Fatwa Tentang Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol

Tarikh Keputusan: 
7 Feb, 1998
Huraian Tajuk/Isu: 
 
  1. Tarikat ini diasaskan oleh Syeikh Hj. Ibrahim bin Abdullah. Dilahirkan pada tahun 1920 an di Padang dan menetap di Pondok Kelapa, KM 61/2, Jalan Binjai, Medan, Sumatera. Beliau lebih dikenali sebagai Ibrahim bin Bonjol dan meninggal dunia pada tahun 1991. beliau menerima Tarikat Samaniah daripada Syeikh Abdul Rahman Kemangoniah, Padang Panjang, Sumatera. Anak perempuan Syeikh Ibrahim iaitu Azizah Hanum telah berkahwin dengan Syed Muhamad bin Syed Jaafar di Kampung Jeram Perdah, Alor Pasir, Pasir Mas, Kelantan dan mempunyai beberapa orang anak.
  2. Beliau adalah seorang ahli Parti Komunis Indonesia dan pernah menyuruh orang-orang Parti Komunis memukul Ketua Umum Yayasan Al Wasilah iaitu Hj. Baharom bin Jamil. Pada Mac 1978, beliau telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang oleh pihak Imegresen dan tidak dibenarkan masuk untuk menyampaikan tarikatnya.
Keputusan: 
  Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’(FATWA) kali 1/1998 yang bersidang pada 7 Feb 1998 telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti mengikut hukum yang muktabar didalam Islam dan keputusannya adalah seperti berikut:  
  1. Ajaran dan amalan Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol didapati menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Oleh yang demikian, orang-orang Islam adalah dilarang mengamalkan ajaran itu.
  2. Orang-orang Islam yang telah mengambil ijazah dan mengamalkan Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol di ana-mana jua berada hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada ALLAH Subhanahu Wata"alla.
  Antara ciri-ciri ajaran itu:
  • a.     Sebelum seseorang murid diterima menjadi ahli, wajib mandi dengan air limau/bidara untuk membersihkan dosa.  
  • b.     Bersedekah dan menghormati guru adalah menjadi satu kewajipan bagi murid-muridnya. Di samping itu murid-murid digalakkan membuat kebajikan dan memberi bantuan kepada guru.  
  • c.     Kitab Thabitul Qulub yang dijadikan kitab asas kepada tarikat berkenaan, didapati banyak yang bertentangan dengan pegangan umat Islam. Setiap orang yang belajar tarikat berkenaan diberikan buku tersebut dengan bayaran RM25.OO.  
  •  d.    Wirid-wirid dalam tarikat ini dikumpul di dalam buku Baitul lbadah yang mengandungi zikir-zikir yang disusun berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran, selawat, istighfar dan doa.  
  •  e.    Terdapat 26 adat kesopanan murid kepada guru. Antaranya tidak boleh murid berkahwin dengan isteri guru yang diceraikan atau ditinggalkan mati.  
  •  f.     Jika seseorang mati ketika berulang-alik ke tempat belajarnya untuk mempelajari tarikat berkenaan maka Tuhan sendiri yang akan mencabutkan nyawanya itu.  
  •  g.    Sembahyang boleh dilakukan dengan niat sahaja (Sembahyang batin) atau boleh ditinggalkan semasa dalam kesibukan kemudian diqada".  
  •  h.    Nikah boleh dilakukan tanpa wali dan saksi (Nikah batin).  
  •  i.     Sembahyang fardhu diabaikan atau ditinggalkan kerana cukup dengan niat di hati.  
  •  j.     Orang-orang yang belum masuk tarikat ini dianggap belum sempurna Islam mereka. Mereka diajak untuk diIslamkan oleh guru atau wakil tarikat ini.  
  •  k.    Jika sudah masuk tarikat ini tidak perlu lagi pengajian ilmu-ilmu syariat.  
  •  l.     Ajaran-ajaran dalam tarikat ini dirahsiakan daripada bukan pengikut. Tarikat ini juga disebut sebagai Ilmu Sirr (Rahsia).  
  • m.    Murid mesti patuh sepenuhnya kepada guru zahir dan batin, jika guru menyatakan jodoh seseorang pengikut itu dengan seorang yang lain maka ia perlu dipatuhi.  
  •  n.    Syeikh Ibrahim Bonjol guru tarikat ini mendakwa mempunyai 'Mukjizat' iaitu dengan mengeluarkan air dari tangannya.  
  •  o.    Pergaulan bebas antara bukan muhrim dibolehkan antara ahli jika dengan niat yang ikhlas.  
  •  p.    Al-Quran dianggap sebagai sejarah sahaja.
Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
24 Sep, 1998
Nombor Rujukan: 
[(JAL. Sel. 8014/7: PU. Sel. A
Akta/Enakmen: 
Sel. P.U. 9
Negeri/Group: