Hukum Mengeluarkan Tanah Wakaf Perkuburan Islam Di Lot 137, Mukim Duyong, Melaka.

Tarikh Keputusan: 
8 May, 2007
Keputusan: 
Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa telah sebulat suara memutuskan seperti berikut:

1. Harus memotong atau meneres tebing tanah wakaf perkuburan Islam di atas Lot 137, Mukim Duyong, Melaka untuk mengurangkan kecuraman tebing bagi mengelakkan kemudaratan terhadap nyawa dan harta benda penduduk berhampiran serta memelihara kemaslahatan umum dengan syarat-syarat berikut:

a) Tanah yang dipotong atau diteres hendaklah dipindahkan ke kawasan rendah di atas lot yang sama. Sekiranya kawasan tersebut tidak dapat menampung sedangkan masih ada lebihan tanah yang perlu dipindahkan, maka bolehlah dipindahkan ke tanah wakaf lain yang berhampiran untuk diambil manfaat daripadanya.

b) Segala perbelanjaan yang terlibat dalam kerja-kerja pemotongan/peneresan tebing dan pemindahan tanah hendaklah ditanggung sepenuhnya oleh pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

c) Pihak Majlis Agama Islam Melaka hendaklah mengatur tindakan yang rapi dan berhikmah berhubung isu ini bagi memastikan kelicinannya seperti mengadakan sesi perbincangan dan penerangan kepada pihak yang terlibat supaya wujud persefahaman di antara pengelola tanah wakaf dan pihak yang akan melaksanakan kerja-kerja pemindahan tanah wakaf tersebut.

2. Dengan keputusan ini juga, maka segala pandangan hukum yang telah dikeluarkan terdahulu berhubung isu ini dianggap terbatal kerana wujud perubahan dan keperluan semasa yang mendesak.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Negeri: