Hukum Memberi Zakat Kepada Orang Bukan Islam Bagi Tujuan Dakwah

Tarikh Keputusan: 
28 Oct, 2007
Huraian Tajuk/Isu: 

1. Persoalan mengenai perkara ini ditimbulkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam yang bersidang pada bulan September 2007 yang lalu. Muzakarah membincangkan isu ini untuk mendapatkan satu keputusan atau dasar tentang hukum memberikan wang zakat kepada orang bukan Islam bagi tujuan dakwah di bawah asnaf Al-Muallafatu Qulubuhum.
2. Di Negeri Kelantan, program dakwah kepada orang bukan Islam khususnya dakwah kepada orang asli dilaksanakan oleh Unit Dakwah, Majlis Agama Islam Kelantan dengan menggunakan peruntukan wang zakat. Walau bagaimana pun sehingga sekarang tiada fatwa khusus yang memperincikan takrifan asnaf Al-Muallafatu Qulubuhum, samada ia meliputi orang Islam sahaja atau ia merangkumi orang kafir.

Keputusan: 

Setelah membincangkan isu ini dengan teliti, Mesyuarat Jamaah
Ulama" bersetuju memfatwakan seperti berikut :
1. Asnaf Al-Muallafatu Qulubuhum dibahagikan kepada 2 golongan iaitu golongan Muslim dan golongan Kafir.

Golongan Muslim meliputi :
a. Orang yang baru memeluk Agama Islam.
b. Ketua-ketua kumpulan Islam yang mempunyai hubungan baik dengan ketua-ketua kumpulan bukan Islam yang sama taraf dengannya.
c. Ketua-ketua kumpulan Islam yang masih belum mantap imannya tetapi masih berpengaruh.

Golongan bukan muslim (kafir) pula meliputi :
a. Orang yang berkemungkinan menerima Islam.
b. Boleh dipujuk supaya tidak memusuhi orang Islam.

2. Dalam urusan agihan wang zakat kepada al-muallafatu Qulubuhum ini, secara umumnya Mesyuarat bersetuju dengan pendapat rajih dalam Mazhab Syafie yang mengharuskan wang zakat diagihkan kepada golongan Muslim
Sahaja.

3. Dalam konteks dakwah, khususnya dakwah kepada orang asli di Kelantan, mesyuarat bersetuju memfatwakan bahawa pengagihan wang zakat diharuskan kepada golongan bukan Muslim.
Fatwa ini dikhususkan untuk tujuan dakwah semata-mata kerana kepentingan siasah syar"iyyah untuk pengembangan Agama Islam.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Negeri/Group: