Zakat Ke Atas Firma-Firma Dan Syarikat Konsultan
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-50 yang bersidang pada 10 Mei 2001 telah membincangkan Hukum Zakat Ke Atas Firma-Firma Dan Syarikat Konsultan. Muzakarah telah memutuskan bahawa wajib zakat ke atas firma-firma dan syarikat konsultan, jika dimiliki bersama antara orang Islam dan bukan Islam, hak orang Islam sahaja yang kena zakat dan tidak ke atas milik bukan muslim.
Keputusan (English):
Zakat on firms and consultancy companies
Decision:
The 50thMuzakarah (Conference) of the Fatwa Committee National Council of Islamic Religious Affairs Malaysia held on 10thMay 2001 has discussed zakat on firms and consultancy companies. The Conference has decided that for zakat is obligatory on firms and consultancy companies. If the firms and consultancy firms are jointly owned by Muslims and non-Muslims, zakat is only imposed on the Muslims' shares.
Keterangan/Hujah:
LATAR BELAKANG
Isu yang dibangkitkan dalam masalah ini ialah berkaitan dengan mengenal pasti sama ada semua firma dan syarikat-syarikat konsultan wajib membayar zakat atau sebaliknya. Mengikut Kamus Dewan, konsultan bermaksud pakar runding, iaitu khidmat pakar runding bagi sesuatu projek yang akan dilaksanakan oleh sesuatu pihak.
HUJAH DAN DALIL
Para ulama daripada kalangan sahabat, tabi’in dan para fuqaha telah bersepakat mengatakan bahawa pemilik-pemilik syarikat perniagaan dan perkhidmatan adalah wajib mengeluarkan zakat apabila mencukupi syarat-syaratnya. Pendapat tersebut berdasarkan firman Allah SWT :
Maksudnya:
Wahai orang beriman hendaklah kamu membelanjakan harta kamu yang baik-baik iaitu hasil daripada apa yang kamu telah usahakan daripada harta-harta yang kami keluar untuk kamu dari bumi... (Al-Baqarah: 267)
Para ulama mentafsirkan perkataan “kasabtum” dengan erti “berbagai usaha halal yang dilakukan oleh manusia” sama ada usaha perniagaan, perindustrian, pertanian dan sebagainya. Tidak kira usaha itu dilakukan secara perseorangan atau syarikat. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya:
Tidak boleh dihimpun antara yang terpisah dan tidak boleh dipisah-pisahkan antara yang terhimpun kerana takut bersedekah (zakat)...
Tidak boleh dihimpun antara yang terpisah dan tidak boleh dipisah-pisahkan antara yang terhimpun kerana takut bersedekah (zakat)...
Daripada hadis di atas bahawa beberapa individu yang berada dalam satu syarikat atau perkumpulan maka dianggap satu, tanpa terpisah antara satu sama lain. Dalam hadis lain:
Maksudnya:
Daripada Samrah katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW menyuruh kami mengeluarkan zakat daripada hasil jualan.
Apabila sebuah syarikat atau firma ditubuhkan dengan akad dan niat untuk menjalankan perniagaan maka syarikat tersebut dikenakan zakat. Syarikat ini tertakluk kepada syarat-syarat zakat perniagaan yang dikenakan kepada orang perseorangan iaitu dengan kadar 2.5%. Bagi syarikat yang membekalkan perkhidmatan seperti syarikat guaman, perhotelan, runding cara dan perubatan, maka syarikat-syarikat tersebut juga dianggap syarikat perniagaan. Menurut pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi, sekiranya kerajaan telah menubuhkan syarikat dan memberikan modal seterusnya memberinya kuasa untuk menjalankan perniagaan, maka syarikat tersebut wajib membayar zakat.
Sumber: Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan: Berhubung Dengan Isu-Isu Muamalat (2009)
- 364 reads
Printer-friendly version
