Penggantungan Kaligrafi Islam Di Premis Bukan Islam

Keputusan: 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 telah membincangkan Hukum Penggantungan Kaligrafi Islam Di Premis Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa bagi menjaga kehormatan dan kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran dan kalimah-kalimah suci agama Islam, perbuatan menggantung apa jua ayat-ayat suci al-Quran atau kalimah-kalimah suci agama Islam di premis-premis bukan Islam atau mana-mana tempat yang boleh mendedahkannya kepada penghinaan, penipuan atau penyalahgunaan adalah dilarang oleh Islam.

Penjualan dan penyimpanan kitab suci al-Quran di kedai-kedai yang dimiliki oleh orang bukan Islam adalah juga dilarang oleh Islam kerana ia boleh membawa kepada penghinaan ke atas kehormatan dan kesucian kitab suci tersebut.

Keputusan (English): 
 
Hanging Islamic Calligraphy In Non Muslim Premises

Decision:

The 83rd Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee National Council of Islamic Religious Affairs Malaysia held on 22nd-24th October 2008 has discussed on hanging Islamic calligraphy in non-Muslim premises. The Committee has decided that to preserve the sanctity of the Quranic holy verses and other Islamic holy verses, hanging Islamic calligraphy in any non Muslim premises or any other places that may expose them to contempt, fraud or abuse is prohibited in Islam.
 
Selling and keeping Holy al-Qur’an in non-Muslim book stores are also forbidden as it may lead to contempt of its honour and sactity.
 
Keterangan/Hujah: 
 
  1. Perbuatan orang bukan Islam menggantung kalimah Muhammad ataupun apa-apa sahaja kalimah suci umat Islam di dalam premis mereka adalah dianggap menghina dan mencemarkan kehormatan kalimah-kalimah suci tersebut.
     
  2. Fatwa Lajnah Daimah Lil Ifta' Arab Saudi memutuskan bahawa kehormatan kalimah-kalimah Islam adalah sama dengan ayat-ayat suci al-Quran. Ia sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat-tempat yang boleh dianggap menghinanya.
     
  3. Tindakan dan perbuatan orang-orang bukan Islam menggunakan ayat-ayat suci al-Quran atau kalimah-kalimah suci agama Islam sebagai bahan hiasan atau tarikan boleh terdedah kepada penipuan dan penghinaan ke atas kehormatan ayat-ayat suci atau kalimah tersebut. Di samping itu, ia juga akan menimbulkan kemarahan umat Islam.
     
  4. Larangan juga perlu dibuat ke atas kedai-kedai buku milik orang bukan Islam yang menjual al-Quran kerana dibimbangi cara pengendalian dan penyimpanan kitab suci tersebut boleh terdedah kepada penghinaan.
     
  5. Terdapat sebahagian orang bukan Islam yang meminati kesenian dan keindahan seni khat dan mereka menjadikan kaligrafi-kaligrafi ayat suci al-Quran sebagai hiasan di rumah mereka.
     
  6. Kesenian khat ayat-ayat suci al-Quran atau kalimah-kalimah Islam boleh menjadi medium dakwah kepada orang bukan Islam. Walaubagaimanapun sekiranya dibimbangi ia boleh terdedah kepada unsur-unsur penghinaan, maka ia perlu dicegah.