Fatwa mengenai Zakat Penggajian

Tarikh Keputusan: 
16 Mar, 1999
Keputusan: 
Mesyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan  yang bersidang pada 16 Mac 1999 telah membincangkan mengenai fatwa zakat penggajian.
 
Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 36 dan 39 Enakmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menerusi Jamaah Ulama’ yang bersidang pada 27 Zulkaedah 1419H bersamaan 16 Mac 1999M dan atas titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan  membuat Fatwa seperti berikut:
 

1) Pendapatan gaji yang diperolehi oleh kakitangan kerajaan atau badan-badan berkanun atau syarikat-syarikat atau sebagainya dari institusi-institusi yang menjalankan perniagaan atau perkhidmatan yang mempunyai sistem penggajian yang teratur adalah diwajibkan zakat jika nilai jumlah peruntukan gaji bagi seseorang kakitangan itu sampai nisab yang dikira atas nisab mata wang dan melintasi haul, di mana dia menerima bahagian terakhir daripada peruntukan gaji tahunan;


2) Permulaan haul zakat gaji dikira pada hari atau bulan seseorang itu dipanggil melaporkan diri untuk memulakan tugas jawatannya kerana hari atau bulan itu dikira sebagai masa permulaan dia berhak menerima bahagian-bahagian peruntukan gaji tahunannya dan kadar zakatnya ialah sebanyak 2.5% atau 1/40;

3) Bahawa gaji atau pendapatan yang dikenakan zakat ialah meliputi gaji pokok serta lain-lain yang dikira sebagai imbuhan tetap sahaja dan tidak termasuk imbuhan berubah;

4) Zakat dikenakan atas gaji atau pendapatan setelah ditolak perbelanjaan dharuriyat, iaitu keperluan asasi yang paling sederhana untuk diri dan keluarga di bawah tanggungannya menurut Hukum Syarak.
Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
22 Jul, 1999
Nombor Rujukan: 
[MUI.D. 231/707/(70).]
Akta/Enakmen: 
No. 550
Negeri/Group: