Penentuan Harga Zakat Fitrah Seluruh Malaysia

Keputusan: 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan Penentuan Harga Zakat Fitrah Seluruh Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa

  1. Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS bagi beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Bagdhdad bersamaan 2.60kg.
     
  2. Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White Rice bagi negeri Sabah dan Thai White Rice bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70kg.


 

Keputusan (English): 
 
Determination of zakat fitrah all over Malaysia
 
Decision:
 
The 57thMuzakarah (Conference)of the Fatwa Committee National Council of Islamic Religious Affairs Malaysia held on 10thJune 2003 has discussed determination of zakat amount all over Malaysia. The Committee has decided that:
  1. The price of zakat fitrah for states in peninsula Malaysia is based on the market price of rice as decided by BERNAS for Super Tempatan grade A rice according to one Baghdad gantang that is equivalent to 2.60 kgs
     
  2. The price of zakat fitrah in the states of Sabah and Sarawak is according to the local price for rice decided by BERNAS, that is Vietnam White Rice for Sabah and Thai White Rice for Sarawak according to one Baghdad gantang that is equivalent to 2.70 kgs.
Keterangan/Hujah: 
 
LATAR BELAKANG
 
Amalan pelaksanaan zakat fitrah di negara ini ditunaikan dengan nilai mata wang bagi menggantikan satu gantang beras bagi setiap orang Islam yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri. Keadaan ini memperlihatkan wujud perbezaan kadarnya di negeri-negeri disebabkan penetapan asas timbangan bagi satu gantang beras dan jenis beras yang ditentukan. Selain itu, harga beras tempatan di Semenanjung Malaysia dikawal dan diselaraskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) tetapi tidak melibatkan negeri Sabah dan Sarawak.
 
HUJAH DAN DALIL
 
Penggunaan sukatan gantang Baghdad merujuk kepada gantang yang digunakan secara meluas di zaman Rasulullah SAW selaras dengan hadis Baginda SAW ;
 
Maksudnya:
Daripada Abdullah bin Umar berkata: Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah pada bulan Ramadhan segantang tamar atau gandum ke atas orang yang merdeka atau hamba lelaki atau perempuan di kalangan Islam.
 
Bahan makanan yang diambilkira bagi menentukan zakat ialah beras atas alasan ia merupakan makanan asasi yang dimakan oleh rakyat negara ini. Berdasarkan kajian dan perakuan oleh pihak BERNAS, beras Super Tempatan Gred A merupakan beras yang dimakan oleh majoriti rakyat Malaysia berbanding dengan beras gred lain. Perkara ini boleh dijadikan asas dan kaedah bagi penetapan bahan makanan asasi dalam menentukan zakat fitrah.
 
Kaedah yang harus digunakan bagi memastikan ketepatan timbangan yang menyamai satu gantang Baghdad adalah dengan menggunakan timbangan metrik dengan mengambil kira penggunaan alat sukatan gantang Baghdad kian pupus dan sistem sukatan moden terutama sistem metrik digunakan secara meluas.
 
Hasil sukatan dua jenis gantang Baghdad bagi beras Super Tempatan Gred (A) adalah bersamaan dengan 2.70 kg. Keputusan ini bertepatan dengan keputusan yang telah dibuat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Pertama yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 iaitu ukuran nisab jenis-jenis zakat kepada sistem metrik adalah harus.

Sumber: Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan: Berhubung Dengan Isu-Isu Muamalat (2009)