Zakat Wang KWSP

Keputusan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-5 yang bersidang pada 16-17 Feb 1982 telah membincangkan Zakat Wang KWSP. Muzakarah telah memutuskan bahawa wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, bagi pekerja-pekerja Islam wajib dikeluarkan zakat bila cukup haulnya iaitu setahun setelah penerimaannya berdasarkan Mazhab Syafie.

English Version

 
Zakat on Employees Provident Fund (EPF) money
 
Decision:
 
The 5thMuzakarah (Conference) of the Fatwa Committee National Council of Islamic Religious Affairs Malaysia held on 16th-17thFebruary 1982 has discussed on zakat on Employees Provident Fund money.The Conference decided that zakat is obligatory on contributions made by Muslim employees when the time is due (haul). The haul according to Shafici Mazhab is one complete year after the money was received.
Keterangan/Hujah: 
 
LATAR BELAKANG
 
Setiap kakitangan kerajaan dan juga badan-badan berkanun dikehendaki mencarum sebanyak 9% daripada gajinya ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ini bererti bahawa jumlah wang yang terkumpul hasil daripada pencaruman tersebut boleh meningkat kepada jutaan ringgit memandangkan jumlah kakitangan kerajaan dan badan-badan berkanun adalah ramai. Bilangan kakitangan berkenaan yang beragama Islam merupakan kumpulan majoriti yang mencarum kepada KWSP. Sekiranya dibuat potongan terhadap simpanan itu sebagai menunaikan kewajipan membayar zakat sudah tentu jumlah yang akan didapati cukup untuk dijadikan modal bagi mengembangkan harta dan dikembalikan faedahnya kepada golongan yang berhak menerimanya sebagaimana yang dijelaskan dalam Islam.

HUJAH DAN DALIL
 
Syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat harta adalah seperti berikut;
 
a. Islam (pemilik harta tersebut),
b. merdeka (bukan hamba tebusan),
c. cukup nisab (kadar yang ditetapkan),
d. haul (genap setahun), dan
e. sempurna milik.
 
Syarat yang tidak terdapat dalam KWSP yang hendak dikenakan zakat ke atasnya adalah sempurna milik. Ertinya harta yang hendak dikenakan zakat itu telah menjadi milik sempurna pencarum KWSP. Pencarum tersebut bebas untuk membelanjakan harta tersebut mengikut kehendaknya pada bila-bila masa. Berdasarkan peraturan KWSP iaitu wang yang dicarumkan itu tidak boleh dikeluarkan kecuali dalam keadaan yang telah ditetapkan seperti berikut:
  1. Genap umur 55 tahun (umur bersara bagi kakitangan awam),
  2. Pencarum boleh mengeluarkan kadar tertentu sahaja daripada wang caruman itu apabila genap umur 50 tahun untuk tujuan tertentu dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan,
  3. Pencarum boleh mengeluarkan kadar yang telah ditetapkan oleh kerajaan dengan tujuan membeli rumah, dan
  4. Wang caruman tersebut boleh dikeluarkan oleh waris pencarum sekiranya pencarum  meninggal dunia.
Syarat-syarat yang ditetapkan menunjukkan pencarum tidak mempunyai kuasa ke atas wang simpanan tersebut untuk dibelanjakan bagi keperluan dirinya kecuali apabila telah tiba masa yang ditetapkan atau dengan tujuan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Ini bererti bahawa pencarum tidak memiliki hartanya (caruman) sebagai pemilikan sempurna di mana pemilikan sempurna merupakan salah satu syarat wajib zakat. Jika dilihat pada akhirnya wang caruman itu akan menjadi milik sempurna pencarum, namun ia berlaku apabila sampai tempoh yang ditetapkan oleh kerajaan.
 
Sumber: Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan: Berhubung Dengan Isu-Isu Muamalat (2009)