Suntikan Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis Oleh Orang Islam

Keputusan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-53 yang bersidang pada 27 Nov 2002 telah membincangkan Suntikan Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis Oleh Orang Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum menggunakan pelalian meningococcal meningitis mencevax yang diambil daripada sumber lembu adalah harus. Manakala vaksin pelalian meningococcal Miningitis Monumune yang mengandungi unsur daripada babi adalah haram.

English Version

 
Meningococcal Meningitis Vaccination for Muslims

Decision:

The 53rd Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee of the National Council for Islamic Religious Affairs Malaysia held on 27th November 2002 has discussed Meningococcal Meningitis vaccination for Muslims. The Committee has decided that meningococcal meningitis mencevax vaccine extracted from cow sources is permissible. However, meningococcal meningitis monumune vaccine that contains pig sources is forbidden.
 
Keterangan/Hujah: 
 
Penyakit 'Meninggococcal Meningitis adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Nesseria Meningitides. Jangkitan penyakit ini menyebabkan radangan pada bahagian selaput otak dan saraf tunjang. Bakteria ini berjangkit melalui hubungan secara lansung (close contact) dengan titisan mulut dan hidung pesakit yang dijangkiti. Tempoh pengeraman jangkitan adalah di antara 2 hingga 10 hari. Mereka yang mengidap jangkitan ini akan mengalami demam, loya, bisa kepala dan sakit tengkuk (neck stiffness).Antara 5 hingga 10% pengidap tidak menunjukkan tanda-tanda klinikal tetapi masih berupaya menularkan penyakit (symtomless carriers). Dengan rawatan awal, kadar kematian dari jangkitan penyakit ini adalah dari 5 hingga 15%, tetapi jika tanpa rawatan kadar kematian akan melebihi 50%. Diagnosa penyakit ini melibatkan ujian makmal khas seperti ujian cecair tulang belakang (cerebral spinal fluid).

Kejadian penyakit 'Meninggococcal Meningitis di Malaysia berlaku secara sporadic dan pada kadar yang rendah (50 kes setahun). Walau bagaimanapun kejadian penyakit ini di Benua Afrika Utara adalah tinggi dan sering berlaku wabak. Langkah utama pencegahan penyakit ini adalah melalui penjagaan kesihatan diri yang baik serta mengelakkan ke tempat orang ramai yang sesak yang disyaki mempunyai jangkitan penyakit berkenaan. Jangkitan penyakit ini boleh dicegah melalui pelalian menggunakan Vaksin 'Meningococcal Meningitis. Pelalian boleh melindungi seorang dari jangkitan kuman penyakit tersebut bagi tempoh yang terhad mengikut jenis Vaksin Meninggococcal Meningitis yang digunakan.

Kerajaan Arab Saudi mendapati risiko jangkitan 'Meningococcal Meningitis di kalangan jemaah haji dan umrah semasa di Arab Saudi adalah tinggi dan atas sebab itu semua bakal haji dan umrah adalah diwajibkan mendapatkan pelalian 'Meninggococcal Meningitis yang sah sebelum visa haji/umrah dikeluarkan. Peraturan mewajibkan pelalian 'Meninggococcal Meningitis ke atas bakal jemaah haji dan umrah oleh Kerajaan Arab Saudi telah bermula sejak tahun 1988 lagi. Pada mulanya jenis vaksin yang diwajibkan digunakan kepada bakal
jemaah haji dan umrah adalah Vaksin 'Meningococcal Mengintis A, C. Walaubagaimanapun disebabkan terdapat perubahan corak jenis kuman yang menyebabkan jangkitan penyakit, mulai tahun 2002 Kerajaan Arab Saudi mewajibkan penggunaan Vaksin 'Meninggococcal Meningitis jenis A, C, Y, W135 yang juga dikenali sebagai Vaksin 'Meningococcal Meningitis Quadrivalent (ACYW135). Satu suntikan Vaksin 'Meningococcal Meningitis (ACYW135) boleh memberi perlindungan kepada individu berkenaan selama 3 tahun dari jangkitan penyakit 'Meninggococcal Meningitis yang disebabkan oleh kuman Nisseria Meningitidies dari SerotypeA, C, Y, dan W135.

Pada masa ini di Malaysia terdapat dua (2) jenama Vaksin 'Meninggococcal Quadrivalent dalam pasaran, yang didaftar dan diluluskan penggunaannya oleh Biro Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia. Jenama tersebut adalah seperti berikut:
 
Jenama : Monumune Injection
Pengeluar : Syarikat Aventis Pharma, Malaysia
(Bahan mentah yang digunakan termasuk sumbersumber bovine (lembu), porsin (khinzir) dan Avian (itik). Bahagian yang digunakan termasuk susu, limpa dan bulu itik)
 
Jenama : Mencevax Injection
Pengeluar : Syarikat GlaxoSmithKline Pharmaceuticals (Produk ini tidak mengandungi bahan dari sumber binatang kecuali laktosa daripada susu lembu)
 
Vaksin yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah dari jenama Mencevax yang dipasarkan oleh Syarikat GlaxoSmithKline Pharmaceutical.

Pada prinsipnya ulama sepakat bahawa makanan (termasuk perubatan) yang dibenarkan oleh Islam menggunakannya adalah bahan yang baik (toyyib) yang tidak mempunyai unsur-unsur yang merbahaya kepada kesihatan badan dan akal manusia. Al-Quran dan hadis telah memperakui bahawa setiap bahan yang asalnya halal dan bersih akan berubah hukum penggunaannya kepada haram jika wujud unsur-unsur najis ketika pemprosesan bahan tersebut dilakukan. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.:
 
Maksudnya:

“Dan Allah mengharamkan atas mereka yang kotor-kotor”. (al-A`raf: ayat 156)
 
Bahan ubatan yang menggunakan bahan yang diragui kehalalannya adalah haram. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:
 
Maksudnya:

“Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara kesamaran yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia; apakah ia termasuk bahagian yang halal atau haram. Maka sesiapa yang menjauhinya kerana hendak membersihkan agama dan kehormatannya maka dia akan selamat. Dan sesiapa yang mengerjakan sedikitpun daripadanya hampir-hampir ia akan jatuh ke dalam haram, sebagaimana orang yang mengembala kambing di sekitar daerah larangan, dia hampir-hampir jatuh kepadanya. Ingatlah, bahawa tiap-tiap raja mempunyai daerah larangan. Ingat pula, bahawa daerah larangan Allah itu ialah semua yang diharamkan”.
 
Kefahaman dan penghayatan tentang aspek perubatan sangat penting kerana ia akan memberi kesan bukan sahaja aspek kejiwaan pesakit malah juga dari aspek ibadat pesakit tersebut. Umpamanya seseorang Islam yang memakan atau menggunakan bahan perubatan yang haram atau najis maka ibadatnya tidak akan diterima Allah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:
 
Maksudnya:

“Setiap daging yang tumbuh daripada (perkara) yang haram, maka api neraka lebih layak baginya”. (Riwayat al-Tabrani)
 
Walaubagaimanapun sekiranya tidak didapati oleh pesakit (atau orang yang memerlukan) melainkan dalam keadaan dharurat dan terpaksa menggunakan anggota haiwan yang tidak halal, maka tidak menjadi kesalahan kerana keperluan yang mendesak tersebut. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.:
 
Maksudnya:

“Sesiapa yang terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melewati batas, maka tidaklah berdosa baginya, kerana sesungguhnya Al lah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani”. ( al-Baqarah: ayat 173)
Keputusan Fatwa Kebangsaan lain berkaitan: 
Bil Tajuk Bil. JKF Tarikh Keputusan
1 Hukum Penggunaan Vaksin Biothrax Dan Vaksin Rotateq Yang Menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya Muzakarah Kali Ke-81 31 Mar, 2008
2 Imunisasi Hepatitis B Muzakarah Kali Ke-22 24 Nov, 1988
3 Pandangan Islam Terhadap Imunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Dipteria, Tetanus Dan Polio Muzakarah Kali Ke-24 5 Jun, 1989
4 Pelalian Rubela (Imunisasi Rubela) Muzakarah Kali Ke-21 12 Sep, 1988
5 Hukum Pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV) Muzakarah Kali Ke-92 16 Dec, 2010