Kajian Semula Mengenai Fatwa Wasiat Wajibah
Tarikh Keputusan:
14 Dec, 2008 Huraian Tajuk/Isu:
Pada mesyuarat lepas telah bersetuju supaya Wasiat Wajibah diguna pakai untuk dijadikan undang-undang di negeri Kelantan. Manakala sighah yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Teknikal Pengkajian Enakmen Negeri Kelantan telah dipersetujui sebagai draf undang-undang Wasiat Wajibah. Namun begitu Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 22-24 Oktober 2008 turut membincangkan isu ini dan membuat keputusan bahawa Wasiat Wajibah harus diamalkan di Malaysia dan اولاد البنت turut berhak mendapat Wasiat Wajibah ini. Perkara ini berbeza dengan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Jamaah Ulama" yang lepas, di mana orang yang berhak mendapat Wasiat Wajibah terhad kepada اولاد الابن manakala اولاد البنت tidak termasuk di dalam golongan yang berhak mendapat Wasiat Wajibah.
Oleh itu mesyuarat telah membincangkan perkara ini untuk mendapatkan keputusan samada bersetuju memasukkan اولاد البنت ke dalam senarai mereka yang berhak menerima Wasiat Wajibah atau kekal dengan keputusan mesyuarat yang lalu.
Keputusan:
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 14 Dis 2008 telah membincangkan mengenai kajian semula mengenai fatwa wasiat Wajibah. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan bahawa اولاد البنت turut berhak menerima Wasiat Wajibah.
Mesyuarat juga bersetuju meminda sighah Wasiat Wajibah untuk diperundangkan di Negeri Kelantan seperti berikut :
Bahawa dalam kes di mana seorang anak yang bapa atau ibunya mati terlebih dahulu daripada datuk atau neneknya atau bapa dan ibunya mati secara serentak bersama datuk atau neneknya, anak tersebut iaitu cucu berhak untuk menerima Wasiat Wajibah dengan mengambil bahagian faraid bapa atau ibunya pada kadar tidak melebihi 1/3 daripada harta pusaka datuk atau neneknya. Sekiranya bahagian ibu atau bapa adalah 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3 maka hendaklah dikurangkan pada kadar tidak melebihi 1/3.
Negeri:
- 417 reads
Printer-friendly version
