Fatwa Tentang Ajaran Azhar Wahab

Tarikh Keputusan: 
21 Sep, 2004
Keputusan: 
Dari segi Akidah :

(1) Mengaku mengamalkan Aurad Muhammadiah (pengakuan semasa perjumpaan dengan Ketua Pengarah JAKIM pada 15 November 2002)

(2) Menggunakan "Tawassul" iaitu berdoa sebelum melakukan urut refleksi dengan berkata 'Ya Allah dengan berkat dan karamah Guruku Tuan Azhar, sembuhkan penyakit si pulan .....'.

(3) Mengadakan kuliah tertutup untuk ahli dan kakitangan serta didampingi oleh "Pak Syeikh" atau "wali Allah". Azhar bin Wahab pernah mendakwa rohnya berada di Gunung Jerai bersama Wali Songo dan Nabi Khaidir sedang tubuhnya berada di Damansara.

(4) Berbai"ah akan mengikut segala arahan guru dan merahsiakannya dari orang ramai, sesiapa yang belot atau keluar hidupnya tidak akan selamat.

(5) Memakan ais sebagai satu syarat mendapatkan karamah dari guru. Memakan ais ini simbol kepada amalan pertapaan bagi mendapat ilmu perbomohan.

(6) Mempunyai bala tentera dam kapal terbang ghaib.

(7) Mempunyai masjid jin di Gunung Jerai di samping mengaku selalu bermesyuarat dengan golongan jin di gunung-gunung tertentu seperti Gunung Sentubung di Sarawak.

(8) Mengetahui pergerakan orang yang mengintip setiap aktivitinya.

(9) Mempunyai pengawal dari golongan jin.

(10) Menangis di hadapan ahli-ahli dan kakitangan kerana mendakwa nampak dan tahu kesalahan agama yang pernah dibuat pengikutnya.

(11) Percaya dengan khurafat seperti :

(i) Semasa perarakan untuk melantik beliau sebagai Naib Khalifah Seni Silat mempertahankan diri Al-Mansur, seekor gajah telah menarik tangannya. Beliau amat percaya dengan telahan di kalangan ahli perarakan bahawa gajah tersebut meminta beliau menaiki belakangnya kerana beliau berketurunan "raja".

(ii) Tabib dan tabibah diarah menggunakan keris untuk mengubat dan mempercayai keris tersebut ada penunggu.

(iii) Menggunakan setanggi untuk diasapkan di setiap pusat rawatan sebelum memulakan perniagaan urut refleksi, di samping itu memberi salam kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Khaidir dan Azhar sendiri. Amalan ini dilakukan setiap hari sebelum memulakan perniagaan atau membuka perniagaan.

Dari segi syariat :

(1) Mana-mana ahli yang didapati bersalah dan jika dapat dikesan oleh Azhar, maka ahli berkenaan akan dikenakan "dam" sama ada dalam bentuk wang atau harta benda.

(2) Solat waktu sentiasa dijamakkan.

(3) Menyampaikan perjuangan agama seperti yang dikehendaki oleh Rasulullah S.A.W. dan mendakwa penubuhan syarikatnya juga adalah seperti yang pernah dibuat oleh Rasulullah S.A.W. iaitu berniaga untuk mengembangkan Islam.

(4) Apa sahaja yang dibawa oleh Azhar bin Wahab adalah benar belaka dan tidak boleh dipertikaikan segala keputusan dan arahannya.

(5) Azhar bin Wahab selalu tidak sembahyang Jumaat.

Dari segi Akhlak ::

(1) Memulakan ucapan dengan bersumpah memegang Al-Quran. Ini dilakukan oleh Azhar bin Wahab dan pengikut kanannya Hj. Illias bin Hj. Yusuf (dimajlis pertemuan dengan Ketua Pengarah JAKIM pada 15 November 2002 lalu).

(2) Boleh memberi "barakah" dan "syafaat" kepada anak muridnya.

(3) Ada keberkatan kerana boleh menarik duit para pelanggan dan mereka akan mengeluarkan wang sebanyak mana yang mereka ada.

(4) Memberitahu pengikutnya bahawa dirinya boleh dilihat manusia sebagai berpakaian biasa tetapi sebenarnya beliau berjubah serba putih, berserban, bermisai dan berjanggut seperti wali Allah.

(5) Boleh ke mana-mana dengan serta merta termasuk ke China dan ke Mekah.

(6) Menggugut ahli agar jangan derhaka kepadanya nanti tidak mendapat karamah.

(7) Mewajibkan ahli agar tidak bercampur-gaul dengan masyarakat.

Ajaran Azhar bin Wahab (Pengasas Al-Mansur Holdings Sdn. Bhd.) adalah diharamkan, kerana didapati ada percanggahan dengan akidah, syariat dan akhlak Islam. Orang-orang Islam yang mengamalkan ajaran Azhar bin Wahab di mana-mana jua berada hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah S.W.T.

Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
7 Oct, 2004
Nombor Rujukan: 
Mufti Sel. 500-2; PU. Sel. AGM
Akta/Enakmen: 
Sel. P.U.16
Negeri/Group: