Zakat Pendapatan

Tarikh Keputusan: 
22 May, 2000
Keputusan: 
Zakat ke atas pendapatan bagi penggajian adalah wajib dikeluarkan oleh setiap orang Islam yang layak bagi seluruh Negeri Melaka.
Keterangan/Hujah: 
HUJAH DAN DALIL

•    Kewajipan zakat ke atas gaji atau pendapatan adalah berdasarkan kepada dalil Al-Qur’an, hadith Nabi Muhammad sallallahu `alayhi wasallam dan pendapat ulama’, antaranya:

1.    Firman Allah subhanahu wata`ala:

{ يَأَيـُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الأَرْضِ ، وَلاَ تَيَمَّمُ الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِئَاخِذِيهِ إِلاَّ أَن تُغْمِضُواْ فِيهِ ، وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ }

Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu, dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), pada hal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi sentiasa Terpuji.”
(Surah Al-Baqarah, 2:267)

Dalil ini digunakan bagi kewajipan zakat perniagaan tetapi ia boleh diqiyaskan juga kepada pendapatan dari penggajian berdasarkan kepada lafaz ( ما كسبتم ) yang boleh ditafsirkan kepada sebarang bentuk harta yang diusahakan.
   

2.    Sabda Rasulullah sallallahu `alayhi wasallam:

اعْلَمْ أَنَّ اللهَ قَدِ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَة فِيْ أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ إِلىَ فُقَرَائِهِمْ .
Maksudnya:
“Beritahulah kamu kepada mereka bahawa Allah subhanahu wata`ala telah mewajibkan dari sebahagian harta-harta mereka untuk disedekahkan. Diambil dari orang kaya untuk diberi kepada mereka yang faqir”.
(Muttafaq `Alayh)

•    Pendapat Dr. Yusuf Al-Qardhawi di dalam kitab Fiqh Az-Zakah seperti berikut:

1.    Dr. Yusuf Al-Qardhawi menggunakan konsep harta perolehan “al-mal al-mustafad”. Beliau menghuraikan harta seperti itu sebagai apa juga perolehan baru yang diperolehi secara halal. Menurut beliau, di bawah harta perolehan ini termasuklah gaji, pendapatan profesional, pendapatan-pendapatan dari modal yang tidak diperniagakan dan sebagainya.

2.    Sekiranya “harta perolehan” merupakan keuntungan kepada harta yang sebelumnya telah dizakatkan, seperti harta perniagaan, pembiakan ternakan secara profesional dan sebagainya, maka perolehan itu perlu dicampur dengan kumpulan asal dan akan menjadi sebahagian daripadanya dalam perkiraan hawl dan nisab. Ini bermakna segala modal dan keuntungannya dizakatkan secara bersama. Inilah bentuk zakat yang biasa difahami. Sebaliknya sekiranya perolehan tersebut adalah harta yang telah dizakatkan dan belum sampai hawlnya seperti harga jualan hasil tanaman yang telah dizakatkan atau harga hasil ternakan yang telah dizakatkan sebelum itu, maka ianya tidak akan dikenakan zakat pada waktu itu kerana untuk mengelakkan dikenakan zakat untuk kali kedua.

3.    Harta perolehan yang bukan keuntungan pelaburan kepada mana-mana harta yang dimiliki tetapi diperolehi melalui satu cara tersendiri seperti dalam bentuk upah atas apa-apa kerja yang dilakukan, pendapatan-pendapatan daripada modal yang tidak diperniagakan, hadiah, pemberian dan sebagainya adalah dikenakan zakat. Zakat yang diambil dari perolehan ini tidak tertakluk kepada syarat hawl.

•    Sheikh Muhammad Abu Zuhrah berpendapat bahawa gaji dan pendapatan profesional dikenakan zakat sekiranya cukup hawl dan nisab. Beliau tidak menjadikan konsep “al-mal al-mustafad” sebagai asas kepada kewajipan zakat tersebut, sebaliknya menggunakan method “maslahah” sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidina `Umar bin Al-Khattab radhiyallahu `anh.

•    Dr. Yusuf Al-Qardhawi walaupun pada peringkat awalnya mengemukakan alasan secara nas dalam konsep “al-mal al-mustafad” tetapi akhirnya beliau kembali kepada konsep “maslahah” seperti yang dinyatakan oleh Sheikh Muhammad Abu Zuhrah. Beliau banyak menyebut tentang keadilan yang perlu ditegakkan dalam soal pembayaran zakat antara para pegawai dan ahli profesional yang mempunyai pendapatan yang besar dan para petani yang mempunyai pendapatan yang kecil.

•    Profesor Madya Dr. Mahmood Zuhdi berpendapat bahawa meskipun nas-nas tidak banyak membantu fatwa mewajibkan pemungutan zakat ke atas gaji dan pendapatan profesional berasaskan kepada konsep “al-mal al-mustafad”, namun maslahah atau kepentingan semasa masyarakat menyokong kuat fatwa seperti itu. Penggunaan konsep maslahah atau kepentingan semasa masyarakat adalah sesuai dan tidak bertentangan dengan kaedah pembinaan hukum Islam yang diterima umum dalam Islam. Meskipun maslahah merupakan sumber subsidiari dalam perundangan Islam, namun ia boleh dipegang dalam keadaan seperti ini iaitu apabila tiada panduan yang jelas dari nas atau qiyas yang berasaskan kepada nas.
 

Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
25 May, 2000
Nombor Rujukan: 
PMM/0020 Klt. 2
Akta/Enakmen: 
M.P.U. 14
Negeri/Group: