Keputusan Fatwa Muzakarah Jaw. Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

 
Kategori : Akidah  
Tajuk :
Syiah Di Malaysia

 

 
 Keputusan
a) Bersetuju supaya keputusan Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa yang telah diadakan pada 24 dan 25 September 1984 [Kertas Bil. 2/8/84, Perkara 4.2. (2)] mengenai aliran Syiah yang menetapkan seperti berikut :

“Setelah berbincang dan menimbang kertas kerja ini Jawatankuasa telah mengambil keputusan bahawa hanya Mazhab Syiah dari golongan Al-Zaidiyah dan Jaafariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia.” Dimansuhkan.

b) Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.

c) Menyokong dan menerima cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-Negeri bagi memperuntukkan dengan nyata bahawa agama bagi Persekutuan dan Negeri-Negeri hendaklah agama Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.

d) Memperakukan pindaan kepada semua Undang-Undang Negeri yang Hukum Syarak bagi menyelaraskan takrif “Hukum Syarak” atau “Undang-Undang Islam” seperti berikut :

“Hukum Syarak atau “Undang-Undang Islam” ertinya Undang-Undang Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.”

e) Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah adalah bercanggah dengan Hukum Syarak dan Undang-Undang Islam; dan dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah adalah dilarang.

f) Menetapkan bahawa semua umat Islam di Negara ini adalah tertakluk kepada Undang-Undang Islam Hukum Syarak yang berasaskan pegangan kepada ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah sahaja.

g) Menetapkan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem. Video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah adalah diharamkan.
Oleh : Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia  
Tarikh Keputusan : 5 Mei 1996 
Tarikh Muzakarah : 5 Mei 1996 hingga 5 Mei 1996

Populariti :  9916

Sumber :  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia