Zakat

Hukum Pembayaran Zakat Fitrah Melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS)

Tarikh Keputusan: 
11 Sep, 2008
Keputusan: 

 

Pembayaran zakat fitrah melalui khidmat Sistem Pesanan Ringkas (SMS) adalah harus dengan syarat pihak Celcom Mobile Sdn. Bhd. hendaklah dilantik oleh Majlis Agama Islam Melaka sebagai amil atau agen yang hanya akan membuat pungutan zakat fitrah melalui kaedah SMS di Negeri Melaka bagi suatu tempoh tertentu yang dibenarkan oleh pihak Majlis.

Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
19 Nov, 2009
Nombor Rujukan: 
JMM/BFB(S)/351/255/02/04; PUNM. 700-02/37
Akta/Enakmen: 
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (NEGERI MELAKA) 2002

Hukum Pelaburan Menggunakan Wang Zakat

Tarikh Keputusan: 
3 Jun, 2009
Keputusan: 

Menetapkan bahawa pada dasarnya harta zakat tidak harus dilaburkan. Bagaimanapun, sekiranya agihan zakat telah dibuat dengan sempurna kepada semua asnaf yang berhak memilikinya, lalu didapati masih ada lebihan, maka adalah harus harta zakat tersebut dilaburkan atas maslahah ‘ammah tetapi hendaklah mengikut syarat-syarat yang ditetapkan seperti berikut :

(i) Majlis Agama Islam Melaka dapat memberi jaminan bertulis bahawa harta asal zakat yang  dilaburkan adalah tetap harta zakat dan begitu juga keuntungannya hendaklah dikembalikan kepada akaun zakat untuk dibelanjakan kepada asnaf yang berhak setelah ditolak kos pengurusan yang munasabah;

(ii) Ada jaminan bertulis bahawa Majlis Agama Islam Melaka bersedia untuk membayar balik  kesemua jumlah harta zakat yang dilaburkan itu kepada akaun zakat jika berlaku kerugian dalam  pelaburan;

(iii) Ada jaminan bertulis bahawa harta zakat yang dijadikan modal pelaburan itu boleh dicairkan pada  bila-bila masa apabila ada keperluan mendadak di mana harta zakat itu perlu diagihkan;

(iv) Pelaburan tersebut hendaklah dilakukan dengan teratur dan ianya mestilah berlandaskan syariat;

(v) Hendaklah dibuat kajian terperinci berkenaan dengan satu-satu pelaburan yang hendak  diusahakan menggunakan harta zakat dan perlu dipastikan ianya terjamin selamat;

(vi) Hendaklah mendapatkan kebenaran atau kelulusan daripada mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka bagi memastikan dasar-dasar syariat terpelihara ; dan

(vii) Pelaburan tersebut hendaklah dikendalikan oleh satu badan ataupun jawatankuasa khas yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang pelaburan dan bersifat amanah.

Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
19 Nov, 2009
Nombor Rujukan: 
JMM/BFB(S)/351/255/02/07; PUNM. 700-02/37
Akta/Enakmen: 
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (NEGERI MELAKA) 2002

Kaedah Pengiraan Zakat Harta Bagi Negeri Melaka

Tarikh Keputusan: 
2 Apr, 2009
Keputusan: 

               1. Zakat Pendapatan

Kadar nisab bagi zakat pendapatan adalah berpandukan kepada  timbangan emas iaitu 20 mithqal ( مثقال) atau 20 dinar bersamaan 85 gram emas.

Kadar zakat yang diwajibkan ialah sebanyak satu perdua (½) dinar bersamaan 2.125 gram emas atau 2.5 peratus (1/40) daripada pendapatan kasar dan penggajian yang cukup haul dan nisab.

Kaedah pengiraan zakat pendapatan seperti berikut:

(a) Dua perpuluhan lima (2.5) peratus daripada jumlah pendapatan kasar setahun (jika pendapatan tersebut melebihi nisab); atau

(b) Dua perpuluhan lima (2.5) peratus daripada jumlah pendapatan bersih setahun setelah ditolak perbelanjaan-perbelanjaan asas yang dibenarkan (berdasarkan kaedah penolakan   yang dibenarkan).

Tolakan perbelanjaan yang dibenarkan adalah mengikut kadar yang ditentukan seperti berikut:

1) Diri sendiri – RM8,000.00

2) Isteri (tidak bekerja sahaja) – RM5000.00

3) Anak – RM1000.00 seorang

4) Ibu bapa – mengikut jumlah sebenar

5) Caruman KWSP – 11 peratus; dan

6) Caruman atau simpanan dalam organisasi yang membayar zakat seperti Tabung Haji dan Takaful – mengikut jumlah sebenar.

2.  Zakat Perniagaan

Kadar nisab bagi zakat perniagaan adalah berpandukan kepada timbangan emas iaitu 20 mithqal ( مثقال) atau 20 dinar bersamaan 85 gram emas.

Kadar zakat yang diwajibkan ialah sebanyak satu perdua (1/2) dinar bersamaan 2.125 gram emas atau 2.5 peratus (1/40) daripada hasil perniagaan yang cukup haul dan nisab.

Kaedah pengiraan zakat perniagaan seperti berikut:

(a) Kaedah Syar’iyyah atau dikenali juga sebagai Kaedah Modal Kerja (Working Capital), iaitu:

     [(Aset Semasa – Tanggungan Semasa) +/- Pelarasan] x Peratus Pemilikan Saham Muslim x           2.5 Peratus.

(b) Kaedah ‘Urfiyyah atau dikenali juga sebagai Kaedah Modal Berkembang  (Growth Model),              iaitu:

    [(Ekuiti Pemilik + Liabiliti Jangka Panjang – Aset Tetap –  Aset Bukan Semasa) +/- Pelarasan] x       Peratus Pemilikan Saham Muslim x 2.5 Peratus].

3.  Zakat Pertanian (Padi) :

Kadar nisab zakat pertanian (padi) ialah lima aswuq (أوسق  ) bersamaan dengan 363 gantang atau 1,300 kg padi.

Kadar dan kaedah pengiraan zakat pertanian (padi) adalah berdasarkan cara-cara penghasilannya iaitu seperti berikut:

   (a) Bagi tanaman yang dijaga dengan sumber percuma (seperti air hujan), maka kadarnya ialah 10 peratus atau satu persepuluh (1/10).

   (b) Bagi tanaman yang dijaga dengan sumber yang dibeli, maka kadar zakatnya ialah 5 peratus              atau satu perdua puluh (1/20).

    (c) Bagi tanaman yang dijaga dengan menggunakan kedua-dua sumber diatas, maka kadarnya            ialah 7.5 peratus.

       Zakat pertanian wajib dikeluarkan ke atas padi yang cukup nisab pada setiap kali tuaian sama              ada dalam bentuk padi atau dibayar  nilainya (qimah).

       4.  Zakat Ternakan :

        (i)   Lembu/Kerbau :

        Kadar nisab bagi ternakan lembu atau kerbau ialah 30 ekor. Kaedah pengiraan zakat                               lembu/kerbau yang telah cukup haul dan nisab adalah seperti berikut :

KADAR NISAB

KADAR ZAKAT

Bilangan (ekor)

Bilangan

Umur/Jantina

30-39

1 ekor

1 tahun lebih (j)

40-59

1 ekor

2 tahun lebih (b)

60-69

2 ekor

1 tahun lebih (j)

70-79

1 ekor

dan

1 ekor

1 tahun lebih (j)

dan

2 tahun lebih (b)

80-89

2 ekor

2 tahun lebih (b)

90-99

3 ekor

1 tahun lebih (j)

100-109

1 ekor

 dan

2 ekor

2 tahun lebih (b)

 dan

1 tahun lebih (j)

110-119

2 ekor

dan

1 ekor

2 tahun lebih (b)

dan

1 tahun lebih (j)

120 ke atas

3 ekor

dan

3 ekor

2 tahun lebih (b)

dan

1 tahun lebih (j)

Nota : (j) : Jantan, (b) : Betina

Apabila bilangan itu lebih daripada yang dinyatakan di atas, maka bagi setiap 30 ekor lembu diwajibkan zakat satu ekor anak lembu jantan yang berumur satu tahun. Bagi setiap 40 ekor lembu diwajibkan zakat atau satu ekor anak lembu betina yang berumur dua tahun.

Jika ternakan bercampur, maka zakatnya terserah kepada pembayar sama ada mahu mengeluarkan zakat lembu atau kerbau. Pilihlah yang sederhana atau boleh diganti dengan nilai harga bagi ternakan berkenaan untuk dikeluarkan zakat.

(ii) Kambing/Biri-biri :

Kadar nisab bagi ternakan kambing atau biri-biri ialah 40 ekor. Kaedah pengiraan zakat kambing/biri-biri yang telah cukup haul dan nisab adalah seperti berikut :

KADAR NISAB

KADAR ZAKAT

Bilangan

(ekor)

Bilangan

Jenis/Umur/Jantina

40-120

1 ekor

Biri-biri 1 tahun (j @ b) atau

Kambing 2 tahun (j @ b)

121-200

2 ekor

Biri-biri 1 tahun (j @ b) atau

Kambing 2 tahun (j @ b)

201-399

3 ekor

Biri-biri 1 tahun (j @ b) atau

Kambing 2 tahun (j @ b)

Penambahan seterusnya : Tiap-tiap 100 ekor

1 ekor

Biri-biri 1 tahun (j @ b) atau

Kambing 2 tahun (j @ b)

 

                        Nota : (j) : Jantan, (b) : Betina

Setiap pertambahan 100 ekor, zakatnya ditambahkan satu ekor kambing dua tahun dan seterusnya.

Jika semua kambing yang sampai nisab itu jantan, maka harus dikeluarkan yang jantan sebagai zakat. Tetapi apabila ada antaranya yang betina hendaklah sebahagian dari zakat yang dikeluarkan itu betina.

Jika bercampur kambing dan biri-biri serta beberapa jenisnya, maka apabila cukup nisab, bolehlah dikeluarkan zakat mengikut pilihan tuannya sama ada kambing atau biri-biri atau diganti dengan nilai harga bagi ternakan berkenaan untuk dikeluarkan zakat.

5. Zakat Caruman Berkanun (KWSP, LTAT dan sebagainya) :

Kadar nisab bagi zakat caruman berkanun adalah berpandukan kepada timbangan emas iaitu 20 mithqal ( مثقال) atau 20 dinar bersamaan 85 gram emas.

Kadar zakat yang diwajibkan ialah sebanyak satu perdua (1/2) dinar bersamaan 2.125 gram emas atau 2.5 peratus (1/40).

Kaedah pengiraan zakat caruman berkanun adalah seperti berikut :

1- Caruman berkanun dianggap sebagai milik sempurna iaitu mengeluarkan zakat sebanyak 2.5      peratus daripada jumlah keseluruhan wang caruman yang dikeluarkan pada hari wang                    caruman tersebut diterima dan cukup nisab.

2- Caruman berkanun dianggap sebagai bukan milik sempurna iaitu mengeluarkan zakat                   sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah wang caruman pekerja sahaja berdasarkan penyata           tahunan KWSP (wang masih tersimpan di KWSP).

6. Zakat Wang Simpanan :

Kadar nisab bagi zakat wang simpanan adalah berpandukan kepada timbangan emas iaitu 20 mithqal ( مثقال) atau 20 dinar bersamaan 85 gram emas.

Kadar zakat yang diwajibkan ialah sebanyak satu perdua (1/2) dinar bersamaan 2.125 gram emas atau 2.5 peratus (1/40) daripada wang simpanan yang cukup haul dan nisab.

Kaedah pengiraan zakat wang simpanan adalah seperti berikut:

Zakat wajib dikeluarkan sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah baki terendah setelah ditolak wang faedah (akaun konvensional) bagi satu atau beberapa akaun simpanan dalam tahun tersebut yang cukup hauk dan nisab.

7. Zakat Saham, Sukuk dan Bon :

Kadar nisab bagi zakat saham, sukuk dan bon adalah berpandukan kepada timbangan emas iaitu 20 mithqal ( مثقال) atau 20 dinar bersamaan 85 gram emas.

Kadar zakat yang diwajibkan ialah sebanyak satu perdua (1/2) dinar bersamaan 2.125 gram emas atau 2.5 peratus (1/40) daripada saham dan bon yang cukup haul dan hisab.

Kaedah pengiraan zakat saham seperti berikut :

(a) Saham yang masih dimiliki hingga hujung tahun (haul), iaitu 2.5 peratus daripada harga                 terendah antara harga pasaran dan harga belian serta melebihi nisab. Jika harga terendah             tidak dapat ditentukan, maka bolehlah ditentukan berdasarkan harga saham pada akhir tahun.

(b) Saham yang dijual beli sepanjang tahun (haul), iaitu 2.5 peratus daripada nilai jualan saham         setelah ditolak kos pembelian dan melebihi nisab.

Manakala kaedah pengiraan zakat sukuk dan bon ialah 2.5 peratus daripada nilai sukuk dan bon yang cukup haul dan melebihi nisab.

8. Zakat Hasil Galian (Ma’adin, Kunuz dan Rikaz) :

Hasil galian bermaksud hasil galian yang diperolehi daripada perut bumi. Ia boleh dibahagikan kepada :

(a) Ma’adiniaitu segala galian yang diperolehi dari perut bumi sama ada beku atau cair, di darat           atau di laut contohnya emas, perak, bijih timah dan petroleum;

(b) Kunuziaitu harta yang tersimpan di dalam bumi contohnya harta karun selepas kedatangan             Islam; dan

(c) Rikaziaitu harta benda yang tersimpan di dalam bumi dan terdapat tanda-tanda yang                        menunjukkan ia tersimpan sebelum kedatangan Islam.

       Kadar nisab bagi zakat hasil galian (ma’adin, kunuz dan rikaz) adalah berpandukan kepada                    timbangan emas iaitu 20 mithqal  ( مثقال) atau 20 dinar bersamaan 85 gram emas.

       Kaedah pengiraan zakat galian (ma’adin) ialah wajib dikeluarkan sebanyak satu perdua (1/2)                dinar bersamaan 2.125 gram emas atau 2.5 peratus (1/40) daripada hasil galian (ma’adin) yang          cukup nisab setelah siap diproses (dibersihkan) dengan mengambilkira kos operasi                                pengeluarannya (tidak disyaratkan cukup haul).

     Manakala kaedah pengiraan zakat rikaz dan kunuz pula ialah wajib dikeluarkan sebanyak satu               perlima (1/5) atau 20 peratus daripada nilai keseluruhan harta yang ditemui dan cukup nisab                  setelah    diambilkira kos membiayai operasi penggaliannya (tidak disyaratkan cukup haul).

9. Zakat Emas dan Perak :

(i) Zakat Emas :

Kadar nisab bagi zakat emas ialah 20 mithqal ( مثقال) atau 20 dinar bersamaan 85 gram emas.

Kadar zakat emas yang wajib dikeluarkan ialah sebanyak satu perdua (1/2) dinar bersamaan 2.125 gram emas atau 2.5 peratus daripada nilai emas yang melebihi kadar nisab semasa dan telah cukup haul.

Kaedah pengiraan zakat emas adalah seperti berikut :

(a) Emas yang dipakai untuk perhiasan wanita, iaitu 2.5 peratus daripada nilai keseluruhan emas perhiasan yang melebihi kadar ‘urf pemakaian emas setempat (tanpa penolakan ‘urf).

(b) Emas yang tidak dipakai, iaitu 2.5 peratus daripada nilai emas yang melebihi kadar nisab semasa.

Kadar ‘urf pemakaian emas bagi Negeri Melaka ditetapkan sebanyak 120 gram.

(ii) Zakat Perak :

Kadar nisab bagi zakat perak ialah 5 awqiyah (أوقية) atau 200 dirham bersamaan 595 gram perak.

Kadar zakat perak yang wajib dikeluarkan ialah sebanyak 5 dirham bersamaan 2.975 gram perak atau 2.5 peratus (1/40).

Kaedah pengiraan zakat perak ialah 2.5 peratus daripada nilai perak yang melebihi kadar nisab semasa dan telah cukup haul.

Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
19 Nov, 2009
Nombor Rujukan: 
JMM/BFB(S)/351/255/02/02; PUNM. 700-02/37
Akta/Enakmen: 
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (NEGERI MELAKA) 2002

Keharusan Membayar Zakat Melalui Kad Kredit/Bank Islam Dan Kewajipan Qadha' Zakat

Tarikh Keputusan: 
18 Dec, 2008
Keputusan: 

 1. Harus membayar zakat dengan menggunakan kad kredit/kad Bank Islam sebagai kemudahan kepada umat Islam di Negeri Melaka untuk melunaskan kewajipan tersebut. Namun demikian, keharusan ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat berikut -

     (a) keseluruhan kos yang terlibat dalam urusan tersebut termasuk pembangunan sistem, penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, caj transaksi dan sebagainya hendaklah ditanggung oleh Pusat Zakat Melaka dan bukan pihak pembayar zakat; dan

     (b) Kaedah pembayaran tersebut hanya sebagai suatu pilihan atau alternatif kepada pembayar zakat yang berminat dan bukan suatu kemestian.

2. Qadha’ zakat adalah wajib dilakukan bagi zakat yang telah memenuhi syarat wajib yang tidak ditunaikan pada masa yang sepatutnya.

Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
19 Nov, 2009
Nombor Rujukan: 
[JMM/BFB(S)/351/255/02/03;PUNM.700-02/37]
Akta/Enakmen: 
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (NEGERI MELAKA) 2002

Permohonan Menetapkan Kadar Zakat Fitrah Negeri Melaka Bagi Tahun 1425H/2004M

Tarikh Keputusan: 
25 Aug, 2004
Keputusan: 
Mesyuarat telah memutuskan seperti berikut:

1.    Kadar zakat fitrah umat Islam di Negeri Melaka bagi tahun 1425H/2004M adalah sebanyak RM 4.50 seorang.

2.    Kaedah pengiraan kadar zakat fitrah di Negeri Melaka yang dipersetujui adalah berdasarkan kaedah 1, iaitu:

Campuran harga-harga beras    ×    1 gantang Baghdad
Bilangan harga       

=    RM 14.10    ×    2.7 kilogram
    8       

=    RM  1.76    ×    2.7 kilogram

=    RM  4.75

3.    Walau bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa Fatwa telah berhujah bahawa RM 4.75 adalah suatu kenaikan yang mendadak dan boleh membebankan masyarakat Islam terutamanya yang berpendapatan rendah serta mempunyai banyak tanggungan. Mesyuarat bersetuju memutuskan kadar zakat fitrah adalah sebanyak RM 4.50 seorang.

4.    Keputusan ini hendaklah dipanjangkan kepada pihak MAIM sebagai makluman.
 

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Kaedah Pengiraan Kadar Nisab Zakat Harta Bagi Negeri Melaka

Tarikh Keputusan: 
2 Feb, 2009
Keputusan: 

 

Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa telah sebulat suara bersetuju memutuskan perkara-perkara berikut:

a) Menetapkan bahawa kaedah pengiraan nisab zakat harta yang bersandarkan kepada timbangan emas bagi tahun semasa di negeri Melaka adalah berdasarkan kepada purata nisab tahunan mengikut takwim miladi (tahun sebelumnya) seperti berikut :

Langkah 1 : Tentukan kadar nisab bulanan mengikut takwim miladi (tahun sebelumnya) seperti berikut:

(Jumlah Harga Emas Bulanan x Nisab Emas) ÷ Bilangan Hari Niaga = Kadar Nisab Bulanan (Tahun Sebelumnya)
 
Langkah 2 : Tentukan purata nisab tahunan mengikut takwim miladi (tahun sebelumnya) untuk mendapatkan kadar nisab tahun semasa seperti berikut :
 
Jumlah Nisab Bulanan (Tahun Sebelumnya) ÷ 12 = Kadar Nisab Tahun Semasa
Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
19 Nov, 2009
Nombor Rujukan: 
JMM/BFB(S)/351/255/02/05; PUNM. 700-02/37
Akta/Enakmen: 
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002

Hukum Memasukkan Lebihan Agihan Zakat Negeri Melaka Ke Dalam Tabung Baitulmal.

Tarikh Keputusan: 
2 Mar, 2006
Keputusan: 
Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa telah sebulat suara memutuskan bahawa:

Lebihan agihan zakat Negeri Melaka boleh disimpan di dalam tabung Baitulmal tetapi hendaklah diadakan akaun yang berasingan dan hanya boleh digunakan untuk kemaslahatan asnaf-asnaf yang lapan. Oleh yang demikian, seluruh kutipan zakat yang terkumpul wajib diagihkan kepada asnaf-asnaf yang berhak.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Permohonan Menetapkan Kadar Zakat Fitrah Negeri Melaka Bagi Tahun 1426H/2005M

Tarikh Keputusan: 
18 Aug, 2005
Keputusan: 
Setelah berbincang dan meneliti kertas permohonan, Ahli Jawatankuasa Fatwa telah sebulat suara memutuskan seperti berikut:-

a) Kadar Zakat Fitrah Negeri Melaka bagi tahun 1426H/2005M adalah berdasarkan sukatan 2.6 kilogam beras tempatan pada kadar RM 4.50 seorang.

b) Kadar sukatan satu gantang Baghdad bagi beras Super Tempatan (Gred A) adalah bersamaan dengan 2.6 kilogram.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Penetapan Kadar Perbelanjaan Dharuriat.

Tarikh Keputusan: 
12 Sep, 1999
Keputusan: 
Mesyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan  yang bersidang pada 12 Sep 1999 telah membincangkan mengenai penetapan kadar perbelanjaan Dharuriat. Mesyuarat telah membuat keputusan fatwa seperti berikut:

1) Ketetapan kadar perbelanjaan dharuriat yang paling sederhana bagi satu tahun untuk diri dan keluarga di bawah tanggungan ialah :

Perbelanjaan diri - RM 5.000.00
Perbelanjaan isteri - RM 3.000.00
Perbelanjaan anak-anak - RM 2.000.00

2) Oleh kerana zakat penggajian dikategorikan dalam jenis zakat badani menurut ketentuan syara', maka ia tidak harus digagahi supaya seseorang itu mengeluar zakatnya melainkan haruslah diberi dorongan atau galakkan agar tertanam di dalam diri akan tanggungjawab syarie supaya mengeluar zakat tersebut dengan kesedaran bahawa ia adalah salah satu rukun Islam yang wajib dipatuhi oleh semua umat Islam.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Fatwa Berhubung Dengan Zakat Padi

Tarikh Keputusan: 
12 Sep, 1999
Keputusan: 
Mesyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan  yang bersidang pada 12 Sep 1999 telah membincangkan mengenai fatwa berhubung dengan zakat padi dari projek penanaman padi yang diusahakan secara ladang. Mesyuarat telah membuat keputusan fatwa seperti berikut:
 
1) Bahawa padi yang dihasilkan dari projek penanaman padi secara estet diwajibkan zakat ke atas pemilik-pemilik tanah apabila cukup nisobnya berdasarkan atas pendapatan bersih masing-masing setelah ditolak kos pengurusan projek yang dikeluarkan oleh agensi pelaksana.

2) Bagi tujuan menyelaras serta memudahkan urusan pengeluaran zakat tersebut, agensi pelaksana boleh mengeluar zakat bagi pihak pemilik-pemilik tanah setelah mendapat persetujuan masing-masing.

 

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Syndicate content