Anak Tak Sah Taraf

Tarikh Keputusan: 
14 Oct, 2005
Keputusan: 
 
Anak Tak Sah Taraf ialah:-

(i) Anak yang dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada hasil daripada zina atau rogol;

(ii) Anak yang dilahirkan kurang 6 bulan 2 lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan dia bukan hasil daripada persetubuhan Syubhah; dan

(iii) Anak yang dilahirkan lebih dari 6 bulan 2 lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak luar nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak.

Keterangan/Hujah: 
 
• Pensabitan nasab kanak-kanak hendaklah mengikut kaedah-kaedah yang telah ditetapkan oleh hukum syara` sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu `alayhi wasallam:

اَلْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ .
Maksudnya:
“Anak itu bagi siapa yang menggauli ibunya (dalam nikah yang sah).”
(Riwayat Jama`ah melainkan Tirmizi)

• Menurut Imam Nawawi, maksud hadith di atas ialah jika seseorang lelaki itu mempunyai isteri atau hamba, maka dia seolah-olah menjadi hamparan tempat tidurnya ( فراش ). Apabila perempuan tersebut melahirkan anak bagi suatu tempoh yang memungkinkan anak itu wujud, maka anak itu disabitkan menjadi anaknya dan hak bagi lelaki berkenaan. Dengan itu, berjalanlah antara mereka hukum pewarisan dan hukum-hakam yang lain.

• Terdapat tiga syarat penting yang perlu dipenuhi dalam menasabkan anak yang lahir hasil daripada pernikahan yang sah iaitu:

1. Ada kemungkinan anak tersebut adalah daripada suami berkenaan, maknanya suami adalah orang yang mempunyai faktor-faktor yang boleh menyebabkan kehamilan isterinya seperti tidak lemah syahwat yang menyebabkan dia tidak mampu menyetubuhi isteri atau dia mandul atau sebab-sebab lain yang boleh menafikan anak itu daripada suami berkenaan.

2. Suami tidak menafikan nasab anak itu daripadanya melalui proses li`an.

3. Isteri melahirkan anak berkenaan dalam tempoh mengandung yang minimum.

• Para ulama’ telah bersepakat menetapkan bahawa tempoh minimum seseorang wanita itu hamil dan melahirkan anak ialah enam bulan. Penentuan tempoh enam bulan tersebut adalah berdasarkan maksud dua ayat Al-Qur'an yang menerangkan tentang masa hamil (tempoh mengandung) dan penyusuan.

1. Firman Allah subhanahu wata`ala:

{ وَحَمْلُهُ وَفِصَلُهُ ثَلَـثُونَ شَهْرًا }
Maksudnya:
“Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.”
(Surah Al-Ahqaf 46:15)

2. Firman Allah subhanahu wata`ala yang lain:

{ وَفِصَلُهُ فِى عَامَيْنِ }
Maksudnya:
“Dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun.”
(Surah Luqman 31:14)

Daripada maksud kedua-dua ayat di atas, jika ditolak tempoh masa penyusuan anak iaitu 2 tahun atau 24 bulan daripada tempoh 30 bulan (masa keseluruhan hamil dan menyusukan anak), bererti masa yang bakinya, iaitu tempoh hamil ialah 6 bulan.

• Ash-Shaykh Muhammad `Ali As-Sabuni dalam kitabnya “Rawa’i` Al-Bayan” menyebutkan bahawa telah diriwayatkan, bahawa seorang perempuan berkahwin, kemudian melahirkan anak setelah enam bulan daripada perkahwinannya. Dia dihadapkan kepada khalifah `Uthman radhiyallahu `anh. Beliau mahu merejam perempuan berkenaan, tetapi Ibnu `Abbas berkata kepada `Uthman: “Perempuan ini, jika dia menentang kamu dengan kitab Allah, kamu akan kalah.”

Allah berfirman:

{ وَحَمْلُهُ وَفِصَلُهُ ثَلَـثُونَ شَهْرًا }

Maksudnya:
“Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.”
(Surah Al-Ahqaf 46:15)

Firman Allah selanjutnya:

{ وَالْوَلِدَتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ }
Maksudnya:
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”
(Surah Al-Baqarah 2: 233)

Maka, tempoh hamil ialah 6 bulan dan penyusuan pula 24 bulan. Berdasarkan dalil itu, Sayyidina `Uthman radhiyallahu `anh pun membebaskan wanita berkenaan daripada hukuman.

• Ahmad Mustafa Al-Maraghiy di dalam kitab “Tafsir Al-Maraghiy” turut menyebutkan bahawa tempoh kehamilan dan menghentikan anak daripada menyusu memakan masa selama 30 bulan. Ayat 233 Surah Al-Baqarah itu menunjukkan bahawa tempoh hamil yang paling singkat ialah selama 6 bulan dan tempoh menyusu yang paling lama ialah genap 2 tahun. Masa yang tinggal untuk mengandung hanya 6 bulan. Dengan demikian dapat diketahui masa mengandung yang paling pendek dan masa menyusu yang paling lama.

Orang pertama yang membuat kesimpulan ini berdasarkan ayat tersebut ialah `Ali karamallahu wajhah yang kemudiannya dipersetujui oleh `Uthman radhiyallahu `anh bersama para sahabat Nabi sallallahu `alayhi wasallam. Muhammad Ishaq iaitu pengarang kitab “As-Sirah” meriwayatkan daripada Ma`mar ibn `Abdullah Al-Juhaniy yang berkata:

“Ada seorang lelaki dari kalangan kami yang mengahwini seorang wanita daripada Bani Juhaynah. Wanita itu melahirkan anak setelah perkahwinannya genap selama enam bulan. Maka suaminya menemui `Uthman radhiyallahu `anh untuk menceritakan perkara tersebut. Selepas itu, `Uthman pun menyuruh wanita itu menemuinya, dan ketika wanita itu mahu memakai pakaiannya, saudara perempuannya pun menangis. Lalu wanita itu berkata kepadanya, “Mengapa kamu menangis? Demi Allah, tidak ada seorang pun antara makhluk Allah subhanahu wata`ala yang telah mencampuri aku sama sekali selain dia. Kemudian Allah subhanahu wata`ala pun memberi keputusan kepadaku menurut kehendakNya.” Ketika wanita itu ditempatkan di hadapan `Uthman, maka `Uthman pun menyuruh wanita itu direjam. Apabila perkara itu didengar oleh `Ali, beliau pun menemui `Uthman lalu berkata: “Apakah yang kamu lakukan?” `Uthman pun menjawab: “Wanita itu bersalin setelah usia perkahwinannya genap enam bulan dan mustahil perkara ini berlaku.” `Ali pun berkata kepadanya: “Tidakkah engkau membaca Al-Qur’an?” “Tentu”, jawab `Uthman. `Ali pun berkata lagi: “Tidakkah engkau mendengar Allah subhanahu wata`ala berfirman: “Mengandungnya sehingga memutuskan susu itu selama 30 bulan.” FirmanNya pula: “... selama enam bulan penuh.” Kamu dapati bakinya hanya enam bulan. Kemudian `Uthman pun berkata: “Demi Allah, aku tidak berfikiran sejauh itu. Bawalah ke mari wanita itu.” Ternyata wanita itu benar-benar telah dipersiapkan untuk menerima hukuman.” Ma`mar pun berkata: “Demi Allah, tidak ada gagak yang serupa gagak, dan tidak ada telur yang serupa telur sehingga melebihi persamaan anak itu dengan bapanya.” Ketika ayahnya tahu, beliau pun berkata: “Anakku, demi Allah, aku tidak ragu mengenainya.”

Diriwayatkan juga bahawa Ibn `Abbas berpendapat apabila ada wanita yang bersalin setelah mengandung sembilan bulan, maka cukuplah baginya untuk menyusui anaknya selama 21 bulan. Seterusnya apabila wanita itu bersalin setelah mengandungkan anaknya selama tujuh bulan, hendaklah dia cukupkan baginya untuk menyusui anaknya selama 23 bulan. Begitu juga apabila dia bersalin setelah mengandung selama enam bulan, hendaklah dia menyusui anaknya selama dua tahun secara genap.

• Oleh yang demikian, para ulama’ telah menetapkan hukum bahawa mana-mana anak yang dilahirkan dalam tempoh enam bulan atau lebih yang dikira daripada masa suami isteri boleh bersatu melalui nikah yang sah, maka nasab anak tersebut disabitkan kepada suami wanita berkenaan pada zahir sahaja dan berjalanlah segala hukum-hakam nasab ke atasnya. Sebaliknya, jika anak tersebut lahir kurang daripada enam bulan, maka nasabnya tidak bersambung dengan suami kepada ibu atau wanita yang melahirkan anak berkenaan. Anak tersebut hendaklah dinasabkan kepada ibu yang melahirkannya sahaja dan jika hendak dibin atau dibintikan, boleh dinasabkan kepada ibunya atau kepada nama `Abdullah atau salah satu daripada Asma’ullah Al-Husna.

 

Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
27 Oct, 2005
Nombor Rujukan: 
PMM/0020 Jld.6
Akta/Enakmen: 
M.P.U. 42
Keputusan Fatwa Kebangsaan lain berkaitan: 
Bil Tajuk Bil. JKF Tarikh Keputusan
1 Penamaan Anak Tak Sah Taraf (Anak Luar Nikah) Muzakarah Kali Pertama 28 Jan, 1981
2 Anak Tak Sah Taraf Muzakarah Kali Ke-57 10 Jun, 2003
Negeri/Group: