudharatan kepada nyawa manusia.
     
  2. Muzakarah juga menegaskan bahawa terdapat risiko tinggi berlakunya jangkitan EVD yang boleh membawa maut kepada orang yang menguruskan jenazah melalui kontak secara langsung dengan air mandian yang telah dicemari dengan cairan badan daripada jenazah seperti darah, muntah, najis, air kencing dan sebagainya.
     
  3. Sehubungan itu, berdasarkan rukhsah yang diberikan dan prinsip ajaran Islam yang menegah umatnya daripada menjerumuskan diri dalam bahaya dan kebinasaan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa jenazah orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Disease: EVD) hendaklah diuruskan melalui prosedur tayammum yang paling ringan risiko dan kesan bahayanya seperti melakukan tayammum hanya di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah tersebut sahaja.
     
  4. Muzakarah bersetuju supaya satu garis panduan pengurusan jenazah orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Disease : EVD)  di Malaysia disediakan bagi memudahkan pengurusan jenazah bagi kes tersebut.
 
 
Keputusan Fatwa Kebangsaan lain berkaitan: 
Tarikh Keputusan: 
10 Feb, 2015
Tarikh Mula Muzakarah: 
10 Feb, 2015
Tarikh Akhir Muzakarah: 
11 Feb, 2015
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-107

Keputusan

 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-107 yang bersidang pada 10 - 11 Februari 2015 membincangkan Hukum Minyak Ikan Yang Diproses Tanpa Dibuang Perut Atau Najisnya. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
  1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa kandungan isi perut ikan adalah antara hukum yang tidak disebut secara jelas mengenainya sama ada dalam al-Quran ataupun Sunnah Rasulullah SAW. Ibn Hajar, Ziyad, al-Ramli dan lain-lain telah bersepakat bahawa apa-apa yang ada dalam perut ikan yang kecil sama ada darah atau najis adalah suci dan boleh dimakan serta tidak dianggap najis, bahkan al-Ramli berpendapat, hukum tersebut berlaku juga kepada ikan yang besar.
     
  2. Sekiranya ia dihukum bersih, syarak menetapkan hukum memakannya bergantung pula pada pandangan pakar perubatan yang dipercayai sama ada ia boleh memudaratkan ataupun tidak. Sekiranya mudarat maka tidak boleh dimakan kerana memberi kesan pada kesihatan, begitulah sebaliknya.
     
  3. Sehubungan itu, berdasarkan masyaqqah yang perlu dihadapi untuk memproses ikan dalam kuantiti yang banyak sehingga terlalu sukar untuk dibuang kandungan isi perut ikan satu persatu, dan realiti semasa industri komersil pemprosesan minyak ikan pada masa ini yang perlu mematuhi standard dan piawaian yang ketat bagi memastikan ianya bersih dan selamat digunakan, serta dengan mengambilkira kepentingan, manfaat dan kegunaan minyak ikan kepada kesihatan manusia, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa minyak ikan yang diproses secara komersial dalam kuantiti yang  melibatkan beribu-ribu tan ikan tanpa dibuang perut atau najisnya adalah suci dan halal dimakan.
 
Tarikh Keputusan: 
11 Feb, 2015
Tarikh Mula Muzakarah: 
10 Feb, 2015
Tarikh Akhir Muzakarah: 
11 Feb, 2015
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-107

Keputusan

 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-107 yang bersidang pada 10 - 11 Februari 2015 telah membincangkan Hukum Penggunaan Vaksin Menactra®. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
  1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa pada prinsipnya ulama bersepakat bahawa makanan termasuk ubat-ubatan yang dibenarkan oleh Islam untuk digunakan mestilah terdiri daripada bahan-bahan yang baik (toyyib) dan halal, serta tidak mempunyai unsur-unsur yang mendatangkan mudharat kepada kesihatan badan dan akal manusia.
     
  2. Muzakarah juga mendapati bahawa dalam proses penghasilan Vaksin Menactra® ini, tiada sebarang komponen bahan mentah yang mengandungi sumber haiwan atau bahan-bahan yang diragui dari aspek syarak digunakan serta tiada perkongsian saluran pemprosesan dengan produk vaksin yang tidak halal.
     
  3. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum penggunaan Vaksin Menactra® adalah diharuskan.
 
Tarikh Keputusan: 
22 Oct, 2014
Tarikh Mula Muzakarah: 
21 Oct, 2014
Tarikh Akhir Muzakarah: 
22 Oct, 2014
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-106

Keputusan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 - 22 Oktober 2014 telah membincangkan Hukum Penggunaan Cordyceps Sinensis Dalam Pembuatan Ubat Tradisional. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan Muzakarah berpandangan bahawa pada asalnya semua kejadian Allah SWT mempunyai manfaat dan harus penggunaannya. Tiada yang diharamkan melainkan terdapat nas yang sahih dan jelas menerangkan tentang pengharamannya. Ulat dikategorikan sebagai binatang yang tidak mempunyai darah mengalir dan para fuqaha berpandangan bahawa binatang yang tidak mempunyai darah mengalir adalah bersifat tidak menajiskan sepertimana hadis Nabi SAW mengenai lalat yang bermaksud:
 
“Apabila jatuh lalat dalam minuman seseorang kamu, maka tenggelamkannya dahulu sebelum membuangnya, sesungguhnya pada salah satu sayapnya ada penyakit dan pada satu lagi ada ubatnya”.
 
2. Muzakarah menjelaskan bahawa cordyceps adalah sejenis kulat dan semua jenis cordyceps adalah bersifat endoparasitoids iaitu menumpang kepada perumah lain, antaranya pada serangga seperti ulat dan bahan dari larva ulat akan diserap sebagai makanan. Ulat yang merupakan perumah tersebut akan mati akibat daripada proses ini dan bahagian yang tumbuh keluar daripada ulat ini akan digunakan dan spesis cordyceps yang paling baik ialah Cordyceps Sinensis. Cordyceps Sinensis yang asli amat sukar diperolehi dan hanya boleh ditemui di tanah tinggi pergunungan Himalaya. Terdapat dua (2) jenis Cordyceps Sinensis pada masa ini iaitu Cordyceps Sinensis asli yang mahal dan sukar diperolehi dan Cordyceps Sinensis yang dihasilkan melalui proses makmal.
 
3. Sehubungan itu berdasarkan proses-proses penghasilan Cordyceps Sinensis samada secara semulajadi atau melalui proses makmal, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan Cordyceps Sinensis dalam proses pembuatan ubat tradisional atau produk makanan kesihatan adalah diharuskan kerana Cordyceps Sinensis asli terhasil daripada bahan yang tidak menajiskan, manakala Cordyceps Sinensis yang terhasil melalui proses makmal juga hanya menggunakan bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan sebagai medium pembiakan.
 
4. Walau bagaimanapun, sekiranya penghasilan Cordyseps Sinensis secara makmal tersebut menggunakan bahan-bahan yang diharamkan sebagai medium pembiakan, maka penggunaannya dalam proses pembuatan apa jua produk samada ubat tradisional atau produk makanan kesihatan adalah diharamkan.
 
 
Tarikh Keputusan: 
22 Oct, 2014
Tarikh Mula Muzakarah: 
21 Oct, 2014
Tarikh Akhir Muzakarah: 
22 Oct, 2014
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-106

Keputusan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 - 22 Oktober 2014 telah membincangkan Kedudukan Perbuatan Zikir Sambil Memukul Gendang Atau Peralatan Muzik Lain Dalam Masjid Atau Surau. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan Muzakarah menegaskan bahawa amalan berzikir adalah suatu tuntutan yang dianjur oleh Islam dan dianggap sebagai ibadah sunat bagi mengingati Allah dengan menyebut nama-Nya.

2. Muzakarah juga berpandangan bahawa amalan berzikir pada masa kini yang telah ditambah dengan cara memukul alat muzik seperti rebana, tabla (gendang) dan sebagainya di dalam masjid atau surau oleh sesetengah pihak, boleh mengganggu urusan ibadah orang lain yang datang untuk menunaikan solat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Perbuatan sebegini adalah ditegah oleh Nabi SAW berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Malik :


أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ عَلَى النَّاسِ وَهُمْ يُصَلُّونَ وَقَدْ عَلَتْ أَصْوَاتُهُمْ بِالْقِرَاءَةِ فَقَالَ إِنَّ الْمُصَلِّيَ يُنَاجِي رَبَّهُ فَلْيَنْظُرْ بِمَا يُنَاجِيهِ بِهِ وَلاَ يَجْهَرْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ بِالْقُرْآن
 
Maksudnya: Baginda mendapati para sahabatnya sedang sembahyang dan mereka menguatkan (menyaringkan) bacaannya, lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya orang yang sembahyang itu bermunajat kepada tuhan-Nya, maka hendaklah engkau memerhatikan apa yang dia munajatkan itu dan janganlah menyaringkan suara sebahagian dari kamu atas sebahagian (mengatasi) yang lain dengan bacaan-bacaan al-Quran”.
 

3. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa melagukan zikir adalah harus jika ianya dilakukan dengan penuh adab dan boleh membawa kepada tercapainya matlamat berzikir.  Tetapi jika majlis atau amalan berzikir tersebut dilakukan dengan penggunaan alat-alat muzik yang dilarang sehingga melalaikan dan menghilangkan  tujuan sebenar berzikir atau dilakukan di tempat ibadah seperti surau atau masjid sehingga mengganggu urusan ibadah orang lain atau majlis yang bercampur antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, maka perbuatan zikir sedemikian adalah dilarang oleh Islam.

 
 
Tarikh Keputusan: 
22 Oct, 2014
Tarikh Mula Muzakarah: 
21 Oct, 2014
Tarikh Akhir Muzakarah: 
22 Oct, 2014
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-106

Keputusan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 - 22 Oktober 2014 telah membincangkan Ajaran Ilmu Makrifat (Mengenal Allah/Diri) Oleh Mohd. Yusof Cik Wook Yang Disebarkan oleh Haji Shaari Mohd Yusof. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
1. Setelah meneliti fakta-fakta dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah mendapati bahawa Ajaran Ilmu Makrifat (Mengenal Allah/Diri) yang disebarkan oleh Haji Shaari bin Mohd Yusoff melalui buku  “Mengenal Diri Ilmu Peninggalan Tok Kenali Kelantan”, “Mengenal Allah Ilmu Peninggalan Tok Kenali” ceramah-ceramah yang disampaikan, DVD siri ceramah  dan Laman Sesawang yang digunakan untuk menyebarkan ajarannya mengandungi perkara-perkara yang mengelirukan dan menyeleweng seperti yang berikut:
 
i. Bertentangan dengan fakta sejarah
Dakwaan ilmu yang diperolehi adalah peninggalan ilmu Syeikh Daud al-Fatani yang diwarisi oleh dua ulama terkenal, iaitu Tok Kenali dan Tok Selehong adalah satu pembohongan, kerana kedua ulama tersebut tidak sempat berguru dengan Syeikh Daud Al-Fatani yang meninggal tahun 1846, iaitu lebih 22 tahun sebelum kelahiran kedua-dua ulama tersebut. 
 
ii. Membawa fahaman Mujassimah, Jabariyyah dan Muktazilah
Jumhur ulama telah bersepakat bahawa fahaman ini adalah bertentangan dengan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah.
 
iii. Membawa fahaman Liberal dan Pluralisme agama
Fahaman ini juga didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti mana telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25-27 Julai  2006.
 
iv. Membawa fahaman Wahatul Wujud
Doktrin wahdatul wujud ini adalah menyeleweng dari pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah
 
v. Mentafsir nas-nas agama seperti al-Quran dan Hadis mengikut logik akal dan tidak merujuk kepada kitab-kitab muktabar.
 
2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa ajaran Ilmu Makrifat (Mengenal Allah/Diri) yang dibawa oleh Haji Shaari bin Mohd Yusof adalah sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

3. Oleh itu, semua bentuk pengajaran, penerbitan dan pengedaran bahan-bahan ajaran beliau melalui apa jua medium hendaklah dihentikan dan diharamkan serta-merta.
 

4. Muzakarah juga menggesa semua pihak berkuasa agama negeri-negeri dan JAKIM serta agensi-agensi lain yang berkaitan supaya mengambil tindakan segera menyekat kegiatan dan penyelewengan Ajaran Ilmu Makrifat ini.

 
Tarikh Keputusan: 
22 Oct, 2014
Tarikh Mula Muzakarah: 
21 Oct, 2014
Tarikh Akhir Muzakarah: 
22 Oct, 2014
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-106

Keputusan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 - 22 Oktober 2014 telah membincangkan Hukum Pendermaan Rahim. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
1. Setelah mendengar pembentangan dan meneliti laporan penyelidikan yang telah disediakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Malaya (UM) dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan.
 
2. Berdasarkan dapatan penyelidikan tersebut, Muzakarah mendapati bahawa:
 
i. Hukum asal pendermaan dan pemindahan rahim adalah haram dan tujuan untuk mendapatkan zuriat hanyalah bersifat takmiliyyah iaitu sebagai pelengkap kehidupan berkeluarga.
 
ii. Keperluan mendapatkan zuriat melalui pendermaan dan pemindahan rahim di Malaysia belum berada pada tahap darurah.
 
iii. Keperluan mendapatkan zuriat melalui pembedahan dan pemindahan rahim bagi wanita yang mempunyai rahim yang bermasalah atau tidak mempunyai rahim hanya sekadar berada pada tahap tahsiniyyat.
 

3. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum pendermaan dan pemindahan rahim adalah tidak harus kerana keperluannya belum mencapai tahap dharurah yang boleh membenarkan sesuatu perkara yang diharamkan.

 
Tarikh Keputusan: 
21 Oct, 2014
Tarikh Mula Muzakarah: 
21 Oct, 2014
Tarikh Akhir Muzakarah: 
22 Oct, 2014
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-106

Keputusan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 - 22 Oktober 2014 telah membincangkan Isu Umat Islam Malaysia Yang Berjuang Atas Nama ISIS. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
1. Setelah meneliti laporan penyelidikan yang telah diperakukan oleh Panel Pakar Akidah JAKIM dan kertas kerja yang disediakan serta meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah mendapati bahawa:
 
i. Islamic State of Iraq and Syria (ISIS) atau Islamic State of Iraq and Levant (ISIL) merupakan rentetan dari gerakan Salafi Jihadi di Iraq yang pada asalnya terdiri dari tiga organisasi jihad yang berbeza: iaitu Ansar al-Islam yang terdiri dari kelompok Salafi Jihadi warga Iraq yang membentuk kawasan ‘pemerintahan Islam’ mereka yang tersendiri dan mengamalkan kehidupan Islami ortodoks dan radikal, keduanya, kumpulan Mujahidin berasal dari Jordan di bumi Iraq yang mengisytiharkan diri mereka sebagai ‘Jamaah al-Tawhid wa al-Jihad’ di bawah pimpinan Abu Mus’ab al-Zarqawi yang berhijrah ke Iraq untuk melancarkan jihad memerangi pendudukan tentera Amerika Syarikat ke atas bumi Iraq, dan juga kumpulan mujahidin al-Qaeda yang berhijrah dari Afghanistan, akibat serangan Amerika Syarikat ke atas bumi Afghan selepas peristiwa 11 September.
 
ii. Kebanyakan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah di seluruh dunia telah mengingatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan kumpulan ISIS atau ISIL ini kerana ideologi keganasan dan sikap mereka yang mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka dan menghalalkan darah mereka. Mereka membunuh rakyat tidak berdosa dan menghalau golongan Kristian dan Yazidi dengan penuh kezaliman. Para Ulama  Ahli Sunnah di seluruh dunia melabelkan ISIS atau ISIL ini sebagai Khawarij di  zaman moden dan Jumhur Ulama Ahli Sunnah bersepakat mengenai kesesatan dan juga penyelewengan golongan ini dan memperingatkan umat Islam agar tidak terpedaya dengan segala propaganda ISIS atau ISIL ini.

2. Sehubungan itu, berdasarkan fakta-fakta yang telah dikemukakan dan selaras dengan nas-nas syarak, Muzakarah berpandangan bahawa kecenderungan dan keghairahan umat Islam untuk berjihad atas nama ISIS atau ISIL di bumi Syria adalah berpunca daripada kekeliruan dalam memahami konsep jihad dan mati syahid yang sebenar menurut Hukum Syarak. Seruan jihad dan mati syahid yang dipegang oleh mereka adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada kekufuran kerana mereka menghalalkan darah sesama umat Islam.

3. Oleh itu, Muzakarah menegaskan bahawa tindakan umat Islam dari Malaysia yang telah ataupun yang ingin berjuang atas nama jihad di bumi Syria bagi menyokong golongan ISIS atau ISIL adalah sia-sia kerana perjuangan mereka tidak tergolong sebagai jihad dan kematian mereka juga tidak dikategorikan sebagai syahid menurut kerangka Hukum Syarak.

4. Muzakarah menasihatkan seluruh umat Islam di Malaysia supaya menginsafi diri dan tidak mudah terpengaruh atau terjebak dengan keganasan dan propaganda perjuangan kumpulan ISIS atau ISIL ini.
 
 
 
Tarikh Keputusan: 
22 Oct, 2014
Tarikh Mula Muzakarah: 
21 Oct, 2014
Tarikh Akhir Muzakarah: 
22 Oct, 2014
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-106

Keputusan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 - 22 Oktober 2014 telah membincangkan Isu Perkahwinan Kanak-kanak: Kajian Dari Aspek Agama, Kesihatan dan Psikologi. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
1. Setelah mendengar pembentangan dan meneliti laporan penyelidikan yang telah disediakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan.
 
2. Berdasarkan hasil penyelidikan tersebut, Muzakarah mendapati bahawa:
 
i. Isu berkaitan perkahwinan kanak-kanak bukan satu isu baru di Malaysia dan ia tidak lagi dilihat sebagai satu amalan yang ‘sihat’ pada masa ini. Perkahwinan Baginda Rasulullah s.a.w. dengan Saidatina `Aisyah r.a tidak wajar dijadikan alasan untuk memudahkan perkahwinan kanak-kanak. Syeikh Abdullah al-Manie, seorang daripada anggota Majlis Ulama Kanan Saudi juga berpandangan bahawa perkahwinan antara Rasulullah s.a.w. dengan Sayidatina Aisyah r.a tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mewajarkan perkahwinan gadis bawah umur.
 
ii. Walaupun terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan perkahwinan kanak-kanak di negara ini, tetapi ia tidak bermakna perkahwinan ini boleh dilakukan dengan mudah tanpa melihat kepada kemaslahatan kanak-kanak yang ingin dikahwinkan.
 
iii. Kajian mendapati statistik permohonan dan perkahwinan kanak-kanak di negara ini semakin meningkat dan kesan akibat daripada perkahwinan ini lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan terutama dari aspek kesihatan dan psikologi kanak-kanak terbabit.
 
iv. Kebanyakan perkahwinan kanak-kanak ini berlaku akibat didorong oleh rasa cinta kepada pasangan yang tidak mampu dikawal sehingga mendorong berlakunya penzinaan serta kehamilan luar nikah.
 
v. Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor perkahwinan kanak-kanak di Malaysia berlaku bukan kerana maslahah tetapi disebabkan keterlanjuran dan keinginan menutup aib atau maruah keluarga yang tercemar.
 
vi. Keterangan pakar-pakar kesihatan dan psikologi  menegaskan wujudnya masalah kesihatan fizikal dan mental yang dialami pada pasangan perempuan akibat perkahwinan kanak-kanak.
 

3. Berdasarkan dapatan kajian tersebut, Muzakarah menegaskan bahawa para ulama bersetuju bahawa secara syar’i, perkahwinan kanak-kanak bukan merupakan perkara yang wajib atau sunat. Tiada hadis yang menyatakan bahawa perkahwinan kanak-kanak itu dianjurkan. Perkahwinan pada zaman Rasulullah s.a.w. yang dilakukan oleh para sahabat lebih kepada menjaga kemaslahatan kanak-kanak. Ia termasuk dalam perkara harus tetapi hukumnya tertakluk kepada ketentuan Maqasid Syariah dan Qaedah Fiqhiyyah iaitu “Menjauhi Kerosakan” (Dar’ al-Mafasid) serta “Mengambil Maslahat” (Jalb al-Masalih).

 
4. Sehubungan itu, berasaskan nas-nas Syarak dan Qaedah-Qaedah Fiqhiyyah serta keterangan pakar-pakar kesihatan dan psikologi, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perkahwinan kanak-kanak hanya boleh dibenarkan dengan syarat ia dilakukan semata-mata untuk memenuhi kemaslahatan kanak-kanak tersebut secara syar’ie.
 
5. Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya pihak-pihak berkuasa berkaitan memperketatkan syarat-syarat perkahwinan kanak-kanak dan memastikan pelaksanaannya dijalankan mengikut prosedur.
 
 
 
Syndicate content