Peraturan kebenaran merobohkan (merombak ) bangunan masjid lama yang diwakafkan.

Tarikh Keputusan: 
16 Jun, 1996
Huraian Tajuk/Isu: 

Peraturan kebenaran merobohkan (merombak ) bangunan masjid lama yang diwakafkan bagi mengantikan masjid baru menurut Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986.

Keputusan: 

Jawatankuasa yang bersidang hari ini bersetuju menerima kertas tersebut tanpa pindaan dan dikembarkan bersama dengan garis panduan mendirikan masjid jamek dalam negeri Terengganu sebagaimana lampiran.

Keterangan/Hujah: 

Lampiran

Peraturan Kebenaran Merobohkan (merombak) Bangunan Masjid Lama
Yang Diwakafkan Bagi Mengganti Masjid Baru
Menurut Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam1986
*****************************************************

1.1 PENDAHULUAN

Mana-mana masjid yang baru hendak didirikan di Mukim yang telah sedia adanya masjid, maka hendaklah dikemukakan surat permohonan kebenaran terlebih dahulu kepada Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu berdasarkan Seksyen 167 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986. Pesuruhjaya Hendaklah mengedarkan perkara ini kepada Majlis untuk mendapat persetujuan bersama bagi maksud tersebut menurut kehendak seksyen 172 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam 1986. Majlis kemudian mengedar perkara tersebut kepada Ahli Jawatankuasa Fatwa supaya dapat menyediakan fatwa terlebih dahulu sebelum masjid lama itu dirombak.

1.2 GEJALA-GEJALA YANG TIDAK SIHAT

Terdapat keadaan yang berlaku selama ini dalam permintaan setengah-setengah masjid/surau di negeri ini tidak menepati dengan kehendak Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 kerana setengah-setengah pihak tidak memaklumkan lebih dahulu kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu menurut yang semestinya sebelum mendirikan sesebuah masjid/surau baru di tempat mereka. Keadaan itu adalah seperti berikut:-

Pertama : Mendirikan masjid secara diam-diam tanpa diketahui oleh pihak Ulul Amri dengan berselindung di sebalik nama surau. Padahal kuasa mendirikan masjid adalah hak Ulul Amri di tempat yang berbilang-bilang Jumaat menurut hukum Syarak.

Kedua : Mengubah tempat-tempat awam untuk menjadi masjid bagi tujuan mendirikan Jumaat di tempat-tempat yang tidak ada kena mengena dengan masjid seperti kelab-kelab atua markas-markas parti politik.

Ketiga : Mengalih tapak dengan mendirikan masjid baru di tapak baru dengan meninggalkan masjid lama di tapak lama yang diwakafkan sebagai tapak masjid.

Keempat : Masjid lama dirombak - diroboh atau dihapuskan dengan mendirikan masjid baru di tempatnya - tanpa mengambil kira perkakas alatan masjid lama yang diwakafkan.

Empat unsur yang dicatitkan itu merupakan salah satu dari gejala-gejala yang boleh membawa kepada hilangnya keharmonian setempat.

Oleh itu untuk membendung masalah ini maka pihak yang ingin mendirikan masjid baru di tempat masing-masing untuk mengantikan masjid lama - atau pun mengalih tapak - atau pun merombak atau meroboh - perlulah memenuhi kehendak Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 Seksyen 172.

Kekurangan pengetahuan mengenai hukum mendirikan masjid oleh setengah-setengah pihak yang ingin mendirikan masjid baru di tempat masing-masing selalunya menimbulkan kerumitan tersebut - kerana setengahnya menyangka masjid boleh didirikan sesuka hati- asalkan ada wang dan tapak.

2. DARI SEGI BANGUNAN MASJID :

2.1 Masjid-masjid yang ada tidak boleh dihapuskan, diroboh atau dirombak kecuali bangunan itu sangat uzur, amat tidak sesuai, termasuklah alat-alat perkakas sudah reput dan merbahaya semasa ribut atau sebagainya.

2.2 Sekiranya bangunan masjid itu didapati terlalu sempit dan kurang sesuai dengan situasi ahli jumaah dari mana-mana sudut dan keadaan, maka hendaklah diubahsuai bangunan tersebut dengan cara membesar dan menambah kepada bangunan yang sedia ada, tanpa membuang alat-alat perkakas yang lama itu, meroboh dan merombak bangunan lama itu tidak boleh diamalkan dengan sewenang-wenangnya kecuali bangunan masjid lama itu tidak ada jalan langsung untuk diubahsuai.

3. DARI SEGI TAPAK MASJID

3.1 Ada tapak-tapak masjid yang ada bangunan masjid di dalamnya tidak boleh sama sekali dialih, diubah ke lain tempat kecuali terdapat perkara-perkara yang amat tidak sesuai kepada bangunan itu.

3.2 Tapak-tapak masjid yang diwakafkan manakala dialih bangunan ke tapak lain - atau dikosongkan - kerana sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan - tidak boleh sekali-kali tapak itu digunakan untuk keperluan lain - kerana tapak masjid yang diwakafkan bagi bangunan masjid hukumnya hendaklah masjid padanya tetap kekal sekalipun bangunan telah dirobohkan dan sah beriktikaf serta sembahyang tahiyyatul masjid di atas tapak tersebut - walaupun bangunan masjid diatas telah dialih atau tiada lagi. Dari itu - sekiranya terdapat tapak masjid seperti itu perlulah pihak bertanggungjawab memeliharanya dengan baik dan tidak perlu sekali-kali diubah menjadi tapak rumah tempat tinggal ataupun diguna untuk bercucuk tanam atau sebagainya. Tapak masjid lama itu mestilah dikekalkan sebagai tapak mas

4. DARI SEGI ALAT-ALAT PERKAKAS MASJID

4.1 Alat-alat perkakas masjid yang diwakafkan, manakala bangunan masjid itu dirombak atau diroboh dengan sebab tertentu, maka hrndaklah digunapakai seboleh-bolehnya kepada bangunan masjid baru yang mengantikan masjid yang dirombak itu.

4.2 Sekiranya perkakas tersebut tidak sesuai untuk digunakan bagi bangunan masjid yang baru didirikan. Maka hendaklah perkakas tersebut digunakan dengan keutamaan seperti berikut:
(i) Digunakan kepada mana-mana masjid atau surau lain yang memerlukan.
(ii) Disimpan dengan selamat.
(iii) Menurut apa-apa yang diputuskan oleh majlis.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu hendaklah sentiasa meninjau ke masjid-masjid atau surau-surau yang memerlukan mana-mana alat perkakas masjid yan diroboh itu supaya dapat digunakan.

5. KESIMPULAN

Bangunan-bangunan masjid yang termasuk dalam garis panduan peraturan ini ialah semua bangunan masjid yang binaannya diwakafkan oleh kaum muslimin. Manakala bangunan-bangunan masjid yang didirikan pihak kerajaan, maka terpulanglah kepada pihak Majlis sebagai pengawal memutuskannya berdasarkan seksyen 165 Enekmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Negeri: