Pengharaman Kumpulan Al Arqam dan Bukunya

Tarikh Keputusan: 
10 Aug, 1994
Huraian Tajuk/Isu: 

Pegangan kumpulan Al Arqam kepada kedua-dua bukunya yang berjudul "Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan" dan "Manaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi" adalah menyimpang dari ajaran Islam.

Keputusan: 

BAHAWASANYA menurut Seksyen 26 (3) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 DULI YANG MAHA MULIA TUANKU AL-SULTAN telah perkenan supaya fatwa yang terkandung di dalam ini disiarkan dalam Warta.

OLEH YANG DEMIKIAN, PADA menjalankan kuasa-kuasa yang diberi di bawah Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu dengan ini membuat dan mengeluarkan fatwa berikut :

1. BAHAWASANYA-

(1) buku yang bertajuk 'Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan' yang ditulis oleh Ustaz HJ. ASHAARI MUHAMMAD dan isi kandungan yang mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan Aqidah dan Syariah Islamiah serta mengeliru dan boleh menyesatkan masyarakat Islam ; dan

(2) 'Manaqib (riwayat hidup) Sheikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi' yang ditulis oleh Mohamad Taha As-Suhaimi dan juga yang ditulis oleh pihak-pihak lain dalam semua bahasa, adalah diharamkan.

2. BAHAWASANYA Kumpulan Darul Arqam @ Al Arqam yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman yang terkandung di dalam buku bertajuk Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan dan Kitab Manaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi adalah diharamkan.

3. BAHAWASANYA pengharaman ini meliputi -

(1) apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran-ajaran tersebut di perenggan 1 di atas, dan termasuklah apa-apa pegangan, ideologi, falsafah, atau apa-apa kumpulan atau sistem amalan dan penunaian yang merangkumi bahawa tujuannya atau salah satu daripada tujuan-tujuannya ialah pencapaian pengajaran kebatinan, perlindungan kebatinan atau kewujudan kebatinan; iaitu suatu pegangan, ideologi, falsafah, atau kumpulan atau sistem amalan atau penunaian yang tidak diakui dan bertentangan dengan syariat Islam dan pegangan oleh Ahli Sunnah Waljamaah:

(2) apa-apa jua bahan publisiti kumpulan Darul Arqam @ Al Arqam termasuk mana-mana terbitan, ertinya apa-apa bahan, termasuklah suatu gambar, gambar-foto, poster, rajah, surat edaran, glansar filem, iklan di akhbar dan apa-apa bentuk iklan lain, yang bertujuan untuk memberi publisiti kepada terbitan tersebut yang berkaitan dengan ajaran-ajaran atau pegangan-pegangan di perenggan 1 di atas ; dan

(3) apa-apa terbitan, ertinya apa-apa buku, majalah, pamplet, risalah atau apa-apa bahan, bacaan lain, sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan, atau dikeluarkan dengan apa-apa cara lain dan apa-apa bentuk keluaran ulangannya, dan termasuklah apa-apa filem iaitu sebuah wayang gambar, sebuah pita rakam, atau sebuah rekod walau bagaimanapun ianya dibuat, dari suatu imej berdasarkan penglihatan, yang mana adalah sebuah rekod yang mampu digunakan sebagai suatu alat menayangkan rangkaian itu sebagai suatu gambar bergerak; rakaman audio iaitu apa-apa bahan termasuk piring-piring hitam, fonografi, pita-pita rakaman, dan cakera laser, dan cakera padat, yang mana dirakamkan rakaman suara manusia, untuk dibaca, dilihat atau didengar yang berkaitan dengan ajaran-ajaran atau pegangan-pegangan di perenggan 1 di atas.

OLEH YANG DEMIKIAN -

(a) orang Islam adalah dilarang mengamal ajaran, pegangan dan fahaman Kumpulan-kumpulan Darul Arqam @ Al Arqam, menjadi ahli, mengetuai, memimpin, memberi ceramah, mengadakan kelas pendidikan dan pembelajaran, mengadakan aktiviti-aktiviti ekonomi, sosial, program persembahan kesenian dan kebudayaan dan lain-lain aktiviti-aktiviti yang bertujuan untuk menghidup dan mengembangkan kumpulan ini;

(b) orang-orang Islam adalah dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual, termasuk mengedarkan filem, rakaman audio, pamplet, buku-buku, majalah, atau apa-apa terbitan, risalah dan apa-apa dokumen ; menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan Kumpulan Darul Arqam @ Al Arqam kepada mana-mana harta alih atau tak alih; dan

(c) semua pihak dilarang daripada memberi kemudahan dan membantunya.

Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
18 Aug, 1994
Nombor Rujukan: 
[SUK.TR.(S) 837;PUNTR.(S) 142
Akta/Enakmen: 
No. 1141.
Negeri/Group: