Hukum Pembatalan Dan Penarikan Semula Pewakafan Dan Hukum Menukar Niat Wakaf Daripada Wakaf Khas Kepada Wakaf Am Oleh Pewakaf

Tarikh Keputusan: 
24 Feb, 2005
Huraian Tajuk/Isu: 
 
Permohonan Fatwa Atau Pandangan Hukum Syara' Mengenai Hukum Pembatalan Dan Penarikan Semula Pewakafan Tanah Lot 1089, Mukim Merlimau, Daerah Jasin, Melaka Dan Hukum Menukar Niat Wakaf Daripada Wakaf Khas Kepada Wakaf Am Oleh Pewakaf
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil. 2/2005 yang bersidang pada 15 Muharram 1426H bersamaan 24 Februari 2005 sebulat suara memutuskan bahawa:-

a) Menurut Mazhab Syafi"i tiada sebarang khiyar sama ada khiyar majlis atau khiyar syarat di dalam wakaf. Hak milik harta wakaf tersebut berpindah kepada Allah S.W.T.  dan pengurusannya berpindah kepada yang mentadbir wakaf tersebut sama ada wakaf dibuat secara bagi tujuan khusus atau umum. Oleh yang demikian, pembatalan dan perlantikan semula perwakafan tanah lot 1089, Mukim Merlimau Daerah Jasin, Melaka adalah tidak dibenarkan berdasarkan peristiwa perwakafan tanah Umar bin Al Khattab di Khaibar yang menyatakan bahawa 'Ia tidak boleh dijual, tidak dihadiahkan dan tidak dipusakakan.

b) Cadangan pihak Majlis Agama Islam Melaka agar pewakaf menukar sahaja niat wakaf khas kepada wakaf am dengan tujuan untuk mengekalkan wakaf tidak boleh di laksanakan kerana berdasarkan pandangan Mazhab Syafi"i, harta yang diwakafkan akan berpindah milik daripada anak Adam kepada milik Allah selama-lamanya dan pengurusannya diserahkan kepada pihak yang mentadbir wakaf tersebut. Ini bermakna pewakaf tiada sebarang hak lagi ke atas harta/tanah tersebut. Oleh yang demikian,pengurusan tanah wakaf di lot 1089, Merlimau adalah tertakluk sepenuhnya kepada pihak Majlis Agama Islam Melaka selaku nazir yang dilantik dan terserahlah kepada pihak Majlis untuk menguruskan tanah wakaf tersebut.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Negeri/Group: