Program Penyatuan Semula Keluarga Penghuni Jabatan Penjara Malaysia

Keputusan: 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 – 23 April 2009 telah membincangkan Program Penyatuan Semula Keluarga Penghuni Jabatan Penjara Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa memberikan layanan yang baik kepada para banduan dari segi kebajikan rohani dan jasmani adalah dituntut oleh Islam dan sebarang unsur-unsur penderaan atau penyeksaan kepada banduan adalah ditegah.
 
Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa cadangan untuk melaksanakan Program Penyatuan Semula Keluarga Penghuni Penjara (Conjugal Visit) adalah bersesuaian dengan ajaran Islam dan wajar dilaksanakan.
 
Walau bagaimanapun, peraturan dan syarat-syarat yang terperinci perlu ditetapkan dan dipatuhi supaya pelaksanaannya boleh membawa kebaikan (maslahah) dan tidak menimbulkan sebarang kemudharatan kepada mana-mana pihak.
Keputusan (English): 
 
The Conjugal Visit For Prison Inmates of the Prison Department Malaysia

Decision:

The 86th Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee National Council of Islamic Religious Affairs Malaysia held on 21st-23rd April 2009 has discussed on conjugal visits for prison inmates of the Prison Department Malaysia. The Committee has decided that giving good spiritual and physical treatments for the prisoners are encouraged in Islam. Any torture and prisoner abuse is prohibited.
 
Therefore, the Committee has decided that the proposal to implement conjugal visits for prison inmates is in line with Islamic teachings.
 
However, rules and regulations should be made and followed in order to ensure its implementation fits the purpose and it would not bring any harm to any party.
 
Keterangan/Hujah: 
 
 
  1. Dalam urusan pentadbiran negara, setiap keputusan dan tindakan pemerintah perlu mengambil kira kepentingan dan maslahah rakyat (تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة). Ia penting sebagai garis panduan kepada pemerintah ketika menjalankan pentadbiran negara agar setiap urusan yang dilaksanakan mampu mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan mengelakkan segala bentuk penindasan dan kezaliman.
     
  2. Dalam pentadbiran Islam, hukuman penjara dikenakan sama ada bagi tujuan pembalasan, pencegahan, pemulihan atau bagi tujuan soal siasat. Dari segi pelaksanaannya, Islam menekankan aspek keselesaan dan tiadanya unsur penyeksaan dan penindasan terhadap banduan.
     
  3. Dar al-Ifta’ Mesir berpandangan bahawa pelaksanaan lawatan konjugal hendaklah dibenarkan. Ini kerana dalam Islam kesalahan yang dilakukan oleh seseorang tiada kaitan dengan orang lain yang tidak bersalah. Lawatan konjugal ini dapat memenuhi keperluan lahiriah dan batiniah individu dalam usaha memastikan kestabilan dan keharmonian masyarakat dapat dilaksanakan.