Buku Bertajuk ' Hakikat Insan'

Tarikh Keputusan: 
12 Oct, 1997
Huraian Tajuk/Isu: 
Buku yang bertajuk 'Hakikat Insan' karangan Haji Ahmad Laksamana, Kota Bharu, Kelantan adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islamiah
Keputusan: 
ENAKMEN PENTADBIRAN
UNDANG-UNDANG ISLAM 1991
(Enakmen 3/91)

FATWA DI BAWAH SEKSYEN 36

Fatwa berikut yang dibuat oleh Mufti Negeri di bawah subseksyen 36 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 39 (6) Enakmen itu adalah disiarkan menurut subseksyen 36(2) Enakmen itu:

A. Bahawa buku yang bertajuk 'Hakikat Insan' karangan Haji Ahmad Laksamana, Kota Bharu, Kelantan adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islamiah.

B. Bahawa orang atau orang-orang atau kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku 'Hakikat Insan' adalah sesat dan bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islamiah.

C. Oleh yang demikian:

(1) Mana-mana orang atau orang-orang atau kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku 'Hakikat Insan' adalah menyeleweng dan menjadi murtad.

(2) Mana-mana orang Islam adalah dilarang:

(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan, berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku 'Hakikat Insan.'

(b) mencetak, menerbit, memiliki, menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan buku 'Hakikat Insan' atau mana-mana bahagiannya termasuk:

(i) apa-apa bentuk, versi atau variasinya;

(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa jua bahasa;

(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada buku 'Hakikat Insan.'

Pada apa-apa bahan, samada bahan cetak atau media elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media;

(c) mengembangkan ajaran-ajaran buku 'Hakikat Insan'.

(d) menjalankan sebarang kegiatan yang berkaitan dengan pengajaran, penyebaran atau membantu ke arah penyebaran ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku 'Hakikat Insan'.

 

Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
1 Jan, 1998
Nombor Rujukan: 
S.S.M..Phg. 04/010/97;M.U.I.Ph
Akta/Enakmen: 
9
Negeri/Group: