Penggunaan Kalimah Allah Hanya Merujuk Kepada Tuhan Yang Maha Esa Dalam Agama Islam Sahaja (Perak)

Tarikh Keputusan: 
17 Jul, 2008
Huraian Tajuk/Isu: 
 
  1.  Isu ini timbul akibat permohonan Titular Roman Catolic Church of Kuala Lumpur menuntut Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta mengkaji semula keputusan kabinet yang bertarikh 16 Mei 1986 yang melarang penggunaan Kalimah Allah oleh bukan Islam dalam penerbitan "Herald-The Catholic Weekly". Mereka juga memohon deklarasi mengisytiharkan perkataan Allah bukan milik khusus bagi orang Islam.  
  2. Kabinet juga telah memutuskan bahawa empat istilah Islam tidak boleh digunakan dalam Bible, dalam apa jua keadaan iaitu Allah, Kaabah, Baitullah dan Solat.  
  3. Para ulama" berbeza pandangan mengenai wajar atau tidak membenarkan atau melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim.(Sila Rujuk Lampiran 1)
 
Keputusan: 
'Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang telah bersidang buat kali 178 pada 17 Julai 2008 bersamaan 14 Rejab 1429 bersetuju untuk mewartakan perkara berikut: a) Penggunaan Kalimah Allah hanya dikhususkan kepada umat Islam b) Mana-mana penganut selain daripada penganut agama Islam adalah dilarang daripada menggunakan Kalimah Allah untuk sebarang tujuan atau maksud c) Orang-orang yang bukan beragama Islam adalah dilarang daripada menggunakan kalimah Allah dalam apa jua penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan sebagainya.
Keterangan/Hujah: 
 
  1. Penggunaan kalimah Allah kepada umat Kristian atau bangsa-bangsa yang lain adalah tidak bertepatan dan selari dengan prinsip-prinsip al-Quran, al-Sunnah dan Ijma" kerana agama yang benar di sisi Allah hanyalah agama Islam. Firman Allah dalam Surah Ali "Imran ayat : إن الدين عند الله الإسلام yang bermaksud : Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah agama Islam  
  2. Pandangan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Muslim atas tujuan maslahat dakwah Islamiyah tidak dapat diterima kerana banyak lagi kaedah atau cara lain yang boleh digunakan untuk tujuan maslahat dakwah selain daripada penggunaan kalimah Allah oleh Non Muslim.  
  3. Roh Kalimah Allah bukan sekadar menjadi sebutan atau seruan atau panggilan bagi tuhan semata-mata tetapi melambangkan aqidah atau agama bagi orang yang menggunakannya.  
  4. Memberi kelonggaran kepada non Muslim menggunakan kalimah Allah akan menimbulkan salahfaham di kalangan umat Islam. Hasilnya akan ada umat Islam akan menyangka "Allah" di dalam agama-agama yang lain adalah sama dalam agama Islam.  
  5. Akan menyemarakkan lagi api Pluralisme dan Liberalisme Beragama di kalangan masyarakat di Malaysia.  
  6. Perkara ini adalah atas asas Siasah Syari"ah yang merupakan peluang bagi pemerintah Islam di negara Islam yang mempunyai kuasa untuk menjaga akidah Ummat daripada sebarang ancaman.
  KESAN-KESAN PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH BUKAN MUSLIM 1. Berpotensi menjejaskan akidah dan pemikiran umat Islam yang kebanyakan kurang mantap. 2. Berpotensi menimbulkan salah faham kepada umat Islam dan umat-umat yang lain. 3. Boleh menimbulkan rasa tidak senang dan suasana tidak sihat di kalangan umat Islam dan orang bukan Islam. 4. Boleh mengancam keselamatan, keamanan dan keharmonian masyarakat awam dan komuniti Islam. 5. Boleh menyemarakkan lagi fahaman Pluralisme dan Liberalisme di kalangan masyarakat di negara ini. 6. Membantu menyemarakkan lagi penyebaran fahaman salah oleh pendakyah Kristian atau pendakyah agama-agama yang lain.  
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Negeri:

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI