Perbincangan Mengenai Pindaan Akta Penjagaan Budak 1961 dan Akta Ibu

Tarikh Keputusan: 
23 Sep, 2001
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan  yang bersidang pada 23 Sep 2001 telah membincangkan mengenai perbincangan mengenai pindaan Akta Penjagaan Budak 1961 dan Akta Ibu. Mesyuarat telah membuat keputusan fatwa seperti berikut:
 
1) Tidak selaras dengan hukum syara', kerana mengikut hukum Syara', dari segi hak penjagaan kanak-kanak, ibu telah diberi hak keutamaan berbanding dengan bapa selagi kanak-kanak belum mencapai had umur yang mampu bagi mereka mengurus diri mereka sendiri dan selagi ibu masih berkelayakan, kemudian diikuti lain-lain urutan قرابة. Begitu juga dengan hak penjagaan harta yang mana hukum Syara' memberi hak kepada bapa untuk mengurus harta kanak-kanak bawah umur diikuti oleh datuk sahih seterusnya orang-orang yang diwasiatkan. Manakala akta ini memberi hak yang sama kepada ibu dan bapa.
 
2) Tidak selari dengan Enakmen Keluarga Islam Kelantan 1983, di mana enakmen ini telah memperuntukan secara jelas urutan قرابة atau orang lain sebagai penjaga. Manakala akta ini memberi hak yang sama kepada ibu dan bapa.
Bagi tujuan pemakaian akta ini kepada orang bukan Islam, sekiranya kelulusan Badan Perundangan Negeri diperlukan untuk melaksanakan akta ini di Negeri Kelantan, mesyuarat bersetuju supaya satu perjumpaan antara S.S Mufti Kerajaan Kelantan dan Y.B. Penasihat Undang-Undang Negeri diadakan untuk memastikan orang Islam tidak terlibat dalam peruntukan akta ini.
 
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Negeri: