Sosial/Syariah

Hukum Penggunaan Indelible Ink

Tarikh Keputusan: 
11 Jan, 2012
Tarikh Mula Muzakarah: 
11 Jan, 2012
Tarikh Akhir Muzakarah: 
11 Jan, 2012
Oleh: 
Muzakarah Khas
Keputusan: 
 
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 11 Januari 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Penggunaan Indelible Ink. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
Berdasarkan pembentangan laporan analisis kimia, taklimat dan penjelasan daripada Jabatan Kimia Malaysia serta penjelasan daripada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), adalah didapati Indelible Ink tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak memberikan kesan mudharat dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit (telap air) apabila digunakan.
 
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa dari aspek syarak penggunaan Indelible Ink adalah harus dan dibenarkan kerana ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada ibadah umat Islam. Keputusan ini hanya tertakluk kepada bahan yang telah dikemukakan oleh SPR dan diuji oleh Jabatan Kimia Malaysia sahaja.
 

Hukum Eutanasia Atau Mercy Killing

Tarikh Keputusan: 
16 Dec, 2011
Tarikh Mula Muzakarah: 
15 Dec, 2011
Tarikh Akhir Muzakarah: 
17 Dec, 2011
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-97
Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Eutanasia atau Mercy Killing. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa menghentikan hayat hidup seseorang sebelum dia disahkan mati dengan menggunakan apa-apa cara dan bersandarkan kepada apa-apa alasan adalah haram dan dilarang oleh Islam. Sehubungan itu, Muzakarah memutuskan bahawa perbuatan mempercepatkan kematian melalui amalan eutanasia (samada Eutanasia Voluntary, Non-Voluntary atau Involuntary) atau mercy killing adalah haram menurut Islam kerana ia menyamai perbuatan membunuh dan ianya juga bertentangan dengan Etika Perubatan di Malaysia.
 
Keputusan ini adalah selaras dengan Firman Allah s.w.t. dalam Surah an-Nisa’, ayat 92 yang bermaksud: “Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja...” dan Hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh an-Nasa’ie yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu mengharapkan kematian, jika seseorang itu baik, boleh jadi ia menambahkan kebaikan dan jika seseorang itu berbuat dosa boleh jadi dia bertaubat (dan mengharap redha Allah)”.
 
Muzakarah juga menegaskan bahawa tugas seorang doktor ialah menolong pesakit dalam perkara kebaikan. Membantu mempercepatkan kematian tidak termasuk dalam perkara kebaikan tetapi tergolong dalam perkara yang dilarang dan berdosa.
 
Walaubagaimanapun, dalam keadaan di mana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa jantung dan/atau otak pesakit telah berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada lagi harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada bantuan sokongan pernafasan, Muzakarah memutuskan bahawa tindakan memberhentikan alat bantuan sokongan pernafasan tersebut adalah dibenarkan oleh Islam kerana pesakit telah disahkan mati oleh pakar perubatan dan sebarang rawatan tidak lagi diperlukan. Begitu juga, dalam kes di mana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa pesakit tiada harapan untuk sembuh dan pesakit telah dibenarkan pulang, maka tindakan memberhentikan rawatan utama dan hanya rawatan sokongan (conventional treatment) diteruskan adalah dibenarkan oleh Islam kerana keadaan seumpama ini tidak termasuk dalam amalan eutanasia atau mercy killing yang diharamkan.
 
Walaubagaimanapun, jika rawatan/alat bantuan sokongan tersebut digunakan untuk tujuan lain seperti alat bantuan mengeluarkan bendalir untuk memudahkan pernafasan, maka tindakan mencabut/memberhentikannya adalah tidak dibenarkan.
 
Dalam kes-kes di mana pakar perubatan berhadapan dengan situasi di mana pesakit perlu berdepan dengan dua pilihan, sama ada meneruskan rawatan walaupun berkemungkinan memberi kesan sampingan yang boleh menyebabkan kematian atau terus berada dalam keadaan kesakitan yang berterusan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa adalah harus bagi pakar perubatan memberikan rawatan/ubat-ubatan kepada pesakit (seperti ubat penahan sakit) walaupun berkemungkinan memberi kesan kepada nyawa pesakit.
 
Sehubungan itu selaras dengan kaedah fiqh: الضرورات تبيح المحظورات iaitu ‘dalam keadaan darurat, setiap perkara yang ditegah dibolehkan’, amalan Eutanasia Indirect atau Double-Effect Medication boleh dilaksanakan menurut pandangan syarak bagi memastikan kesengsaraan yang dihadapi pesakit dapat dikawal dan pelaksanaannya tidak langsung bertujuan untuk mempercepatkan kematian.
 
Muzakarah juga memutuskan bahawa dalam kaedah perubatan, mati otak (brain death) adalah dianggap sebagai suatu kematian dan apabila kematian tersebut disahkan oleh pakar, maka akan thabit semua hukum berkaitan kematian yang ditetapkan oleh syarak. Justeru, adalah harus memberhentikan rawatan bantuan sokongan (contohnya penggunaan mesin ventilator) dengan persetujuan waris-waris terdekat selepas disahkan oleh dua orang pakar perubatan yang tidak terlibat dalam urusan pendermaan organ.
 

Hukum Penubuhan Bank Susu

Tarikh Keputusan: 
16 Dec, 2011
Tarikh Mula Muzakarah: 
15 Dec, 2011
Tarikh Akhir Muzakarah: 
17 Dec, 2011
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-97
Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Penubuhan Bank Susu. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan adalah termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlulah dielakkan.
 
Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkaitrapat dengan syarat-syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi-bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih daripada seorang wanita akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
 
Pandangan ini adalah selaras dengan pandangan Jumhur Fuqaha’ bahawa seseorang bayi itu sah sebagai anak susuan samada melalui penyusuan secara langsung dari payudara atau penyusuan secara tidak langsung. Juga berdasarkan hadith riwayat Abu Daud:

عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ لا رِضَاعَ إِلا مَا شَدَّ الْعَظْمَ وَأَنْبَتَ اللَّحْم
رواه أبو داود                                                                                    
Maksudnya:
Daripada Ibn Mas`ud berkata, tidak berlaku hukum penyusuan melainkan dengan apa yang menguatkan tulang dan menumbuhkan daging.
 
Sehubungan itu, memandangkan penubuhan bank susu boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram, dan keperluan penubuhannya juga tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam maslahah awam, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penubuhan bank susu adalah tidak diharuskan.
 
Muzakarah juga memutuskan bahawa bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, juga ibu yang mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, adalah harus bagi ibu-ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi-bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta perderma perlu mengenali antara satu sama lain.
 

Garis Panduan Sertu Menurut Perspektif Islam

Tarikh Keputusan: 
14 Oct, 2011
Tarikh Mula Muzakarah: 
13 Oct, 2011
Tarikh Akhir Muzakarah: 
15 Oct, 2011
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-96
Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Garis Panduan Sertu Menurut Perspektif Islam. Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan  Garis_Panduan_Sertu Menurut Perspektif Islam  yang telah dikemukakan.

Hukum Mengiringi Bacaan Al-quran Dengan Muzik Dan Menggunakan Matan Hadis, Terjemahan Al-quran Serta Terjemahan Hadis Sebagai Lirik Lagu

Tarikh Keputusan: 
14 Oct, 2011
Tarikh Mula Muzakarah: 
13 Oct, 2011
Tarikh Akhir Muzakarah: 
15 Oct, 2011
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-96
Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Mengiringi Bacaan  al-Quran Dengan Muzik dan Menggunakan Matan Hadis, Terjemahan al-Quran Serta Terjemahan Hadis Sebagai Lirik Lagu. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan supaya panduan hukum terhadap isu ini dirujuk kepada garis panduan-garis panduan sedia ada seperti Garis Panduan Hiburan Di Dalam Islam dan Garis Panduan Penapisan Bahan-bahan Penerbitan Berunsur Islam yang telah diperakukan oleh Muzakarah.
 
Muzakarah juga mencadangkan agar pemerhatian secara berterusan terhadap perkara ini dilakukan oleh JAKIM supaya kecenderungan industri muzik dalam menggunakan nas-nas al-Quran atau hadith sebagai lirik lagu ini terkawal dan tidak mencemarkan kesucian Islam.
 

Hukum Wanita Menyusukan Anak Angkat

Tarikh Keputusan: 
14 Oct, 2011
Tarikh Mula Muzakarah: 
13 Oct, 2011
Tarikh Akhir Muzakarah: 
15 Nov, 2011
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-96
Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Wanita Menyusukan Anak Angkat. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut
 
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Islam menggalakkan setiap ibu yang melahirkan anak untuk menyusukan sendiri bayi mereka dengan susu ibu sehingga mencapai usia dua tahun, sekiranya mereka mampu berbuat demikian. Namun begitu, Islam juga membenarkan wanita yang tidak melahirkan anak tetapi mengambil anak angkat, untuk menyusukan sendiri anak tersebut dengan bantuan rawatan perubatan.
 
Penegasan ini adalah berdasarkan pandangan Jumhur fuqaha’ yang tidak mensyaratkan seseorang wanita itu mesti hamil terlebih dahulu untuk menyusukan anak sepertimana pandangan Mazhab Hanbali, Syafie dan Hanafi yang menyatakan bahawa seorang perempuan yang hendak menyusukan seorang anak, tidak disyaratkan mempunyai suami yang menyetubuhinya.
 
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa menggunakan ubat atau suntikan untuk merangsang pengeluaran susu badan adalah harus dengan syarat ianya seorang wanita yang telah mencapai umur baligh sama ada telah berkahwin ataupun sebaliknya dan ubat atau hormon yang digunakan tersebut tidak mengandungi sebarang unsur-unsur najis atau mudharat. Keharusan ini tidak tertakluk bagi seorang lelaki yang berubah menjadi wanita melalui pertukaran jantina.
 
Jumhur fuqaha’ juga bersepakat bahawa terdapat dua kaedah penyusuan bagi menjadikan bayi tersebut mahram dengan sebab susuan, iaitu penyusuan secara langsung dari payudara dan penyusuan secara tidak langsung seperti menggunakan tiub, botol susu dan sebagainya. Sehubungan itu, bagi wanita yang menggunakan alat sokongan atau alat bantuan sebagai kaedah menyusukan bayi, Muzakarah memutuskan bahawa bayi tersebut sah sebagai anak susuan apabila cukup syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh Syarak seperti berikut:

a. bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan;
b. susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi; dan
c. umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah.
 
Hujah thabitan ini ialah kerana susu ibu tersebut telah menjadi makanan asasi kepada bayi yang menumbuhkan daging dan memanjangkan tulang, sama seperti bayi yang menyusu secara terus daripada payudara. Walau bagaimanapun, sekiranya kaedah yang dilakukan adalah dengan cara menyuntik susu melalui qubul atau dubur, menitik susu ke dalam mata, telinga atau di tempat luka tubuh badan, maka bayi tersebut tidak sah sebagai anak susuan.
 
Muzakarah juga memutuskan bahawa seorang wanita beragama Islam tidak dilarang untuk menyusukan bayi bukan Islam dan begitu juga seorang bayi beragama Islam boleh menyusu kepada wanita bukan Islam kerana tidak ada nas syarak yang melarangnya. Penyusuan tersebut tidak memberi kesan kepada aqidah dan agama bayi yang disusukan tersebut.
 
Muzakarah juga memutuskan bahawa susu ibu yang bercampur dengan bahan-bahan lain adalah sama seperti susu ibu yang tidak bercampur dengan makanan, minuman atau lainnya sepertimana pendapat yang rajih daripada ulama’ mazhab Shafie dan Hanbali, kerana untuk thabit menjadi anak susuan ialah perlu memenuhi syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh Syarak.
 
Bagi seorang lelaki yang mengahwini wanita yang menyusukan bayi angkat dan bayi tersebut telah thabit menjadi anak susuan, maka Muzakarah memutuskan bahawa lelaki yang menjadi suami kepada wanita berkenaan adalah menjadi mahram kepada anak susuan tersebut.
 

Hukum Pemerdagangan Manusia

Tarikh Keputusan: 
17 Jun, 2011
Tarikh Mula Muzakarah: 
16 Jun, 2011
Tarikh Akhir Muzakarah: 
18 Jun, 2011
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-95
Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Pemerdagangan Manusia. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
i. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa manusia merupakan makhluk yang amat dimuliakan oleh Allah s.w.t dan tidak diciptakan untuk menjadi hamba kepada manusia yang lain.
 
ii. Oleh yang demikian, pemerdagangan manusia yang melibatkan berbagai eksploitasi seperti pelacuran, perhambaan dan sebagainya adalah bercanggah dengan kemuliaan dan konsep khalifah yang disyariatkan oleh Allah s.w.t.
 
iii. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memperdagang dan mengeksploitasikan manusia dalam pelbagai bentuk yang menyalahi hukum syarak adalah diharamkan oleh Islam.
 

Hukum Tarian Poco-poco Dan Seumpamanya Menurut Perspektif Islam

Tarikh Keputusan: 
21 Apr, 2011
Tarikh Mula Muzakarah: 
20 Apr, 2011
Tarikh Akhir Muzakarah: 
22 Apr, 2011
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-94
Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 - 22 April 2011 telah membincangkan Hukum Tarian Poco-poco Dan Seumpamanya Menurut Perspektif Islam. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
 
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa berdasarkan dapatan daripada kajian awal yang dikemukakan, fakta yang menunjukkan bahawa tarian poco-poco yang dipraktikkan di Malaysia mempunyai kaitan secara langsung dengan ritual penganut agama Kristian masih belum dapat dibuktikan sepenuhnya dan kajian yang lebih terperinci perlu dilakukan bagi memastikan fakta sebenar asal usul tarian tersebut. Walaupun demikian, Muzakarah mengambil perhatian dan menghormati keputusan pengharaman tarian poco-poco yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.
     
  2. Sehubungan itu, bagi memastikan apa jua bentuk tarian sama ada poco-poco atau sebagainya tidak bertentangan dengan ajaran Islam, Muzakarah memutuskan supaya sebarang bentuk tarian yang dilakukan hendaklah merujuk Garis Panduan Hiburan Dalam Islam yang telah diputuskan sejak tahun 2007 seperti berikut, antaranya:
a) Berpakaian menutup aurat, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada
    eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam;

b) Gerak tari yang disembahkan tidak menimbulkan fitnah;

c) Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah;

d) Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan agama bukan Islam; dan

e) Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.”
 
Keputusan Muzakarah Kebangsaan lain berkaitan: 

Hukum Menanam Rambut Di Kepala

Tarikh Keputusan: 
21 Apr, 2011
Tarikh Mula Muzakarah: 
20 Apr, 2011
Tarikh Akhir Muzakarah: 
22 Apr, 2011
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-94
Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 - 22 April 2011 telah membincangkan Hukum Menanam Rambut Di Kepala. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
 
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Islam tidak menghalang umatnya untuk melakukan sesuatu rawatan seperti menanam rambut di kepala dengan tujuan untuk memperelokkan diri dari keaiban, selagimana tidak bertentangan dan melampaui batasan yang telah ditetapkan oleh syarak.
     
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa menanam rambut di kepala adalah harus dengan syarat penanaman rambut adalah dengan menggunakan rambut sendiri, menggunakan bahan-bahan yang suci dan tiada unsur najis serta tidak mendatangkan sebarang kesan mudharat.
     

Hukum Menggunakan Pengimbas Badan Di Lapangan Terbang

Tarikh Keputusan: 
21 Feb, 2011
Tarikh Mula Muzakarah: 
21 Feb, 2011
Tarikh Akhir Muzakarah: 
21 Feb, 2011
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-93
Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah membincangkan Hukum Menggunakan Pengimbas Badan di Lapangan Terbang. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut :
 
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa "درء المفاسد أولى من جلب المصالح" , pada prinsipnya menjaga keselamatan negara dan rakyat adalah perlu diutamakan apabila berlaku pertembungan di antara kerosakkan dan kemaslahatan.
     
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa tiada halangan untuk membenarkan penggunaan sistem pengimbas ini sekiranya berlaku keperluan yang mendesak (dharurat) bagi menjaga keselamatan negara dari ancaman musuh seperti dadah, senjata api dan sebagainya.
     
Syndicate content