Zakat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA)
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada 23 Oct 2003 telah membincangkan Zakat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA). Muzakarah telah memutuskan bahawa:
-
ANGKASA wajib mengeluarkan zakat setelah ditolak semua perbelanjaan perkhidmatan, pengurusan dan cukai pendapatan kiranya cukup haul dan nisab dengan kadar 2.5%.
- Zakat hendaklah dibayar berdasarkan kepada pendapatan dan keuntungan daripada aktiviti perniagaan yang dijalankan apabila mendapat pertumbuhan, perkembangan dan pembesaran berbanding nilai dan modal.
Keputusan (English):
Zakat on ANGKASA (the National Co-operative Movement of Malaysia Berhad)
Decision:
The 60thMuzakarah (Conference)of the Fatwa Committee National Council of Islamic Religious Affairs Malaysia held on 23rdOctober 2003 has discussed zakat on ANGKASA. The Committee has decided that:
-
ANGKASA is obliged to pay zakat after deducting all service and administration costs and income tax when the amount is due and the rate is 2.5%.
-
Zakat should be paid according to income and profit from business activities that have achieved growth, development and enhancement as compared to the value and capital.
Keterangan/Hujah:
LATAR BELAKANG
ANGKASA merupakan sebuah koperasi apex yang menggabungkan semua jenis koperasi asas, menengah dan atasan di seluruh negara. ANGKASA diiktiraf oleh kerajaan sebagai badan yang mewakili Pergerakan Koperasi Malaysia pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ia didaftarkan di bawah Akta Koperasi 1993 dan diiktiraf oleh kerajaan di bawah seksyen 57 akta yang sama.
Keanggotaannya terdiri daripada koperasi-koperasi, bukan orang perseorangan dan tidak ada modal dan tidak menjalankan apa-apa perniagaan berdasarkan pengeluaran produk. Tujuan asal ia ditubuhkan adalah untuk :
a. menyatukan pergerakan koperasi tanah air supaya boleh bercakap sebagai satu suara,
b. mengembangkan konsep dan prinsip berkoperasi menerusi pendidikan dan sebagainya, dan
c. mengadakan perkhidmatan dan kemudahan yang diperlukan oleh koperasi ahli ANGKASA setakat kemampuannya.
b. mengembangkan konsep dan prinsip berkoperasi menerusi pendidikan dan sebagainya, dan
c. mengadakan perkhidmatan dan kemudahan yang diperlukan oleh koperasi ahli ANGKASA setakat kemampuannya.
Sebagai badan apex, ANGKASA tidak mengenakan apa-apa bayaran atau fee kepada koperasi yang menjadi ahli kecuali bayaran masuk.Kewangan ANGKASA diperoleh daripada:
a. peruntukan daripada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi (KWAPK),
b. bayaran perkhidmatan yang dikenakan kepada koperasi yang menggunakan kemudahan potongan gaji Biro Perkhidmatan ANGKASA (BPA), dan
c. skim Amanah Saham yang ditubuhkan oleh ANGKASA.
b. bayaran perkhidmatan yang dikenakan kepada koperasi yang menggunakan kemudahan potongan gaji Biro Perkhidmatan ANGKASA (BPA), dan
c. skim Amanah Saham yang ditubuhkan oleh ANGKASA.
Sebahagian wang yang diperoleh digunakan untuk program latihan termasuk mengadakan bengkel, seminar dan belanja perwakilan ANGKASA menghadiri majlis atau mesyuarat sama ada peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Manakala lebihan wang tersebut dibawa ke tahun hadapan. Persoalan yang timbul ialah adakah ANGKASA perlu mengeluarkan zakat daripada keuntungan yang diperoleh menerusi operasi perniagaan tidak langsung (tanpa produk), pendapatan dan laba daripada sektor pelaburan yang diceburi? Apakah ANGKASA memenuhi kriteria syakhsiah maknawiyyah atau i’tibariyyah dan dikategorikan mukalaf sebagai individu Muslim?
HUJAH DAN DALIL
Memandangkan ANGKASA mempunyai pendapatan sendiri walaupun tiada pegangan saham atau kepentingan individu di dalamnya, ANGKASA sendiri boleh diiktiraf sebagai sebuah syarikat muslim dan ia boleh dianggap sebagai syakhsiah maknawiyyah atau i’tibariyyah dalam penentuan zakat.
Al-Quran menjelaskan bahawa zakat wajib dikeluarkan pada emas dan perak, tanaman dan buah-buahan, harta perniagaan dan harta tersimpan dari perut bumi. Manakala selain yang tersebut, kewajipan berzakat disandarkan kepada dalil umum daripada kalimah “amwal” yang bermaksud “harta” sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah:
Maksudnya:
Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyusucikan mereka (dari akhlak yang buruk). (Surah al-Taubah 9:103).
Justeru, ANGKASA sebagai syakhsiah i’tibariah (dianggap sebagai seorang individu) wajib mengeluarkan zakat daripada keuntungan bersih kegiatan perniagaannya itu sebanyak 2.5% sebagai zakat perniagaan.
Kewajaran Pembayaran Zakat Oleh ANGKASA
Terdapat beberapa kewajaran yang menuntut ANGKASA perlu mengeluarkan zakat. Antara lainnya adalah seperti berikut:
a. Menjalankan Aktiviti Perniagaan
ANGKASA merupakan badan koperasi dan bukan syarikat perniagaan. ANGKASA menyatakan tidak menjalankan apa-apa perniagaan dengan maksud koperasi tidak menjalankan aktiviti perniagaan yang melibatkan pengeluaran sesuatu jualan. Penglibatan ANGKASA dalam aktiviti perniagaan adalah secara tidak langsung seperti pendapatan daripada Bayaran Perkidmatan Potongan Gaji (BPA), sumbangan daripada koperasi-koperasi yang berada di bawahnya dan wang pelaburan dalam skim Tabungan Amanah Saham Angkasa dan dalam bank-bank.
b. Mempunyai Punca Pendapatan
ANGKASA adalah ditadbir mengikut konsep koperasi dan tidak bergiat dalam kegiatan perniagaan pengeluaran produk seperti koperasi-koperasi lain. ANGKASA yang didaftarkan di bawah Akta Koperasi 1993 adalah sebuah koperasi yang turut mempunyai punca pendapatan melalui pelbagai sumber seperti pulangan bank, penjualan, sewaan dan pelaburan serta lain-lain pembayaran.
c. Koperasi Sebagai Sebuah Syarikat
Berdasarkan konsep dan aktiviti ANGKASA, badan koperasi ini juga boleh dikategorikan sebagai syarikat iaitu penyertaan secara bersama dalam bentuk aktiviti yang dipersetujui. Dalam Islam ia mungkin boleh dikategorikan sebagai syarikat inan. Syarikat inan ialah perkongsian keuntungan tanpa ditentukan jumlah modal. Menurut Wahbah al-Zuhaily konsep perkonsian sebelah pihak menjalankan aktiviti (al-amil) dan sebelah pihak pencarum (rab al-mal/al-malik) ialah dikenali sebagai muamalat sebuah syarikat mudharabah.
Berdasarkan fakta-fakta tersebut, operasi dan konsep perniagaan yang dijalankan oleh ANGKASA sebenarnya memenuhi kriteria sebagai sebuah badan yang mempunyai keuntungan dan pendapatan sama seperti sebuah syarikat. Oleh itu, amat wajar ANGKASA dikategorikan sebagai syakhsiah al-maknawiyyah atau syaksiyyah iktibariyyah yang perlu dikenakan zakat. Keupayaan secara kolektif oleh individu-individu yang mentadbir ANGKASA menjadikan badan koperasi ini mempunyai ciri-ciri mukalaf sama seperti mukallaf al-fardiyyah yang secara umumnya wajib membayar zakat.
Sumber: Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan: Berhubung Dengan Isu-Isu Muamalat (2009)
- 362 reads
Printer-friendly version
