Penggunaan Air Baru (Newater)

Keputusan: 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-53 yang bersidang pada 27 Nov 2002 telah membincangkan Penggunaan Air Baru (Newater). Muzakarah telah memutuskan bahawa air baru Newater adalah bersih dan harus digunakan dari sudut hukum syarak.

Keputusan (English): 
 
The Consumption of Newater

Decision:

The 53rd Muzakarah (conference) of the Fatwa Committee National Council of Islamic Religious Affairs Malaysia held on 27th November 2002 has discussed the consumption of Newater. From Islamic law perspective, the Committee has decided that Newater is clean and can be consumed.
 
Keterangan/Hujah: 
 
Air baru (Newater) yang diperkenalkan oleh Singapura dihasilkan menerusi proses pemulihan dan pembersihan ketat bekalan air kumbahan menggunakan teknologi dwimembran.

Terdapat tiga proses utama yang digunakan untuk menghasilkan Newater iaitu Penurasan mikro (Microfiltration), Osmosis Songsang (Reverse Osmosis) dan teknologi Sinaran Ultra-violet Penyahjangkitan (Ultraviolet light disinfection technologies). Secara ringkas ketiga-tiga proses ini beroperasi adalah seperti berikut:
 
Penurasan Mikro (Microfiltration)
Proses pertama ini dinamakan Penurasan Mikro di mana kaedah penyulingan air sisa kumbahan dengan menggunakan penapis-penapis yang berfungsi sebagai agen penuras microscopic. Setiap penapis mampu menapis semua sisa sehingga sekecil saiz 0.2 mikron. Proses pertama ini yang menggunakan penapisan yang berperingkat dan telah terbukti boleh mengasingkan semua sisa pepejal sehingga sekecil-kecil
zarah dan menghilangkan kekeruhan air mencapai nilai 3-6 NTU hingga < 0.1 NTU. Nilai ini menjamin kualiti air yang dihasilkan kekal untuk mengelakkan berlakunya rintangan (clogging) semasa melalui proses yang kedua iaitu memberan dalam proses Osmosis songsang. Proses ini juga mengasingkan bacteria dan protozoa.

Osmosis Songsang (Reverse Osmosis)
Proses seterusnya setelah penurasan di peringkat MF selesai, air disalurkan untuk melalui proses yang dipanggil Osmosis Songsang (Reverse Osmosis). RO ini melibatkan proses penggunaan tekanan kepada air untuk mengalir dari bahagian pemusatan ke bahagian pemusatan yang lain seterusnya melalui memberan yang separa-serap untuk menuras bendabenda bukan organic seperti nitrat, klorid, sulfat dan sebagainya. Penurasan juga melibatkan benda-benda organic yang dinyahjangkitan, hidrokarbon yang mempunyai bau, pesticide dan sebagainya. Proses RO ini menggunakan memberan sehalus 0.0001 mikron yang mampu menuras 95 peratus jumlah pepejal yang larut (Total Dissolved Solids [TSD]). Selain itu memberan RO juga menapis virus-virus.

Teknologisinaran Ultra-violetPenyahjangkitan (Ultra-violet Light Disinfection technologies).
Penyahjangkitan dengan sinaran Ultra-Violet adalah proses sokongan untuk menjamin pembasmian bakteria dan virus walaupun bakteria dan virus ini diakui telah diasingkan dengan proses Osmosis Songsang (RO) semasa melalui memberan halus proses tersebut.
 
Di bawah proses ini, antara lain air baru (Newater) dituras untuk menyaring partikel atau benda-benda halus dan kemudian didedahkan kepada cahaya UV untuk menghapuskan bakteria dan virus.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada 22 Mei 2001 telah membincangkan isu ini dan memutuskan bahawa “Air yang diproses secara penyulingan dikira air suci lagi menyucikan”. Ini berdasarkan hujah dan dalil seperti berikut:
 
Maksudnya:

“Jika hendak dibersihkan air yang najis hendaklah dilihat (keadaannya), sekiranya kenajisan air tersebut kerana berlakunya perubahan (warna, bau atau rasa) dan ia melebihi dua kolah, maka ia dikira suci disebabkan perubahan itu hilang dengan sendirinya atau disebabkan dengan ditambah air kepadanya atau diambil sebahagiannya kerana kenajisan itu disebabkan perubahan, sedangkan perubahan pula berlakunya tersebut sudah tiada”.

Penjelasan:

Jika hilang perubahan pada air najis yang melebihi dua kolah hendaklah dilihat (keadaannya), jika ia hilang dengantambahan air lain, maka (keadaan sedemikian) tiada khilaf ia, dikira suci, sama ada air yang ditambah itu suci atau air najis sama ada sedikit atau banyak. Begitu juga sama ada air yang ditambah itu ditambah dengan cara dituang atau dengan cara terbit (mata air).

Dan sekiranya ia telah hilang dengan sendirinya tanpa ditokok tambah sesuatu pun (larut) bahkan hilang perubahannya dengan pancaran cahaya matahari atau dengan tiupan angin atau dengan peralihan masa, maka (keadaan sedemikian) juga ia dikira suci mengikut mazhab (al-Syafii) dan keputusan ini juga dipegang oleh jumhur (kebanyakan ulama).
 
Air baru (Newater) adalah suci dan bersih dan ia tergolong daripada air mutlak yang suci lagi menyucikan. Ini berasaskan kepada hujah dan dalil seperti berikut:
 
Berdasarkan pendapat Sheikh Abd al-Rahman Abd al-Khalik ketika menghuraikan maksud ( ) hadith beliau menjelaskan:
 
  • Zat (molekul) air adalah selama-lamanya bersih (ini bertepatan dengan penemuan sains yang menyatakan bahawa air terdiri daripada molekul-molekul yang berasingan yang tidak boleh disebati oleh molekul lain).
     
  • Air tidak akan menjadi najis dengan sendirinya dan tidak larut dengan sesuatu elemen najis yang bercampur dengannya, tetapi air bertukar menjadi najis disebabkan ia membawa elemen najis.
     
  • Jika air yang terkena najis dirawat dengan dipisahkan najis tersebut daripadanya, maka air tersebut kembali suci lagi menyucikan.
Berdasarkan kepada pendapat Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ yang menyatakan cara-cara menghilangkan najis daripada air yang melebihi dua kolah adalah seperti berikut:
 
  1. Perubahan dengan cara sendiri (semulajadi) iaitu dengan perubahan masa, matahari atau tiupan angin.
  2. Perubahan dengan ditambah air ke atasnya.
  3. Perubahan dengan dikeluarkan najis tersebut daripada air.
Dari itu cara penyucian atau proses mewujudkan air baru (Newater) adalah bertepatan dengan pendapat Imam al-Nawawi iaitu melalui perubahan cara (2) dan (3) di atas.
 
Berdasarkan fatwa Majlis Ulama-ulama Besar Kerajaan Arab Saudi yang memutuskan seperti berikut:
 
Berdasarkan kepada apa yang telah dijelaskan oleh ahli-ahli ilmu bahawa air yang banyak yang terkena najis dihukumkan suci apabila ianya berubah dengan semulajadi atau dengan dimasukkan air bersih ke dalamnya atau berubah disebabkan ianya terlalu lama atau terkesan dengan cahaya matahari atau dengan tiupan angin atau seumpamanya. Ini kerana kaedah Usul Fiqh ada menjelaskan “Sesuatu hukum bergantung pada illahnya (sebabnya)”. Sebagai penerangan kepada kaedah ini, air tersebut dihukumkan najis disebabkan ada najis, dan apabila sudah hilang najis maka air tersebut dikira suci.

Memandangkan air yang najis boleh dipisahkan daripada najisnya dengan beberapa cara seperti yang disebutkan di atas, lebih-lebih lagi najis tersebut dapat dipisahkan atau dikeluarkan dengan menggunakan peralatan terkini yang canggih sepertimana yang diputuskan oleh pakar dalam bidang ini maka pengalaman dan kepakaran mereka tidak boleh dicurigakan lagi.

Sehubungan itu Majlis Ulama-ulama Besar Kerajaan Arab Saudi memutuskan bahawa air tersebut dihukum suci setelah dikitar semula dan air tersebut kembali kepada hukum asalnya iaitu suci. Air tersebut boleh digunakan untuk mengangkat hadas, membersih kotoran dan sah bersuci dengannya.

Walaubagaimanapun, Majlis berpendapat sekiranya masih ada punca air lain yang boleh digunakan maka keutamaan hendaklah diberi kepada penggunaan air lain yang didapati daripada sumber alam.
Keputusan Muzakarah Kebangsaan lain berkaitan: