Kelantan

Hukum Perkahwinan Bagi Kembar Siam

Tarikh Keputusan: 
14 Jun, 2009
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 14 Jun 2009 telah membincangkan hukum perkahwinan bagi kembar siam. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut:

1) Bahawa hukum perkahwinan kembar siam lelaki dan wanita yang boleh dan telah dipisahkan kedua-dua mereka adalah diharuskan sekiranya mereka berkemampuan dari segi fizikal untuk berkahwin iaitu jika tiada masalah kecacatan pada organ-organ tertentu seperti alat kelamin, rahim dan lain-lain serta mampu melakukan hubungan kelamin.

2) Hukum perkahwinan bagi kembar siam lelaki dan wanita yang tidak boleh dipisahkan adalah tidak dibolehkan melainkan setelah mereka menjalani pembedahan pemisahan kerana mereka adalah terdiri daripada dua jasad dan dua jiwa.

3) Kembar siam yang ingin melangsungkan perkahwinan dinasihatkan supaya bertemu pakar perubatan untuk tujuan pembedahan dan mendapat pandangan pakar perubatan tentang faktor kesihatan dan kemudharatan sekiranya perkahwinan dilangsungkan.

 

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Hukum Menunaikan Haji Bagi Pesakit Yang Menjalani Rawatan Hemodelisis

Tarikh Keputusan: 
22 Feb, 2009
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 22 Feb 2009 telah membincangkan hukum menunaikan haji bagi pesakit yang menjalani rawatan hemodelisis. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut:
 

Bahawa pesakit yang menghidap penyakit kronik yang tidak ada harapan sembuh seperti pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan Hemodelisis dan seumpamanya tidak wajib menunaikan haji.

1) Pesakit kronik adalah wajib menunaikan badal haji sekiranya berkemampuan dari sudut kewangan.

2) Sekiranya telah sembuh daripada sakit kronik, individu tersebut wajib menunaikan ibadat haji jika berkemampuan.

3) Pesakit yang menjalani rawatan hemodelisis wajib menunaikan haji jika kerajaan Arab Saudi dan pihak Tabung Haji menyediakan kemudahan rawatan tersebut.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Beberapa Persoalan Semasa Halangan (mawani’) Tuntutan dan Pengurusan Harta Faraid

Tarikh Keputusan: 
22 Feb, 2009
Keputusan: 
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 22 Feb 2009 telah membincangkan beberapa persoalan semasa halangan (mawani') tuntutan dan pengurusan harta Faraid. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut:
 
1) Bagi halangan untuk mendapatkan harta faraid disebabkan oleh pembunuhan iaitu pembunuhan yang dilakukan oleh orang yang berhak menerima pusaka samada ianya di kategorikan sebagai pembunuhan secara Al-‘Amdu (sengaja), Shibhul ‘Amdu (seumpama sengaja), Al-Khata’ ( tidak sengaja) yang di sabitkan secara ikrar atau diputuskan di Mahkamah Sivil, pihak pewaris lain hendaklah terlebih dahulu membuat tuntutan di Mahkamah Syariah negeri untuk mendapatkan keputusan supaya pembunuh tersebut terkeluar daripada senarai mereka yang layak menerima pusaka.

 

2) Bagi halangan untuk mendapatkan harta faraid di sebabkan perbezaan agama, iaitu orang yang layak menerima pusaka itu keluar daripada agama Islam samada secara ikrar, perbuatan dan Iktiqad` atau ianya di buat melalui akuan staturi atau perisytiharan “deed pole’ maka pewaris-pewaris yang lain hendaklah mendapatkan pengesahan dan keputusan daripada Mahkamah Syariah untuk mengeluarkan orang yang keluar daripada agama islam ini daripada senarai mereka yang menerima pusaka.

 

3) Bagi tuntutan harta sepencarian oleh suami atau isteri yang disabitkan membunuh pasangan mereka, halangan membunuh tidak boleh dijadikan ‘illah untuk menghalang mereka daripada membuat tuntutan harta sepencarian.

 

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Fatwa Mengenai Bayaran Zakat Gaji Bulanan Yang Dibuat Oleh Majikan Dengan Izin Atau Permintaan Pembayar Zakat Itu Sendiri

Tarikh Keputusan: 
17 Apr, 1995
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 17 April 1995 telah membincangkan mengenai bayaran zakat gaji bulanan yang di buat oleh majikan dengan izin atau permintaan pembayar zakat itu sendiri. Mensyuarat telah membuat keputusan fatwa seperti berikut:
 
 (1) Zakat yang dibayar melalui potongan gaji bulanan adalah sah, dengan syarat hendaklah disertakan niat pada setiap kali ianya dikeluarkan.
 
(2) Si pembayar zakat hendaklah mewakilkan kepada majikan bagi pengeluaran zakat gaji untuk dirinya tiap-tiap bulan. Pihak majikan hendaklah berniat mengeluar zakat bagi pihak orang yang diwakilinya secara umum setiap kali potongan zakat dibuat.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Masalah Pengambilan Balik Tanah Rakyat Oleh Kerajaan

Tarikh Keputusan: 
17 Jul, 1994
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 17 Julai 1994 telah membincangkan fatwa mengenai masalah pengambilan balik tanah rakyat oleh kerajaan. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut:
 
1)Bahawa pengambilan tanah rakyat oleh kerajaan untuk pelaksanaan rancangan-rancangan kerajaan yang mempunyai maslahat umum adalah harus.
 
2)Adapun pengambilan tanah rakyat oleh kerajaan untuk orang perseorangan atau untuk projek yang tertentu maka hukumnya adalah sebagaimana berikut:
 
a) Hukumnya harus jika dipersetujui oleh pemilik tanah berkenaan.
 
b) Jika tidak dipersetujui oleh pemilik tanah tersebut dan tiada apa-apa  maslahat umum  padanya, maka       hukumannya tidak harus.
 
 c) Jika pengambilan tanah itu pada pandangan kerajaan sangat mendatangkan kebaikan                            kepada umum dan tiada pilihan lain bagi menggantinya maka hukumnya harus sekalipun                              tanpa persetujuan daripada pemiliknya.
 
3) Sebarang pengambilan balik tanah tersebut dengan syarat hendaklah diberi suatu pampasan                      yang adil kepada pemiliknya.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Fatwa Mengenai Masalah Hutang Si Mati Atau Pinjaman Wang Dari Pihak Kerajaan Atau Majikan Atau Institusi Kewangan Untuk Membina Atau Membeli Rumah Atau Kenderaan

Tarikh Keputusan: 
17 Apr, 1995
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 17 Apr 1995 telah membincangkan fatwa mengenai masalah hutang si mati atau pinjaman wang dari pihak kerajaan atau majikan atau institusi kewangan untuk membina atau membeli rumah atau kenderaan. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut:
 
 
1) Bahawa pinjaman wang yang dibuat bagi memenuhi keperluan asasi iaitu rumah kediaman sendiri dan kenderaan untuk kegunaan sendiri hukumnya harus kerana ianya termasuk dalam perkara dharuriat, dengan syarat ianya sederhana sahaja menurut taraf hidup si peminjam. Jika tidak maka hukumnya haram.
 
2) Jika si peminjam mati sebelum sempat menghabiskan hutang pinjaman dan dia mengambil perlindungan insuran yang diwajibkan oleh pihak yang mengeluar pinjaman wang, maka dia tidak lagi menanggung hutang atas pinjamannya itu. Walau bagaimanapun, jika dalam keadaan dimana si peminjam diberi pilihan untuk mengambil polisi insuran yang diakui sah menurut hukum syarak, maka dia hendaklah mengambil insuran sedemikian itu bagi melindungi pinjamannya, contohnya insuran Takaful atau lain-lain sama dengannya jika ada.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Fatwa Mengenai Golongan Anti Hadis

Tarikh Keputusan: 
5 Aug, 1995
Keputusan: 
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 5 Ogos 1995 telah membincangkan fatwa mengenai golongan anti hadis. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut:
 
1) Buku yang bertajuk ((Hadis Satu Penilaian Semula  Dan Hadis Jawapan Kepada Pengkritik)) yang ditulis oleh Qasim Ahmad dan isi kandungannya.
 
2) Buku yang bertajuk ((Pendedahan Kebenaran adalah Dari Tuhan Mu – Hadis Di dalam Al-quran yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman Dan Isi Kandungan.
 
3) Buku yang bertajuk (Bacaan) yang ditulis oleh Usman Ali dan isi kandungan .
 
4) Buku yang bertajuk Message to The World The Computer Speaks – God’s yang ditulis oleh Doktor Rusyd Khalifan dan isi kandungannya.
 
5) Risalah (Iqra’) terbitan Jemaah Al-quran Malaysia dan isi kandungannya, dan
 
6) Apa-apa terjemahan buku atau risalah yang disebut dalam butiran (1) hingga (5) dan isi kandungannya dalam mana-mana bahasa.
 
Adalah mengandungi ajaran, pegangan dan fahaman yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islamiyyah serta mengelirukan masyarakat Islam dan membawa kepada murtad oleh itu adalah diharamkan.
 
Bahawa mana-mana orang atau kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran,pegangan atau fahaman yang terkandung di dalam buku atau risalah, isi kandungan dan terjemahannya yang disebut dalam sub perenggan (1) adalah sesat kerana ia bertentangan dengan akidah, syariat dan akhlak Islam.
 
Bahawa pengharaman ini meliputi :
 
1) Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman yang terkandung di dalam buku atau risalah, isi kandungannya dan terjemahannya, yang disebut dalam sub perenggan (1) dan termasuklah apa-apa pegangan ideologi, falsafah, atau apa-apa kumpulan atau sistem amalan atau penunaian yang merangkumi kesemua tujuannya atau salah satu daripada tujuannya iaitu pencapaian pengajaran kebatinan, perlindungan kebatinan iaitu suatu pegangan, ideologi, falsafah, atau kumpulan atau sistem amalan atau penunaian yang tidak diakui dan bertentangan dengan syariat Islam dan pegangan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah.
 
2) Apa-apa bahan publisiti termasuk mana-mana terbitan, ertinya apa-apa bahan termasuklah suatu gambar, gambar foto ,logo, poster, rajah, surat edaran ,kalensa filem, iklan di akhbar dan apa-apa bentuk iklan lain yang bertujuan memberi publisiti kepada terbitan tersebut yang berkaitan dengan ajaran, pegangan atau fahaman yang terkandung di dalam buku atau risalah ,isi kandungan dan terjemahannya,yang disebut dalam sub perenggan(1),
 
3) Apa-apa terbitan, ertinya apa-apa buku ,majalah ,pemplet, risalah atau apa-apa bahan bacaan lain, samada dicetak ,ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dengan apa-apa cara lain dan apa-apa bentuk keluaran ulangannya, dan termasuklah apa-apa filem iaitu wayang gambar, pita rakaman atau rekod walaubagaimana pun ia dibuat, daripada suatu imej, berdasarkan penglihatan, yang merupakan rekod yang mampu digunakan sebagai suatu alat yang menayangkan rangkaian itu sebagai gambar bergerak, rakaman audio iaitu apa-apa bahan termasuk piring hitam, fotografi ,pita rakaman, cakera laser dan cakera padat yang dirakamkan rakaman suara manusia untuk dibaca, dilihat atau didengar yang berkaitan dengan ajaran, pegangan atau fahaman yang terkandung di dalam buku atau risalah, isi kandungannya dan terjemahan yang disebut dalam sub perenggan (1).
 
Oleh itu orang Islam adalah dilarang mengamal ajaran, pegangan dan fahaman yang terkandung di dalam buku atau risalah, isi kandungannya dan terjemahannya, yang disebut dalam sub perenggan (1), menjadi ahli, mengetuai, memimpin ,memberi ceramah ,mengadakan kelas pendidikan ,pembelajaran dan aktiviti lain yang bertujuan menghidupkan dan mengembangkan ajaran, pegangan atau fahaman yang terkandung di dalam buku atau risalah ,isi kandungannya dan terjemahannya ,yang disebut dalam sub perenggan (1)
 
Orang Islam adalah juga dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan filem, rakaman audio, pemplet, buku, majalah atau apa-apa terbitan ,risalah dan apa-apa dokumen, menggunakan apa-apa bentuk lambang ,rajah atau tanda yang boleh mengaitkan kepada ajaran, pegangan atau fahaman di dalam buku atau risalah, isi kandungannya dan terjemahan ,yang disebut dalam sub perenggan (1) kepada mana-mana harta alih atau tak alih dan semua pihak dilarang daripada memberi apa-apa jua kemudahan dan bantuan.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Fatwa Pindah Mazhab Berhubung Dengan Wuduk Jemaah Haji

Tarikh Keputusan: 
5 Aug, 1995
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan  yang bersidang pada 5 Ogos 1995 telah membincangkan mengenai fatwa pindah mazhab berhubung dengan wuduk jemaah haji. Mesyuarat telah membuat keputusan fatwa seperti berikut:
 
Bahawa buat masa ini agak menyulitkan andainya para Jemaah Haji dan Umrah dianjur supaya mengamalkan hukum wudhuk berdasarkan pendapat mazhab lain selain dari Syafie kerana perkara – perkara lain yang berkaitan seperti cara mengambil wudhuk dan perkara yang membatalkannya yang diamalkan dalam mazhab tersebut juga perlu mereka amalkan sama, hal ini akan menyulitkan mereka kerana tidak mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai perkara tersebut. Jadi untuk mengelakkan kekeliruan itu para jemaah haji dan umrah dari negeri yang berpegang kepada mazhab syafie lebih wajar dianjurkan supaya berpegang kepada pendapat yang masyhur dalam Mazhab Syafie semasa menunaikan ibadat tersebut, iaitu wudhuk mereka tidak dikira batal jika mereka bukan menyentuh tetapi tersentuh atau disentuh oleh perempuan dan lelaki ajnabi .
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Fatwa Berhubung Dengan Pembangunan Atas Tanah Tapak Masjid

Tarikh Keputusan: 
24 Mar, 1996
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 30 Mei 1995 telah membincangkan fatwa berhubung dengan pembangunan atas tanah tapak masjid. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut:
 
 ا1) Tanah wakaf untuk masjid adalah termasuk tapak dimana didirikan bangunan masjid dan juga kawasan atau halaman bagi masjid setakat mana sempadan tanah yang ditentukan kepadanya. 
 
2) Bangunan lain yang bukan masjid atau lain-lain aktiviti harus didirikan atau diadakan di atas tanah atau kawasan masjid dengan syarat:
 
(i)    Tidak menghalang kepada rancangan peluasan bangunan masjid sekiranya diperlukan kelak.
 
(ii)    Bangunan atau penggunaannya tidak mendatangkan aib atau fitnah kepada kesucian masjid itu sendiri.
 
(iii)   Manfaat yang diperolehi dari bangunan itu hendaklah untuk faedah masjid juga.
 
(iv)    Apa jua aktiviti yang dilaksanakan adalah untuk faedah umum umat Islam serta tidak berlawanan fungsi sebenar masjid sebagai rumah Allah.
 
3) Tanah tapak masjid atau milik masjid boleh dipecah sempadan semula sekiranya mustahak untuk tujuan mendirikan bangunan lain di atasnya dengan syarat tujuan pembinaan bangunan itu tidak berlawanan dengan syarat-syarat seperti yang dinyatakan dalam perenggan (2) di atas.
 
4) Terpulanglah kepada pihak yang berkuasa selaku nazir yang sah untuk membuat istibdal  atau membangunkan  tanah wakaf masjid atau tanah untuk masjid dengan  tertakluk  kepada syarat-syarat yang diharuskan oleh syarak.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Fatwa Mengenai Masalah Jemaah Haji Malaysia Melontar Jamrah Selepas Fajar Haji 13 Zulhijjah

Tarikh Keputusan: 
24 Mar, 1996
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 24 Mac 1996 telah membincangkan mengenai masalah jemaah haji Malaysia melontar jamrah selepas fajar haji 13 Zulhijjah. Mesyuarat membuat keputusan fatwa sebagaimana berikut:
 
Oleh   kerana   ada   pendapat    yang    membolehkan   melontar   selepas   fajar   13 Zulhijjah iaitu qaul dhaif 
(الضعيف مقابل الأصح) sebagaimana yang dipakai oleh pihak Lembaga Urusan dan Tabung Haji Malaysia, maka terpulanglah kepada individu untuk menerima dan beramal dengannya.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Fatwa Berhubung Dengan Masalah Menjemput Orang Bukan Islam Ke Majlis – Majlis Bercorak Agama Dan Lain-Lain Yang Diadakan Dalam Bangunan Masjid

Tarikh Keputusan: 
24 Mar, 1996
Keputusan: 
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 24 Mac 1996 telah membincangkan fatwa berhubung dengan masalah menjemput orang bukan Islam ke majlis-majlis bercorak agama dan lain-lain yang diadakan dalam bangunan masjid. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut:
 
Bahawa orang bukan Islam atau orang kafir boleh masuk ke dalam bangunan masjid dengan izin orang Islam terutama pihak-pihak yang bertanggungjawab ke atas masjid bagi apa jua tujuan yang baik dan berfaedah.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Fatwa Mengenai Ajaran Syiah

Tarikh Keputusan: 
26 Aug, 1996
Keputusan: 
 
 
Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 36 dan seksyen 39 Enekmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, menerusi Jemaah Ulama’  yang bersidang pada 8 Muharram 1417H bersamaan 26 Ogos 1996 dan atas titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan membuat Fatwa seperti berikut:
 
(1) Bersetuju dengan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan supaya  keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa yang telah diadakan pada 24 September 1984 [Kertas bil.2/8/84, perkara 4.2(2)] mengenai aliran Syiah yang menetapkan seperti berikut:
 
“ Setelah berbincang dan menimbang kertas kerja ini Jawatankuasa telah mengambil keputusan bahawa hanya Mazhab Syiah dari golongan Zaidiah dan Ja’fariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia”.
 
Dimansuhkan.
 
(2). Menetapkan bahawa umat Islam di Kelantan hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. Ini adalah kerana ajaran Syiah jelas menyeleweng dari segi akidah, syariah dan akhlak sebagaimana contoh-contoh berikut:
 
  1. Penyelewengan akidah.
 
(a ) Muhamad bin Ya’akob Al- kalini meriwayatkan dalam Usul Kaafi dari Abi Abdullah kata beliau, "sesungguhnya dunia dan akhirat adalah kepunyaan Imam. Dia boleh meletakkannya di mana dikehendakinya dan memberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya. Ini adalah satu kebenaran dari pihak Allah kepadanya (Al Kafi, jilid1, halaman 409). Bab dunia ini semuanya kepunyaan Imam, sedangkan Allah berfirman di dalam Al Quran:
 
                                                 ( إن الأرض لله يورثها من يشآء من عباده)،
 
( الاعراف، اية   :  128    )                         
 
Yang bermaksud: "Sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah diberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya dari kalangan hamba-hambanya". Allah berfirman lagi:
  
 ( له ملك السموات والأرض)                                                                             
 
الحديد، اية-2   )                                                     )
Yang bermaksud: "kepunyaanNyalah kerajaan langit dan bumi."
 
(b) Imam adalah pangkat tertinggi bahkan menjadi salah satu rukun  iman;
 
(c) Imam adalah maksum, tidak melakukan sebarang dosa-dosa, baik dosa
kecil atau dosa besar.
 
(d) Imam masih mendapat wahyu dari Tuhan dan mewarisi pangkat nabi;
 
(e) Mempertikaikan kesempurnaan al-Quran.

 
(ii)        Penyelewengan Syariah
 
(a)  Golongan Syiah juga tidak memandang berat terhadap sembahyang, zakat dan haji kerana mereka ada meriwayatkan daripada Jaafar as-Sadiq bahawa beliau berkata  “ Sesungguhnya Allah menghindarkan azab dan kebinasaan daripada orang yang tidak bersembahyang dari kalangan kita dengan orang yang bersembahyang daripada Syiah kita. Dan sesungguhnya Allah menghindarkan (azab dan seksaan) daripada Syiah yang tidak mengeluarkan zakat dengan Syiah kita yang mengeluarkan zakat, dan sesungguhnya Allah menolak azab dan seksaan daripada syiah kita yang tidak mengerjakannya.  (Tafsir  al-Qummi, jilid satu halaman 83,84, Tafsir al-Iyaasyi, jilid 1, halaman 135). Mereka tidak memandang berat terhadap sembahyang, zakat dan haji kerana dengan adanya segolongan daripada orang yang mengerjakan sembahyang dan menunaikan haji dianggap sudah mencukupi.
 
(b( Menghalalkan perkahwinan mutaah. Untuk menggalakkan amalan tersebut, golongan Syiah mereka hadith-hadith palsu yang disandarkan kepada Imam dua belas mereka.  Antara hadis tersebut, Rasulullah S.A.W bersabda: “ Barang siapa keluar dari dunia ini dalam keadaan tidak pernah melakukan kahwin mutaah dia akan datang pada hari akhirat dalam keadaan rompong. Dalam kitab Tahzib Al-Ahkam, jilid 7, halaman 254 ada menyebut bahawa kahwin mutaah tidak memerlukan saksi, wali dan perisytiharan.
 
(iii)             Penyelewengan Akhlak
 
Golongan Syiah dan orang-orang yang diracuni fikirannya oleh fahaman Syiah bersifat biadab terhadap nabi-nabi dan rasul-rasul dengan berpegang kepada riwayat daripada al-Majlis dalam kitabnya Bihar al- Anuar (secara dusta) daripada Nabi S.A.W bahawa nabi berkata kepada Ali “Wahai Ali, Engkau memiliki apa yang tidak dimiliki olehku.  Fatimah isterimu, sedangkan aku tidak mempunyai isteri yang seumpamanya, daripadanya engkau memperolehi dua orang anak lelaki yang mana tidak ada bagiku dua orang anak lelaki seumpamanya.  Khadijah pula ibu mertuamu sedangkan aku tidak mempunyai ibu mertua yang penyayang seumpamanya.  Aku sendiri bapa mertuamu sedangkan aku sendiri tidak mempunyai bapa mertua yang penyayang seperti bapa mertuamu.  Jaafar adalah saudaramu sedangkan aku tidak mempunyai saudara seumpama Jaafar.  Fatimah al-Hasyimiah adalah ibumu di mana aku tidak mendapat ibu seumpamanya”. Kitab Bihar al-Anuar, kitab al-Syahadah jilid 5, halaman 511).
 
Al-Kalini menyebutkan bahawa darjah Imamah adalah lebih tinggi dari darjah kenabian, kerasulan dan khilah Allah . Untuk maksud ini dia (Al-Kalini) telah berdusta atas nama Jaafar al-Sadiq bahawa beliau berkata sesungguhnya Allah menjadikan Ibrahim sebagai hamba sebelum menjadikannya sebagai Rasul dan sesungguhnya Allah telah menjadikannya Rasul sebelum menjadikannya Khalil dan sesungguhnya Allah menjadikannya sebagai Khalil sebelum menjadikannya sebagai Imam. (Kitab Al-hujjah Min al- Kaafi jilid 1,  halaman 175).
 
(3) Menyokong dan menerima cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-Negeri bagi memperuntukkan dengan nyata bahawa agama bagi persekutuan dan negeri – negeri hendaklah agama Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
 
(4) Memperakukan pindaan kepada semua undang-undang negeri yang berhubungan dengan hukum syarak bagi menyelaraskan takrif “hukum syarak” atau “undang-undang Islam” seperti berikut:
 
“ Hukum syarak “ atau  “undang-undang Islam” ertinya undang-undang Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
 
(5) Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam; dan dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan ahli-ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang.
 
(6) Menetapkan bahawa semua umat Islam di negeri ini adalah tertakluk kepada undang-undang Islam dan hukum syarak yang berasaskan pegangan kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja.
 
(7) Menetapkan bahawa penerbitan, penyebaran dan penyiaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan lain-lain yang berkaitan dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.
 
 
Keputusan (English): 
  
Keterangan/Hujah: 
 
 
Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
22 Sep, 1996
Nombor Rujukan: 
( MAIK. D231/707/(52).)
Akta/Enakmen: 
No 1 .Jil.50

Fatwa Berhubung Dengan Penggunaan Wang Tidak Halal Dalam Tabung Serambi Mekah

Tarikh Keputusan: 
30 Jun, 1996
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 30 Jun 1996 telah membincangkan fatwa berhubung degan penggunaan wang tidak halal dalam Tabung Serambi Mekah. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut:
 
Bahawa penggunaan wang dari sumber tidak halal seperti sumber riba,wang faedah bank dan lain-lain sumber tidak halal dari Tabung Serambi Mekah untuk faedah umum sebagaimana yang digariskan, termasuk sumbangan kepada fakir miskin Islam dan bukan Islam adalah harus.  
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Fatwa Mengenai Urusan Zakat Dan Pengurusan Wang Awam Majlis Agama Islam Kelantan

Tarikh Keputusan: 
18 Aug, 1993
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan  yang bersidang pada 19 Ogos 1993 telah membincangkan mengenai fatwa mengenai urusan zakat dan pengurusan wang awam Majlis Agama Islam Kelantan. Mesyuarat telah membuat keputusan fatwa seperti berikut:
 
1) Pada asasnya zakat hendaklah segera diagihkan kepada asnafnya selepas dipungut dari pengeluar –pengeluar zakat. Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang menunjukkan supaya zakat hendaklah segera disampaikan kepada orang yang berhak menerimanya. Walau bagaimanapun menangguhkan sementara kerja-kerja pengagihan zakat atas asas untuk menyelesaikan urusannya terlebih dahulu adalah dibolehkan dengan syarat janganlah sampai mengenepikan keperluan yang sepatutnya sampai ke tangan  golongan atau orang yang berhak menerimanya menurut hukum syarak dan lagi tempoh berlangsungnya penangguhan itu tidaklah disifatkan sebagai lama pada uruf.
 
2) Tiada nas yang membolehkan wang atau harta zakat  ditasarruf (دتصرف ) untuk tujuan –tujuan lain termasuk kegiatan perniagaan yang tertakluk kepada risiko untung rugi.
 
3) Wang atau harta zakat tidak boleh digunakan untuk tujuan pembelian tanah atau untuk membina bangunan perniagaan, sekalipun pendapatan dari sumber itu kelak akan digunakan untuk asnaf zakat. Ini adalah kerana berlawanan dengan konsep sebenar kewajipan berzakat yang difardukan di dalam syariat Islam.
 
4) Pada asalnya maksud (Fisabililllah ) di dalam konteks asnaf zakat ialah jihad atau peperangan kerana menegakkan agama Allah. Walau bagaimanapun pengertian tersebut diperluaskan menurut pendapat ulama dengan meliputi semua kegiatan atau usaha yang bertujuan untuk meninggikan agama Islam. Adapun zakat yang terhak kepada asnaf fi sabilillah ialah satu perlapan, tetapi tiada halangan menurut hukum syarak ianya dilebihkan dari kadar tersebut jika didapati mustahak serta wajar dengan syarat tidak menjejaskan hak asnaf-asnaf lain yang ada.
 
Namun begitu, perbelanjaan untuk asnaf itu tidak harus menjadi terlalu besar sehingga menampakkan jarak perbezaan yang terlalu jauh dengan perbelanjaan asnaf – asnaf  lain yang ada itu.
 
5) Wang simpanan orang awam (deposit am) yang ada dalam simpanan Majlis boleh digunakan untuk modal perniagaan atau apa-apa tujuan lain yang menguntungkan atau boleh memenuhi kepentingan umat Islam. Walau bagaimanapun sebagai harta amanah, wang tersebut hendaklah ditasaruf dengan baik sampai ianya dapat dimanfaatkan untuk tujuan asalnya, jika tujuan tersebut masih wujud atau kepada tujuan-tujuan yang sehampir mungkin dengan tujuan asalnya jika tujuan asal sudah luput.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Fatwa Mengenai Projek Ekonomi Dengan Pendapatan Wang Zakat

Tarikh Keputusan: 
8 Dec, 1991
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan  yang bersidang pada 8 Dis 1991 telah membincangkan mengenai fatwa mengenai projek ekonomi dengan pendapatan wang zakat. Mesyuarat telah membuat keputusan fatwa seperti berikut:
 
Wang zakat tidak harus / tidak sah diberi pinjam kepada mana-mana pihak samada dengan tujuan sebagai modal perniagaan atau lain-lain.
 

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Mengenai Pemindahan Zakat Ke Daerah Lain

Tarikh Keputusan: 
1 Dec, 1990
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan  yang bersidang pada 1 Dis 1990 telah membincangkan mengenai pemindahan zakat ke daerah lain. Mesyuarat telah membuat keputusan fatwa seperti berikut:
 
1) Pada dasarnya zakat perlu dibayar dan diagihkan secara tempatan.
 
2) Pemindahan zakat dari daerah ke daerah yang lain dan dari negeri ke negeri yang lain yang lebih memerlukan itu harus bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW kepada Mu’az bin Jabal
     
                                            فاعلمهم ان عليهم صدقة توءخذ من اغنيائهم فترد على فقرائهم.
 
Maksudnya: Hendaklah kamu memberitahu kepada mereka bahawa diambil harta zakat dari kalangan mereka yang kaya maka diberi kepada golongan yang miskin dikalangan mereka dimana orang-orang miskin di kalangan mereka itu yang ditunjukkan dalam hadis tersebut tidaklah terbatas kepada orang-orang Islam yang miskin tempatan ( Yaman ) bahkan termasuk orang-orang miskin dimana sahaja yang memerlukannya.
Juga bersandarkan kepada ayat   
 
                                            انما الصدقات للفقراء والمساكين           
 
Maksudnya: Sesungguhnaya harta zakat dan sedekah itu diberi kepads golongan fakir dan miskin
 
3) Bahawa pengharusan pemindahan zakat adalah dilihat dari sudut keperluan yang lebih oleh satu negeri atau satu daerah.
 
4) Pengharusan pemindahan zakat ini adalah bersesuaian dengan satu pandangan yang terdapat dalam Mazhab Syafie.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Hukum Menternak Buaya

Tarikh Keputusan: 
4 Nov, 1990
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 4 Nov 1990 telah membincangkan fatwa mengenai  hukum menternak Buaya. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut:
 
1) Menternak buaya harus untuk mengambil faedah dengan syarat bahaya dapat dikawal.
 
2) Harus membunuh buaya kerana mengambil manfaat.
 
3) Mematikan dengan cara paling baik seperti sembelihan dan sebagainya serta tidak mengazabkan.
 
4) Kulit buaya harus dijual sesudah disamak.
 
5.Dagingnya haram dijual untuk dimakan.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Kedudukan Mengenai Barang-Barang Yang Diserahkan Kepada Baitulmal

Tarikh Keputusan: 
26 Mar, 1990
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 26 Mac 1990 telah membincangkan fatwa mengenai kedudukan barang-barang yang diserahkan kepada Baitulmal. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut:
 
1) Mesyuarat mengambil maklum bahawa barang-barang yang bernilai yang diserahkan kepad Baitul Mal adalah banyak dan sudah mengambil masa yang agak lama.
 
2) Tidak dinyatakan secara terang dalam enakmen Majlis Agama Islam 2/1966 tentang penerimaan barang yang diserahkan kepada Baitul Mal.
 
3) Barang yang diserahkan kepada Baitul Mal sekiranya pihak yang menemui belum lagi membuat makluman kepada orang ramai maka pihak Baitul Mal, Majlis hendaklah maklumkan.
 
4) Pihak Baitul Mal hendaklah menyenaraikan semua jenis barang yang diserahkan.
 
5) Pengumuman perlu dibuat menerusi:
 
i. masjid-masjid
ii.majalah pengasuh
 
6) Tempoh tamat pengumuman selama setahun.
 
7) Barang yang sudah melebihi tempoh setahun itu boleh dijual, hasilnya diperuntukkan kepada fakir miskin.
 

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Wasiat Kepada Waris

Tarikh Keputusan: 
6 Sep, 1989
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 5 Sep 1989 telah membincangkan mengenai wasiat kepada waris. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut:
 
Wasiat kepada waris yang tidak mendapat kelulusan semua waris, iaitu sebahagian memberi kelulusan, maka sah pada bahagian yang memberi kelulusan dan tidak sah pada bahagian yang tidak memberi kelulusan.
Keterangan/Hujah: 
 
Jemaah ulama telah memperkukuhkan pandangan mereka dengan berpandukan kitab al Fiqhul  Islam Wa adillatuhkarangan Doktor Wahbah Al Zuhaili
 
            الوصية للوارث, يشترط لنفاذ الوصية ألا يكون الموصى له وارثا للموصى عند موت الموصى, اذا كان هنالك وارث اخرلم يجزالوصية, فإن  أجاز بقية الورثة, الوصية لوارث, نفدت الوصية, فتكون الوصية للوارث موقوفة على إجازة بقية الورثة لقوله صلى الله عليه وسلم إن الله قد أعطى كل ذي حق حقه, فلا وصية لوارث وقوله ايضا, لا تجوز وصية لوارث إ ان يشاء الورثة ولا وصية لوارث إلا ان يجيز ولأن في ايثار بعض الورثة من غير رضا الاخرين, ما بوءدي الى الشقاق والنزاع, وقطع الرحم, واثارة البغضاء والحسد بين الورثة.
Maksud:
 
            Wasiat kepada waris disyaratkan bagi kelulusan wasiat itu, hendaklah orang yang diberi wasiat kepadanya itu bukan waris kepada orang yang berwasiat, pada waktu berlaku kematian, jika terdapat waris yang lain tidak merestui maka tidak sah wasiat itu jika sekiranya ada baki dari waris itu merestui untuk diberikan kepada waris sah wasiat itu, maka wasiat kepada waris adalah tertakluk kepada restu dari baki waris.
 
 Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya Allah telah mengurniakan kepada setiap yang berhak itu haknya maka tidak ada wasiat kepada waris. Sabdanya lagi: Tidak ada wasiat kepada waris melainkan mendapat kelulusan waris-waris, kerana pengambilan sebilangan waris, tanpa kerelaan waris-waris yang lain akan membawa kepada persalahan dan pertikaian, pemutusan silaturrahim dan menimbulkan kebencian dan hasad dengki diantara waris-waris.
 
Sheikh Ali Khafif dalam kitabnya Ahkamul Wasiyyah Buhuth Muqaranah juga mengemukakan pendapatnya yang sama, iaitu kepada waris adalah sah akan tetapi ianya tertakluk kepada kelulusan semua waris, jika mereka meluluskan maka wasiat itu sah dan jika mereka tidak meluluskan wasiat itu batal.
 
Jika kiranya sebahagian daripada waris meluluskan sebahagian yang lain tidak meluluskan, maka sahlah pada bahagian yang diluluskan dan batal pada bahagian yang tidak diluluskan.
Kelulusan dari waris diperlukan dalam melaksanakan apa yang dikehendaki oleh orang yang berwasiat dengan melaksanakan sebabnya dan melaksanakan hak mereka yang menjadi penghalang dari sahnya wasiat. Wasiat lebih 1/3 kepada waris harus dengan syarat mendapat kelulusan daripada waris.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Masalah Pembinaan Masjid Baru Mukim Bakong, Bachok

Tarikh Keputusan: 
31 Dec, 1988
Huraian Tajuk/Isu: 
 
Pada 5 November 1988. satu rombongan Jemaah Ulama’ yang diketuai oleh Timbalan Mufti Kelantan telah membuat lawatan ke Masjid Mukim Bakong Bachok.  Dalam lawatan Jemaah Ulama’ itu menghalusi dari segenap segi :
 
  1. Disegi ketahanan, oleh kerana masjid dibina dindingnya dari batu maka didalam perhatian bahawa bangunan boleh tahan selama tiga puluh tahun lagi.  
  2. Tentang bahagian atas pula sungguhpun ada kebocoran boleh diperbaiki kerana kayu perkakas atas ini adalah dari jenis kayu keras
  3. Tentang muatan pula, manakala anak-anak mukim didapati yang wajib Jumaat hanya lebih kurang tiga ratus orang sahaja, maka bangunan yang ada hari in boleh menampung kedatangan anak-anak  mukim sekadar tiga ratus orang, tetapi kiranya hendak diperbesarkan bangunan tidak ada halangan.
Keputusan: 
 
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 31 Dec 1988 telah membincangkan masalah pembinaan masjid baru mukim Bakong, Bachok. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut:
 
Setelah mengkaji keadaan masjid ini, jemaah yang hadir pada hari itu berpendapat bahawa masjid ini pada masa ini tidak perlu dirobohkan dan dibina bangunan yang lain tetapi kiranya hendak diperbesarkan bangunan dengan tidak merobohkan bangunan tidak ada halangan.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Syndicate content