Hasil lelongan haiwan merayau

Tarikh Keputusan: 
4 Jul, 1999
Huraian Tajuk/Isu: 

Dari segi amalan sekarang ini Majlis Daerah kemaman mengambil langkah-langkah seperti berikut:
a) Haiwan-haiwan yang ditangkap akan dikurung di tempat tahanan, anggota Penguakuasa akan ditugaskan untuk mengawal dan memberi makan minum kepada haiwan tersebut.
b) Surat pemberitahuan mengenai tangkapan tersebut akan dikeluarkan kepada Jawatankuasa Kemajuan Kampung di mana haiwan tersebut ditangkap dan memaklumkan bahawa haiwan-haiwan tersebut akan dilelong sekiranya tuntutan tidak dibuat dalam tempoh tujuh hari.
Persoalan:
a) Apakah kedudukan hasil lelongan dari segi hukum Islam ekoran.
b) Sekiranya Majlis memilih untuk menyembelih haiwan yang ditangkap tersebut, bagaimana dengan kedudukan dagingnya, samada ia perlu diagih kepada orang ramai atau jika dijual samada hasil jualan boleh dimasukan ke dalam akaun Majlis Daerah Kemaman.

Keputusan: 

Setelah meneliti dan mengamati dengan mendalam persoalan yang dikemukakan, mesyuarat bersetuju merumuskan bahawa:
a) Pihak berkuasa berhak menangkap haiwan-haiwan yang merayau di kawasan-kawasan tertentu serta menganggu ketenteraman awam dan seterusnya segera memaklumkan kepada pihak tuannya, bagi menyelesaikannya mengikut Undang-undang Kecil Haiwan Merayau (Majlis Daerah Kemaman )1989.
b) Jika tuannya tidak tampil dalam tempoh-tempoh tertentu pihak berkuasa bolehlah melelong haiwan itu.
c) Harga lelong, setelah ditolak kos pengurusan makan minum, hendaklah dikembalikan kepada tuannya, jika tuannya atau wakilnya itu hadir semasa lelongan.
d) Jika tuannya atau wakilnya tidak hadir semasa lelongan, harga lelongan yang telah ditolak dengan kos pengurusan makan minum itu , hendaklah diserahkan kepada Baitulmal sebagi wang amanah dan dikembalikan kepada tuannya apabila dituntut.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Negeri/Group: