Isu-Isu Dalam Pengagihan Wang Zakat Oleh Majlis Agama Islam Melaka

Tarikh Keputusan: 
28 Sep, 2011
Keputusan: 
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil. 4/2011 yang bersidang pada 1 Zulqaedah 1432H bersamaan 28 September 2011 sebulat suara bersetuju memutuskan bahawa :
 
i)    Ulama dalam kalangan Mazhab Syafi’ie dan Hanbali berpendapat wang zakat hendaklah diberikan kepada orang fakir dan miskin kadar yang dapat menyempurnakan keperluannya iaitu kadar yang cukup untuk setahun (سنة كفاية).  Bagaimanapun, harus bagi pihak pemerintah melalui pentadbir zakat menetapkan tempoh tertentu ke atas penerima bantuan daripada asnaf zakat secara bijaksana berdasarkan keperluan dan maslahat mereka yang perlu diselesaikan kerana zakat itu sendiri bertujuan untuk menutup kekurangan dan menyelesaikan keperluan. Ini selaras dengan kaedah fiqhiyyah yang menyatakan bahawa tindakan yang dijalankan oleh pemerintah terhadap rakyat bergantung kepada maslahah (تَصَرَّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَةِ). Di dalam hadith daripada Qabisah bin Mukhariq radiallahu ‘anhu yang diriwayatkan oleh Muslim, di mana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud : “...Maka dihalalkan baginya meminta sehingga dia berkemampuan atau mencukupi untuk hidup” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasa’i).
 
ii)   Skim baru pengagihan zakat bagi asnaf fakir dan miskin yang dilaksanakan oleh MAIM didapati selaras dengan ketetapan syarak kerana bentuk bantuan dan kadar yang diberikan dapat menyelesaikan sebahagian keperluan dan menyempurnakan maslahat asnaf terbabit. Bagaimanapun, bantuan pinjaman perniagaan di bawah senarai bantuan One-off didapati tidak wajar kerana asnaf berkenaan sebenarnya mengambil hak mereka dalam mendapatkan modal bagi memulakan perniagaan daripada peruntukan asnaf fakir dan miskin. Justeru itu modal perniagaan yang diberikan kepada asnaf terbabit tidak harus dijadikan pinjaman sebaliknya hendaklah dijadikan sebagai suatu bentuk pemberian bantuan perniagaan semata-mata. Bagaimanapun, bantuan pinjaman perniagaan secara al-Qardh al-Hassan boleh diberikan kepada mereka tetapi hendaklah diambil daripada peruntukan asnaf al-Gharimin.
 
iii)  Wang zakat dari peruntukan asnaf fakir dan miskin tidak harus diberikan kepada seorang warga emas yang tinggal bersama anak atau anak-anak tinggal di sekeliling rumahnya di mana nafkah bagi warga emas terbabit adalah di bawah tanggungjawab anak-anak tersebut kecuali mereka sendiri tidak mampu menafkahinya disebabkan kefakiran atau kemiskinan. Pemberian zakat kepada warga emas berkenaan boleh menyebabkan tercegahnya kewajipan anak dalam memberi nafkah kepada mereka. Ibnu Khatir menyatakan bahawa harta anak itu adalah setingkat dengan harta orang tuanya berdasarkan kepada hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang bersabda maksudnya: “Kamu dan juga hartamu adalah milik bapamu, sesungguhnya anak-anak kalian adalah sebaik-baik hasil usaha kalian, maka makanlah dari usaha anak-anak kalian” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah). Memandangkan terdapat sebilangan umat Islam di negeri ini yang masih tidak mengetahui atau memahami akan hakikat tanggungjawab ini maka dicadangkan supaya pihak MAIM dapat mengadakan seminar penerangan mengenai isu tersebut kepada golongan terbabit.
 
iv)  Demikian juga dengan kes ibu tunggal yang masih dalam tanggungjawab bekas suami menafkahinya (dalam tempoh ‘iddah) dan Orang Kelahiran Upaya (OKU) yang dibawah tanggungjawab orang tuanya untuk menafkahinya, maka mereka tidak harus diberi peruntukan dari asnaf fakir dan miskin. Bagaimanapun, bagi OKU sekiranya telah mencapai umur baligh tetapi tidak mampu berdikari dan berkerja, maka bolehlah dipertimbangkan untuk menerima bantuan dari asnaf fakir atau miskin. Bagi kes ibu tunggal yang tidak menerima bayaran nafkah ‘iddah dari bekas suami disarankan supaya kes tersebut dipanjangkan kepada Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (BSK JKSM) untuk mendapatkan bantuan. Objektif BSK JKSM diwujudkan antara lain bertujuan untuk menyalurkan bantuan sara hidup sementara kepada isteri atau isteri dan anak-anak yang menghadapi masalah mendapatkan nafkah dari pihak yang wajib membayar nafkah dan menyalurkan nafkah kepada pihak yang berhak mendapat nafkah.
 
v)   Cadangan pembelian Bangunan Wisma Negeri (Bangunan Marwah) di Mesir yang berjumlah RM15,407,347.00 secara ansuran dengan kadar bayaran setahun berjumlah RM764,771.30 selama 20 tahun menggunakan peruntukan zakat daripada Asnaf Fisabilillah adalah harus kerana kegunaan bangunan tersebut melibatkan kepentingan umum (masalih al-‘ammah) sebagai temapt perlindungan pelajar-pelajar dari negeri ini yang sedang berjihad menuntut ilmu di bumi Mesir dalam pelbagai jurusan di mana mereka juga termasuk dalam golongan Asnaf yang berhak menerima zakat. Pandangan ini juga selaras dengan Manual Pengurusan Agihan Zakat yang telah disahkan oleh Majlis untuk digunapakai berdasarkan peruntukan di bawah senarai bantuan bagi Asnaf Fisabilillah iaitu bantuan pembinaan masjid/surau/institusi agama.
 
vi)  Penggunaan wang zakat dari peruntukan Asnaf Fisabilillah atau lain-lain asnaf untuk membayar gaji dan emolumen kakitangan MAIM yang menjalankan urusan umat Islam seperti wakaf, faraid dan pengurusan baitulmal adalah tidak dibenarkan sebaliknya hendaklah dibayar daripada peruntukan Baitulmal. Bagi kakitangan yang menjalankan urusan wakaf, maka gaji atau upah sebagai nazir wakaf bolehlah diambil daripada keuntungan harta wakaf yang telah dijana atau dikembangkan. Adalah disyorkan supaya pihak MAIM dapat memohon geran peruntukan daripada kerajaan negeri untuk menampung bayaran emolumen kakitangan MAIM sebagaimana yang telah dilaksanakan di beberapa Majlis Agama Islam Negeri.
 
vii)Wang zakat daripada peruntukan Asnaf ar-Riqab boleh digunakan untuk mewujudkan skim bantuan kepada badan-badan kebajikan, pemulihan dan sebagainya yang mana aktivitinya menjurus kepada aktiviti pemurnian akidah atau pemulihan akhlak seperti Sekolah Harapan di Jasin. Bantuan juga boleh diberikan melalui peruntukan asnaf ini kepada individu yang hendak melepaskan diri dari belenggu kemaksiatan dan sebarang bentuk perhambaan fizikal yang mengongkong kebebasan yang bercanggah dengan hukum syarak dan lain-lain bantuan yang tersenarai di dalam Manual Pengurusan Agihan Zakat terbitan JAWHAR. Bagaimanapun, bentuk bantuan di bawah asnaf ini hendaklah berdasarkan keperluan asas sahaja dan mengikut keutamaan serta perlu dibutirkan secara terperinci untuk diteliti dan dipertimbangkan terlebih dahulu oleh Mufti Negeri Melaka dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka.
 
viii)          Pada dasarnya adalah harus menggunakan wang zakat daripada peruntukan Asnaf al-Gharimin untuk memberi bantuan kepada orang Islam yang meminjam daripada Ah Long (ceti haram) atau mana-mana pemiutang dengan syarat orang itu berhutang kerana kemaslahatan diri sendiri yang diharuskan atau kerana kemaslahatan umum masyarakat Islam atau kerana menjadi penjamin sedangkan dia seorang yang miskin. Bagaimanapun, mesyuarat bersetuju supaya cadangan ini ditangguhkan sehingga pihak MAIM dapat menjalankan kajian lanjut dan terperinci melibatkan pelbagai aspek dan panduan yang jelas untuk dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh Jawatankuasa Fatwa supaya pelaksanaannya kelak tidak mendatangkan kerumitan atau komplikasi kepada pihak pentadbiran zakat.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Nombor Rujukan: 
JMM/BFB(S)/351/437/03
Akta/Enakmen: 
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002
Negeri/Group: