Adakah Boleh Bagi Seseorang Untuk Menghibahkan Hartanya Kepada Ahli-Ahli Waris Semasa Dia Hidup Dan Berkeadaan Sihat?

Tarikh Keputusan: 
1 Jan, 1999
Keputusan: 
Harus bagi seseorang ketika masih hidup dan sihat untuk menghibahkan sebahagian hartanya atau kesemuanya kepada mana-mana orang yang disukainya dan tidak ada pihak yang boleh menghalangnya berbuat demikian kecuali kalau dia seorang yang mahjur iaitu orang yang ditahan untuk berurusan dengan hartanya seperti muflis, cacat akal dan seumpamanya. Namun demikian, syarak memberikan panduan untuk melaksanakan hibah hendaklah seboleh-bolehnya berlaku adil kepada kaum keluarganya berdasarkan hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh al Bukhari. Yang bermaksud: 'Bertaqwalah kepada Allah dan berlaku adillah kamu kepada anak-anak kamu'.
Keterangan/Hujah: 
Takrif Hibah "Aqad yang membawa pemiliknya, tanpa tukaran (bayaran), semasa hidup, dan dengan cara sukarela". Dalil-dalil Masru"iyah Hibah (i) Firman Allah: Yang bermaksud: "Dan dia memberikan hartanya dengan sukarela kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin dan orang bermusafir". Ayat ini menunjukkan pujian Allah swt kepada orang yang menafkahkan harta dengan sukarela kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan sebagainya. Ini bermakna bahawa pemberian harta adalah suatu yang digalakkan dalam syariat Islam. (ii) Firman Allah: Yang bermaksud: "Jika mereka dengan sukahati memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwin mereka, makanlah (ambillah) sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya" (Surah al Nisaa" ayat 4). Ayat ini menyatakan tentang harus bagi isteri untuk menghibahkan mas kahwin yang diterimanya kepada suaminya dan suami boleh menerimanya. Mafhum muwafaqah dari ayat ini menunjukkan bahawa pemberian adalah suatu yang terpuji dan diberi ganjaran di sisi Allah swt. Rukun Hibah 1) Ijab -Pengakuan memberi 2) Qabul -Pengakuan menerima 3) Qabdhu-Terima Syarat-syarat Hibah 1) Pemberi adalah seorang yang harus berurusan dengan hartanya (Berakal, baligh merdeka dan tidak mahjur). 2) Pemberian dengan cara sukarela dan tidak dipaksa. 3) Harta pemberian adalah sah dijualbeli. 4) Pemberian tanpa tukaran (bayaran) 5) Penerima adalah orang yang harus memiliki harta. 6) Penerima bersetuju menerima pemberian itu atau walinya menerima bagi pihaknya. 7) Pemberian dilakukan dengan terus (tanp;a syarat). 8) Pemberian tidak ditentukan tempoh masa. Pemberian/Hibah Kepada Anak-Anak Jumhur ulama" berpendapat bahawa sunat bagi seseorang jika dia menghibahkan harta kepada anak-anak, hendaklah dibuat secara sama rata dan makruh membezakan antara mereka ketika dia sihat, kecuali ada sebab-sebab tertentu seperti anak yang banyak tanggungan, yang sakit, banyak hutang, menuntut ilmu dan sebagainya. Walaubagaimanapun, harus juga menghibahkan harta berdasarkan pembahagian faraid. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah saw.: Yang bermaksud: "Samakanlah pemberian antara anak-anak kamu dan sekiranya aku ingin melebihkan, nescaya aku akan lebihkan wanita daripada lelaki." (Hadis riwayat Said bin Mansor dengan Sanad Hassan) Sabda Rasulullah saw. Lagi: Yang bermaksud: "Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan berlaku adillah antara anak-anak kamu". (Hadis riwayat al Bukhari) Para ulamak Hanabilah menyatakan bahawa maksud penyamaan dan adil di dalam hadis ini ialah pemberian mengikut kaedah faraid (Pembahagian pusaka). Wallahu A"alam.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Negeri/Group: