Fatwa Berkaitan Agihan Zakat MAIM : Isu Skim Bantuan Perkahwinan Dan Pinjaman Perniagaan

Tarikh Keputusan: 
20 Dec, 2011
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 5/2011 yang bersidang pada 24 Muharram 1433H bersamaan 20 Disember 2011 sebulat suara bersetuju memutuskan bahawa :

(i) Skim bantuan perkahwinan menggunakan wang zakat untuk ibu tunggal dalam kalangan fakir miskin di negeri ini harus diperluaskan kepada golongan selain ibu tunggal dalam asnaf tersebut dan juga kepada asnaf-asnaf zakat yang lain mengikut kesesuaian sepertimana berikut:

a) Bagi golongan saudara baru yang hendak berkahwin haruslah diberikan daripada sumber asnaf muallaf.

b) Individu yang hendak berkahwin untuk membebaskan diri dari belenggu maksiat tetapi tiada kemampuan kewangan maka bolehlah diberi bantuan perkahwinan melalui asnaf ar-Riqab.

c) Skim pinjaman perkahwinan secara al-Qardhu al-Hassan juga harus diwujudkan di bawah asnaf al-gharimin bagi pasangan yang hendak berkahwin tetapi menghadapi kesulitan kewangan.

 Memandangkan objektif zakat yang lebih menekankan kemaslahatan umum berbanding kemaslahatan khusus maka adalah dicadangkan supaya pihak MAIM dapat mengaturkan majlis kenduri kahwin (walimah) beramai-ramai kepada calon yang layak menerima skim bantuan zakat untuk berkahwin di negeri ini sama ada di bawah asnaf  fakir, miskin, muallaf atau ar-riqab. Kadar bantuan untuk mengadakan walimah tersebut ialah bersamaan nilai seekor kambing (lebih kurang RM800.00) bagi setiap pasangan bersesuaian dengan sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam : أولم ولو بشاة   yang bermaksud: “adakan walimah walaupun dengan seekor kambing” (Muttafaq ‘alayhi). Program sedemikian diharap dapat menjimatkan kos majlis perkahwinan di samping dapat mengurangkan masalah sosial.

(ii) Skim bantuan pinjaman perniagaan secara al-Qardhu al-Hassan daripada asnaf al-gharimin boleh dibuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengambilkira pendapatan pemohon selagimana perniagaan yang dijalankan tidak bercanggah dengan hukum syarak. Bagaimanapun, disebabkan dana zakat yang terhad, maka pentadbir zakat perlu menetapkan syarat-syarat tertentu dalam pemberian pinjaman perniagaan ini berdasarkan kaedah awlawiyyat (keutamaan) bagi menjamin wang zakat dapat diagih secara adil kepada semua sanaf yang berhak. Justeru itu, disyorkan supaya skim ini hanya layak untuk pemohon yang memenuhi syarat-syarat berikut:

a) Pemohon yang hendak memulakan perniagaan sahaja.

b) Pemohon tidak mampu memperolehi pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan berlandaskan syariah.
 
(iii) Seterusnya, peomohon yang berjaya mendapatkan pinjaman perniagaan ini perlu dibimbing dan diberi ilmu berkaitan perniagaan melalui kursus dan dipantau bagi memastikan perniagaannya dilaksanakan.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Nombor Rujukan: 
JMM/BFB(S)/351/437/03
Negeri/Group: