Kedah

Tuntutan Fasakh Terhadap Suami Yang Diragui Akidahnya

Tarikh Keputusan: 
29 Nov, 2010
Huraian Tajuk/Isu: 
Persoalan ini dikemukan oleh sebuah syarikat guaman berkenaan ajaran yang diamalkan oleh suami anak guamnya (Puan Lily- bukan nama sebenar) sama ada batal syahadah atau tidak sebagai rujukan untuk perbicaraan di Mahkamah Syariah.
 
Berikut adalah antara ajaran yang diamalkan:-
a) Solat tidak wajib, hanya memadai dengan niat
b) Tidak perlu puasa di bulan Ramadhan
c) Menunaikan haji ke Mekah tidak wajib  
Keputusan: 
Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah telah mengadakan mesyuarat pada 29 November 2010 berpendapat bahawa jika benar-benar thabit kenyataan tersebut maka syahadah suami Puan Lily (bukan nama sebenar)telah gugur dan beliau wajib kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dengan mengucap dua kalimah syahadah semula. Ini berdasarkan hadith:
عن أنس بن  مالك رضى الله عنه أن النبى صلى الله عليه وسلم يقول: " من  ترك الصلاة متعمدا فقد كفر جهارا
 
Maksudnya:
Daripada Anas b Malik RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : Barang siapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja maka sesungguhnya ia telah kufur dengan terang-terangan.
 
Sekiranya suami Puan Lily (bukan nama sebenar) enggan kembali dengan ajaran Islam yang sebenar maka ikatan perkahwinan mereka terombak.
 
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Acara Bertafakur Sempena Hari Pahlawan Di Tugu Peringatan

Tarikh Keputusan: 
21 Jun, 2010
Huraian Tajuk/Isu: 
 
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang bersidang pada 14 April 2010 mengambil maklum mengenai acara bertafakur sempena sambutan Hari Pahlawan di Tugu Peringatan yang diadakan pada 3 Julai setiap tahun.
Keputusan: 
 
Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang bermesyuarat pada 21 Jun 2010 bersetuju mengekalkan keputusan yang telah dibuat pada 29 Jun 1996 berkenaan acara bertafakur sempena Hari Pahlawan di Tugu Peringatan. Berikut adalah keputusannya:-
 
Amalan yang dilakukan di hadapan Tugu Peringatan sempena Hari Pahlawan  seperti bertafakur dengan menundukkan kepala sekian-sekian saat, meletakkan kalungan bunga, mendeklamasikan sajak, menyanyi. Jawatankuasa  Fatwa mendapati amalan-amalan ini tanpa ragu-ragu lagi adalah bercanggah dengan syariat Islam dan boleh membawa syirik yang wajib dijauhi.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Pelantikan Hakim Syarie Wanita

Tarikh Keputusan: 
26 Sep, 2010
Huraian Tajuk/Isu: 
YAA Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah mengemukakan persoalan ini bagi mendapatkan fatwa berhubung pelantikan hakim syarie wanita.
Pelantikan wanita sebagai hakim menjadi satu isu di kalangan ulama masa dahulu. Kini isu ini masih diperkatakan memandangkan baru-baru ini ada dua orang hakim syarie wanita pertama di negara ini dilantik oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Perkara ini telah menjadi sebutan dan mendapat liputan media memandangkan ia melakar sejarah tersendiri dalam sistem perundangan serta kehakiman Islam di Malaysia.
Keputusan: 
Jawatankuasa Fatwa Ngeri Kedah yang bermesyuarat pada 26 September 2010 telah membahaskan perkara ini dengan lebih mendalam dan mengambil kira keperluan masa kini maka Jawatankuasa Fatwa bersetuju dengan pandangan daripada Dr. Muhammmad Said Ramadhan Al Buthy dan Dr Yusof Al Qaradhawi iaitu harus melantik wanita sebagai hakim syarie dal kes mal sahaja. Keputusan ini adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke 73 pada 4 April 2006 yang menyatakan bahawa wanita harus dilantik menjadi hakim syarie dalam kes selain hudud dan qisas.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Binaan Di Atas Tanah Perkuburan

Tarikh Keputusan: 
25 May, 2010
Huraian Tajuk/Isu: 
Membina bangunan/ binaan di atas tanah perkuburan Islam.
Keputusan: 
Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah  yang bermesyuarat pada 25 Mei 2010 telah memutuskan bahawa tetap berpegang dengan keputusan yang telah dibuat pada 26 Mei 1976 berkaitan hukum membuat binaan di atas  kubur iaitu:-
i) Makruh hukumnya dibuat binaan di dalam atau di atas kubur yang tanah kubur itu dimiliki oleh orang yang membuat binaan tersebut. Manakala hukumnya harus jika membuat binaan yang bertujuan menyelamatkan kubur itu dari digali atau dikorek oleh binatang buas atau diruntuh oleh banjir atau seumpamanya.
 
ii) Haram hukumnya dibuat binaan di dalam atau di atas kubur apa jua jenis dan bentuk binaan yang kekal selepas hancur mayat dengan tiada apa-apa tujuan seperti yang tersebut di atas sekiranya kubur itu di dalam tanah yang disediakan untuk perkuburan atau yang diwakaf untuk perkuburan dan wajib dirobohkan kerana binaan kekal wujudnya selepas hancur mayat ia menghalang orang-orang Islam daripada menggunakan tempat perkuburan itu dengan tiada apa-apa sebab yang dilulusakan oleh syarak dan meruntuhkan itu hendaklah dengan kebenaran kadi atau kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Kedah kerana dikhuatiri berlaku perbalahan, pergaduhan dan sebagainya. Batu-batu dan perkakas-perkakas binaan menjadi hak milik waris-warisnya dan dipulangkan kepada mereka. Jika tiada waris atau waris enggan mengambilnya maka menjadi hak kepada baitulmal.
Wallahua'alam
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Hukum Wasiat Orang Bukan Islam Kepada Orang Islam

Huraian Tajuk/Isu: 

Apakah hukumnya apabila seorang bukan Islam berwasiat kepada orang Islam?

Keputusan: 

Wasiat bukan Islam kepada kepada orang Islam dan sebaliknya adalah harus pada syarak. Dengan itu adalah sah pemberian harta yang diwasiat oleh seseorang bapa / ibu yang bukan Islam kepada anaknya yang Islam. Kecuali didalam hukum pusaka mempusakai maka tiada harus bagi anak yang Islam menerima pusaka daripada bapa/ ibunya atau lain-lain pewarisan yang bukan Islam begitu juga sebaliknya kerana berlainan agama. 

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Penjualan Tanah Wakaf

Tarikh Keputusan: 
16 Nov, 2006
Huraian Tajuk/Isu: 

Berdasarkan kepada Borang 14 A (Pindah Milik Tanah) bertarikh 11 September 2000 yang telah diperakukan oleh pemilik tanah, En. Othman Bin Omar No. Kad Pengenalan 0673516 sebagai HEBAH kepada Ustaz Niamat bin Yusoff No. Kad Pengenalan 400222-07-5183 sebagai pemegang amanah.

Selain daripada itu, saksi-saksi yang memberi pengakuan iaitu Hj.Ahmad bin Kasim, En.Bukhari bin Abd. Wahab dan Haji Ahmad Zaki bin Bakar menyatakan bahawa tiada lafaz wakaf yang jelas daripada pemilik tanah atau apa-apa bentuk catatan yang menunjukkan pemilik tanah ada menulis atau menandatangani apa-apa surat wakaf."  

Keputusan: 

 Berdasarkan bukti-bukti di atas maka;

" Jawatankuasa Fatwa memutuskan status tanah yang terletak di Mukim Ah, Lahar Kemeling, Kubang Pasu Kedah dengan keluasan sebanyak 10 relong 14 jemba adalah HEBAHdari pemilik asal tanah Othman Bin Omar No. Kad Pengenalan 0673516 untuk Ma'ahad Tarbiyah Islamiyah Derang (MTID) dan melantik Ustaz Niamat bin Yusoff     No. Kad Pengenalan 400222-07-5183 sebagai pemegang amanah.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Zakat Tanaman Pertanian

Tarikh Keputusan: 
1 Jan, 1970
Huraian Tajuk/Isu: 
Pengeluaran zakat padi dengan mengambilkira hutang kos sewa jentera pembajak, racun dan sebagainya terlebih dulu sebelum zakat dikeluarkan.

 

Keputusan: 
Mengikut Mazhab Syafie pengiraan zakat padi hendaklah dikira jumlah keseluruhan hasil padi yang diperolehi termasuk subsidi yang diberi oleh pihak kerajaan tanpa ditolak kos sewa jentera pembajak, racun dan sebagainya.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Persoalan Mengenai Pampasan Si Mati Kepada Balu Dan Anak-anak

Tarikh Keputusan: 
1 Jan, 1970
Keputusan: 

Jawatankuasa Fatwa bersetuju serta memberi pandangan bahawa jika majikan berkenaan menetapkan wang pampasan itu untuk isteri atau anak-anak maka wang pampasan itu khusus untuk mereka. Tetapi jika wang pampasan itu diberi kerana pekerjaan si mati ia adalah pusaka dan wang pampasan tersebut perlu difaraidkan.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Hukum Solat Pada Awal Waktunya

Tarikh Keputusan: 
29 Nov, 2001
Keputusan: 
  Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada 29 November 2001 berpendapat bahawa solat adalah di antara ibadat-ibadat wajib yang mempunyai waktu yang luas (واجب موسع )dan sebaik-baik solat ialah yang ditunaikan pada awal waktu akan tetapi apabila dengan kerana merai awal waktu boleh menyebabkan kecurian waktu kerja maka sayugia ditakhirkan solat itu. Sebagai contoh jika masuk waktu asar 4.30 petang iaitu masa bekerja dan habis masa bekerja pada jam 5.30 petang maka sayugia ditakhirkan solat itu kepada waktu habis kerjanya selama tiada luput waktunya dan masuk ke dalam waktu solat yang lain.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Wudhuk

Tarikh Keputusan: 
31 Oct, 2002
Huraian Tajuk/Isu: 
 
Persoalan berkaitan cara mengambil wudhuk dengan meratakan sedikit air ke atas anggota wudhuk tanpa mengangkat tangan.
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada 31 Oktober 2002 berpendapat bahawa mengikut Mazhab Syafie wudhuk hendaklah berlari air di atas anggota wudhuk. Jika tidak mengalir maka dianggap tidak dibasuh dan tidak sah wudhuknya.
Keterangan/Hujah: 
Rujuk Sabilul Muhtadin ms 97 Bahrul Wafi ms 18
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Zakat Tanaman\ Pertanian

Tarikh Keputusan: 
30 Jan, 2008
Huraian Tajuk/Isu: 
 
Seseorang yang mengusahakan pertanian dengan modal pinjaman. Adakah perlu dia melangsaikan hutang terlebih dahulu sebelum mengeluarkan zakat atau menyelesaikan hutang secara beransur-ansur?
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada 30 Januari 2008 berpendapat bahawa zakat pertanian wajib dikeluarkan apabila cukup nisab. Manakala pembayaran hutang hendaklah dibayar mengikut perjanjian yang telah dipersetujui dengan pihak bank berkenaan atau orang perseorangan.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Membina Replika Kaabah Untuk Tujuan Pengajaran Dan Pembelajaran

Tarikh Keputusan: 
30 Apr, 2007
Huraian Tajuk/Isu: 
 
Pohon Kebenaran Dan Penjelasan Membina Replika Kaabah Untuk Tujuan Pengajaran Dan Pembelajaran Dalam Kawasan Surau Sekolah
Keputusan: 
 
Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang bermesyuarat pada 30 April 2007 membuat keputusan bahawa binaan tetap replika berbentuk kaabah adalah dilarang bagi mengelakkan kekeliruan dalam masyarakat. Walaubagaimanapun replika kaabah yang berbentuk gambar atau menggunakan bahan-bahan mudah alih adalah dibenarkan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Hukum Pemberian Zakat Bapa Kepada Anak Lelakinya Yang Berhutang

Tarikh Keputusan: 
26 Jul, 2007
Keputusan: 
Tidak harus seorang bapa memberi zakat kepada anak lelakinya yang fakir atau miskin yang dibawah tanggungannya. Walau bagaimanapun jika anak lelakinya berhutang dan ia tidak berkemampuan untuk melunaskannya, maka adalah harus bagi bapanya memberi zakat atas sebab berhutang (gharim) dan zakat tersebut hendaklah digunakan untuk membayat hutang itu sahaja.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Pembatalan Wakaf

Tarikh Keputusan: 
31 Jul, 2007
Huraian Tajuk/Isu: 
Permohonan pembatalan wakaf di atas hak milik nombor PN 673 , Lot Nombor 461, Mukim Alor Malai, Daerah Kota Star, Kedah Darul Aman.
Keputusan: 
Puan Syaiabi Binti Abdullah tidak boleh membatalkan wakaf am iaitu sebuah rumah di atas Hak Milik Nombor PN 673, Lot Nombor 461, Mukim Alor Malai, Daerah Kota Star, Kedah Darul Aman kerana wakaf yang disempurnakan pada 21 Mei 2006 telah sah memenuhi semua syarat-syarat wakaf.

Terdapat didalam kenyataan pemohon bahawa beliau dipaksa oleh anak dan menantunya untuk mewakafkan rumah tersebut ketika itu dan terpaksa bersetuju. Oleh itu jawatankuasa mengesyorkan kepada pemohon agar merujuk ke Mahkamah Syariah Negeri Kedah untuk menentukan had atau tahap paksaan itu mengikut kehendak syara'.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Risalah Gerak Kilat (Silat Abjad)

Tarikh Keputusan: 
10 Nov, 1976
Huraian Tajuk/Isu: 
Merujuk kepada Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang bermesyuarat pada 10 November 1976 telah meneliti sebuah risalah yang bernama 'Risalah Gerak Kilat Menyambar Dan Mutiara Di Tengah Mata' karangan Syeikh Mahmud Nasri Usmani (Hj. Mahmud Nasri b. Hj. Osman) Baling, Kedah.
Keputusan: 
Jawatankuasa Ftawa Negeri Kedah mendapati ianya adalah mengelirukan Akidah Islam dan bercanggah dengan ajaran-ajaran di dalam syariat Islam yang suci dan untuk memelihara kaum muslimin di negeri ini dari dirosakkan akidah mereka dan amalan-amalan mereka oleh ajaran-ajaran dan amalan-amalan yang ada di dalam risalah Gerak Kilat. Maka Jawatankuasa bersidang pada hari ini mencadangkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Kedah supaya diharamkan risalah itu dari disebar dan ditegah dari diajar dan belajar dan beramal dengan ajaran-ajaran di dalamnya.  
Keterangan/Hujah: 
Mesyuarat Fatwa yang telah diadakan pada hari Isnin 23/8/1976, hari Isnin 25/10/1976 dan 10/11/1976 telah membuat keputusan :- Setelah dikaji isi kandungan Risalah Gerak Kilat Menyambar dan Mutiara Di Tengah Mata, karangan Hj. Mahmud Nasri b. Hj. Osman (Syeikh Mahmud Nasri Usmani) dengan cermat dan telitinya khasnya terhadap ajaran-ajaran amalan dan butir-butir ajaran itu baik pun yang menggunakan bahasa sendiri "Bahasa Malaysia" 
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Wanita Bekerja Sebagai Tukang Gunting Rambut

Tarikh Keputusan: 
5 Oct, 1989
Huraian Tajuk/Isu: 
Hukum wanita bekerja sebagai tukang gunting rambut lelaki yang bukan muhrimnya.
Keputusan: 

Persentuhan yang disengajakan antara lelaki dan perrempuan yang halal berkahwin hukumnya haram. Olehitu apa-apa pekerjaan yang menyebabkan persentuhan sedemikian adalah haram. Pendapatan wanita Islam yang bekerja memotong/mencuci rambut lelaki adalah haram

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Nombor Rujukan: 
HF 1988-89 Kertas No.4/89

Zakat Fitrah

Tarikh Keputusan: 
11 Nov, 1989
Huraian Tajuk/Isu: 
Membayar fitrah dengan harga (wang)
Keputusan: 
Jawatankuasa Fatwa berpendapat adalah harus kaum muslimin di negeri ini mengeluarkan zakat fitrah yang wajib ke atas mereka dengan harga makanan yang biasa dimakan (beras)
Keterangan/Hujah: 
Taqlid kepada Mazhab Imam Abu Hanifah
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Nombor Rujukan: 
HF 1988-1989 Kertas No 9/89

Qadha Solat

Tarikh Keputusan: 
1 Jan, 1970
Huraian Tajuk/Isu: 
Hukum mengqadha solat
Keputusan: 
Sembahyang yang terluput adalah wajib diqhada samada disengajakan atau tidak sengaja.
Keterangan/Hujah: 
1) Hadis Nabi S.A.W riwayat Bukhari dan Muslim :"sesiapa meninggalkan solat akibat tertidur atau terlupa, maka tunaikan solat itu apabila sedar"
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Khat Berbentuk Lukisan Manusia / Haiwan

Tarikh Keputusan: 
1 Jan, 1970
Huraian Tajuk/Isu: 
Menulis ayat Al Quran dalam bentuk khat dengan membuat lukisan makhluk bernyawa.
Keputusan: 
Hukum menulis ayat Al Quran dengan membuat secara lukisan rupa manusia atau haiwan adalah ditegah dan menggunakannya untuk dijadikan perhiasan juga adalah dilarang
Keterangan/Hujah: 
Nas kitab Fathul Muin juz 3 m/s 362:" dan diharamkan membuat ukiran berbentuk haiwan (dan lain-lain benda bernyawa) walau atas tanah."
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Penggunaan Perkataan 'Islam' Dalam Menangani Perpecahan Orang Melayu / Islam.

Tarikh Keputusan: 
31 Mar, 2000
Huraian Tajuk/Isu: 
Penggunaan perkataan 'Islam' dalam menangani perpecahan orang Melayu / Islam.
Keputusan: 
1. Tiada halangan untuk menggunakan perkataan "Islam" oleh mana-mana pertubuhan, malahan digalakkan tetapi hendaklah berdisiplinkan ilmu, iman dan ehsan. Walau bagaimanapun mana-mana orang atau pertubuhan yang menggunakan Islam atau perkataan "Islam" untuk tujuan mengelirukan masyarakat atau penyelewengan adalah salah dan bercanggah dengan prinsip-prinsip syariat Islam dan boleh diambil tindakan menurut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

2. Seseorang itu sudah diiktiraf sebagai Islam jika menepati rukun Iman dan rukun Islam. Dari itu adalah salah dan tidak berhak lagi bagi mana-mana pihak menambah apa-apa syarat lain bagi menentukan keIslaman seseorang itu. Fahaman bahawa perlu ada tambahan syarat-syarat lain, selain daripada menepati rukun Iman dan rukun Islam, seperti sokongan kepada pihak-pihak tertentu sebelum seseorang itu ditentukan keIslamannya adalah salah di sisi Islam. Oleh itu sesiapa yang mengamal, mengajar, menyeru atau menyebar dengan apa-apa jua cara pun akan fahaman tersebut adalah melakukan perbuatan yang termasuk dalam perbuatan mentebarkan ajaran salah atau menyeleweng.

3. Ketentuan syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah Ta"ala. Dari itu, dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang atau pertubuhan tertentu diperlukan sebelum seseorang Islam layak ke syurga atau ke neraka adalah salah menurut ajaran Islam. Oleh itu sesiapa yang mengamal, mengajar, menyeru atau menyebar dengan apa-apa jua cara pun akan fahaman tersebut maka perbuatan sedemikian termasuk dalam perbuatan menyebar ajaran salah atau menyeleweng.

Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
31 Mar, 2000
Syndicate content