Fatwa Ajaran Hassan Anak Rimau **

Tarikh Keputusan: 
28 Jan, 1986
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 28 Jan 1986 telah membincangkan fatwa mengenai ajaran Hassan Anak Rimau. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut:
 
Pada menjalankan kuasa-kuasa yang diberi oleh seksyen 14 (3) Undang-Undang Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1966, Majlis menerusi Jamaah Ulama menetapkan fatwa sebagaimana berikut:
 
 Setelah mengkaji teks daripada pita rakaman percakapan seseorang yang digelar Hassan Anak Rimau atau Hassan Bin Yaakub dengan Pegawai Penguasa Penjara  yang mengandungi butir-butir ajaran dan akidahnya dan didapati menyentuh ketuhanan Allah. Kerasulan Nabi Muhammad (s.a.w) dan kesucian Al-Quranulkarim, maka dengan itu bersetuju memfatwakan bahawa ajarannya adalah menyeleweng yang boleh membawa kepada kufur. Jumaah Ulama juga kuat berpendapat bahawa Hassan Anak Rimau adalah seorang penganut dan penyebar ajaran salah. Jumaah Ulama juga telah menghalusi amalan zikir Hassan Anak Rimau dan didapati ianya ada hubungan rapat dengan konsep ajaran dan akidahnya, maka dengan ini memfatwakan bahawa amalan zikir berkenaan adalah salah.
 
Fatwa-fatwa tersebut hendaklah tertakluk kepada semua orang Islam yang tinggal di dalam negeri selain daripada orang-orang Islam yang bukan Bangsa Melayu yang tertakluk kepada undang-undang diri selain daripada yang terdapat di Kelantan.
 
Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
3 Jul, 1986
Nombor Rujukan: 
[MUI.(Kn.) 43/78/Bhg.2.]
Akta/Enakmen: 
No. 255
Keputusan Fatwa Kebangsaan lain berkaitan: 
Bil Tajuk Bil. JKF Tarikh Keputusan
1 Ajaran Hasan Anak Rimau Muzakarah Kali Ke-6 10 Oct, 1983
Negeri/Group: