Melaka

Kaedah Perubatan Syarikat Jamzibar Jaya Enterprise

Tarikh Keputusan: 
5 Jul, 2011
Keputusan: 
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 3/2011 yang bersidang pada 4 Sya’aban 1432H bersamaan 5 Julai 2011 sebulat suara bersetuju memutuskan bahawa :
 
i. Kaedah perubatan atau rawatan yang dilakukan oleh Tuan Haji Raja Harun dan para pembantunya daripada Syarikat Jamzibar Jaya Enterprise didapati meragukan dan mengandungi unsur-unsur yang bercanggah dengan syariat dan akhlak Islam sepertimana berikut:
 
a) Menggunakan najis daripada darah binatang (burung merpati putih) yang disembelih tanpa mengenalpasti tahap darurat penggunaannya serta tiada perakuan mana-mana pihak yang berautoriti mengenai tahap keselamatan dan keberkesanannya sebagai ubat. Terdapat hadis daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallan melarang daripada ubat yang kotor (Hadis riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad);
 
b) Tujuan atau qasad menyembelih binatang tersebut di atas badan pesakit dikhuatiri mengandungi unsur syirik dan menyebabkan ia tidak halal di makan;
 
c) Mendedahkan aurat pesakit di tempat awam;
 
d) Berlaku sentuhan tapak berlapik antara pesakit dan perawat berlainan jantina yang bukan mahram semasa rawatan; dan
 
e) Menggunakan bacaan-bacaan yang tidak dikenalpasti.
 
ii. Justeru itu, pengamal rawatan tersebut hendaklah ditegah daripada menjalankan rawatan sepertimana yang dinyatakan di para (i) dan lain-lain kaedah yang bercanggah dengan hukum syarak dan perlu dinasihati supaya mematuhi Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam yang dikeluarkan oleh JAKIM jika ingin meneruskan aktiviti rawatannya.
 
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Nombor Rujukan: 
JMM/BFB/351/670/01

Garis Panduan Penggunaan Wang Masjid dan Surau

Tarikh Keputusan: 
5 May, 2011
Keputusan: 
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 3/2011 yang bersidang pada 4 Sya’aban 1432H bersamaan 5 Julai 2011 sebulat suara bersetuju dengan Garis Panduan Penggunaan Wang Masjid dan Surau seperti berikut :
 
1. Takrif Wang Masjid/Surau
 
Wang masjid/surau dalam garis panduan ini merujuk kepada dana masjid/surau yang terkumpul hasil dari pelbagai sumber seperti derma individu atau organisasi kedalam akaun bank atas nama masjid/surau, atau derma yang dimasukkan ke dalam tabung yang disediakan di masjid/surau, tabung jumaat, wakaf tunai, pungutan derma sempena hari raya, tabung bergerak, sumbangan kerajaan, hasil sewaan dan sebagainya yang dimasukkan kedalam akaun masjid/surau.
 
2. Sumber Wang Masjid/Surau
 
Secara umumnya, pendapatan wang masjid/surau yang terkumpul diperolehi daripada sumber-sumber seperti berikut:
 
i) Wakaf tunai iaitu wakaf orang ramai dalam bentuk cek atau wang tunai yang dimasukkan ke dalam akaun bank atau tabung wakaf masjid/surau atau diserahkan kepada pihak masjid/surau yang diamanahkan atau pembelian tapak masjid/surau dalam bentuk kaki persegi oleh pewakaf. Dana wakaf tunai yang dikumpul kemudiannya ditukar kepada harta kekal yang akan dimanfaatkan untuk kebajikan dan kepentingan masjid/surau berkenaan seperti pembelian tapak masjid/surau, pembinaan, penyelenggaraan, membaikpulih, pembesaran dan sebagainya yang bersangkutan dengan keperluan masjid/surau secara langsung.
 
ii) Derma khairat atau kebajikan iaitu derma orang ramai dalam bentuk cek atau tunai ke dalam akaun bank masjid/surau atau tabung yang disediakan oleh pihak masjid/surau di mana kegunaannya adalah umum meliputi pelbagai aktiviti pengimarahan masjid/surau seperti mengadakan jamuan majlis khatam Al-Qur’an, majlis meraikan jemaah kariah pergi dan balik haji, bayaran penceramah, guru agama, pengurusan dan pentadbiran masjid/surau dan sebagainya.
 
iii) Derma aktiviti khusus iaitu derma orang ramai dalam bentuk cek atau tunai ke dalam akaun bank atau tabung masjid/surau yang diwujudkan secara khusus untuk membiayai aktiviti tertentu dan dimaklumkan kepada orang ramai mengenainya seperti pungutan derma untuk majlis sambutan isra’ mi’raj, sambutan Maulidurrasul, Ihya’ Ramadhan dan sebagainya di mana wang yang terkumpul hendaklah dibelanjakan kepada aktiviti yang ditentukan itu sahaja.
 
iv) Sumbangan kerajaan iaitu sumbangan kewangan oleh pihak kerajaan yang dimasukkan ke dalam akaun masjid/surau tertentu.
 
v) Sumber-sumber lain iaitu wang masjid/surau yang terkumpul hasil daripada aktiviti jualan, kutipan sewa, keuntungan pelaburan dan sebagainya yang diusahakan oleh pihak masjid/surau.
 
3) Penggunaan Wang Masjid/Surau
 
i. Penggunaan wang wakaf tunai yang dipungut khusus untuk pembangunan masjid.
 
Wakaf tunai yang dipungut khusus untuk pembangunan masjid wajiblah dibelanjakan pada pembangunan fizikal masjid yang berkenaan seperti pembelian tapak masjid, membina,membaikpulih, mengubahsuai, membesarkan, membeli peralatan, perkakasan, infrastruktur dan kemudahan fizikal yang bersangkutan dengan kepentingan masjid berkenaan sama ada pada masa sekarang atau pada masa yang akan datang.
 
ii. Penggunaan wang atau aset yang diwakafkan untuk masjid/surau tertentu.
 
Wang atau aset yang diwakafkan untuk masjid/surau yang tertentu, maka wajiblah dibelanjakan atau digunakan untuk manfaat dan maslahat masjid/surau yang ditentukan itu tidaklah boleh dibelanjakan, dipindahkan atau digunakan kepada masjid/surau lain sebagai menghormati niat pewakaf berkenaan.
 
iii. Penggunaan wang derma khairat orang ramai untuk kemaslahatan jemaah masjid/surau.
 
Wang yang didermakan oleh orang ramai sebagai khairat/kebajikan kepada sesebuah masjid/surau bolehlah dibelanjakan untuk aktiviti-aktiviti yang mendatangkan kemaslahatan ahli jemaah masjid/surau berkenaan contohnya seperti bayaran saguhati pensyarah dan guru yang mengajar di masjid/surau itu, mengadakan jamuan, majlis berbuka puasa untuk ahli jemaah masjid, surau dan sebagainya.
 
iv. Penggunaan wang derma yang dipungut khusus bagi menjalankan aktiviti/majlis tertentu.
 
Wang yang didermakan oleh orang ramai bagi menjalankan aktiviti tertentu seperti Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil, Majlis Doa Selamat Pergi/Balik Haji, Majlis Sambutan Hari Kebesaran Islam dan sebagainya wajiblah dibelanjakan kepada aktiviti yang dikhususkan itu sahaja.
 
v. Pengurusan baki atau lebihan wang derma masjid/surau yang dipungut khas bagi menjalankan aktiviti/majlis tertentu.
 
Baki atau lebihan wang daripada pungutan derma khas yang dibuat bagi menjalankan aktiviti/majlis tertentu bolehlah disimpan dan dianjakkan derma tersebut kepada majlis yang serupa di masa akan datang. Jika hendak dibelanjakan baki atau lebihan derma tersebut kepada aktiviti/majlis yang lain, wajiblah dihebahkan kepada orang-orang yang berderma untuk mendapatkan persetujuan dan keizinan terlebih dahulu.
 
vi. Penggunaan wang derma masjid/surau yang diperolehi atau dipungut daripada penderma yang tidak diketahui niat atau tujuannya dengan jelas.
 
Jika tidak diketahui niat dan tujuan orang yang berderma itu dengan jelas, maka hendaklah dilihat dari segi adat kebiasaan (‘uruf’) sesebuah masjid/surau dalam membelanjakan wang derma itu.
 
vii. Penggunaan wang masjid/surau sebgai modal pelaburan untuk menjanakan pendapatan
Harus menggunakan dana masjid/surau sebgai modal pelaburan dan perniagaan bagi tujuan menjana pendapatan tetapi hendaklah tertakluk kepada syarat-syarat sepertimana berikut:
 
a) Pihak Jawatankuasa masjid/surau berkenaan dapat memberi jaminan bertulis wang masjid/surau yang dilaburkan atau diperniagakan hendaklah dikembalikan semula kepada akaun masjid/surau berkenaan untuk dibelanjakan kepada kemaslahatan masjid/surau setelah ditolak kos pengurusan yang munasabah;
 
b) Ada jaminan bertulis bahawa pihak Jawatankuasa masjid/surau berkenaan bersedia untuk membayar balik kesemua jumlah wang masjid/surau yang dilaburkan atau diperniagakan itu kepada akaun masjid/surau jika berlaku kerugian dalam pelaburan atau perniagaaan;
 
c) Ada jaminan bertulis bahawa wang masjid/surau yang dijadikan modal pelaburan itu boleh dicairkan pada bila-bila masa apabila ada keperluan mendesak;
 
d) Pelaburan atau perniagaan tersebut hendaklah dilakukan dengan teratur dan ianya mestilah berlandaskan syariat;
 
e) Hendaklah dibuat kajian terperinci berkenaan dengan satu-satu pelaburan atau perniagaan yang hendak diusahakan menggunakan wang masjid/surau dan perlu dipastikan ianya terjamis selamat;
 
f) Pelaburan atau perniagaan tersebut hendaklah dikendalikan oleh satu badan ataupun jawatankuasa khas yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang pelaburan dan bersifat amanah; dan
 
g) Hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis atau kelulusan daripada pihak berkuasa agama negeri Melaka terlebih dahulu.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Nombor Rujukan: 
JMM/BFB(S)/351/437/08

Garis Panduan Hukum Khurafat Dan Azimat

Tarikh Keputusan: 
5 Jul, 2011
Keputusan: 
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 3/2011 yang bersidang pada 4 Sya’aban 1432H bersamaan 5 Julai 2011 sebulat suara bersetuju dengan Garis Panduan Hukum Khurafat dan Azimat seperti berikut :
 
a)        Khurafat ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang
          larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang
           dari ajaran Islam. Khurafat juga merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan
          bersifat karut atau dusta;
 
b)        Antara ciri-ciri khurafat adalah seperti berikut:
 
                             (i)      Ia tidak didasarkan pada nas-nas syarak sama ada al-Quran atau al-Hadith;
 
                            (ii)      Ia merupakan cerita-cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut;
 
                            (iii)     Ia bersumberkan kepada kepercayaan-kepercayaan lama dan adat yang
                                     bercanggah dengan Islam;
 
                           (iv)     Ia berbentuk pemujaan dan permohonan kepada selain daripada Allah Ta’ala untuk
                                    tujuan yang bercanggah dengan ajaran Islam;
 
                            (v)      Ia melibatkan penggunaan objek-objek tertentu seperti kubur, pokok, busut, dan 
                                   sebagainya untuk tujuan yang tertentu; dan
 
                            (vi)     Ia mempunyai unsur-unsur negatif kepada akidah dan syariah Islam.
 
c)         Antrara bentuk-bentuk khurafat adalah seperti berikut:
 
(i)          Kepercayaan kepada keramat seperti makam, kubur, pokok kayu, telaga keramat, batu, cincin, bukit, tongkat, haiwan tertentu dan sebagainya;
 
(ii)        Kepercayaan kepada sial majal seperti adat mandi safar, adat mandi membuang sial dan sebagainya;
 
(iii)       Kepercayaan kepada jin dan memohon pertolongan darinya seperti adat memuja kampung, adat merenjis tepung tawar, adat semah pantai dan sebagainya;
 
(iv)       Kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat memuja semangat padi, bersemah, membuang ancak ke sungai dan laut dan sebagainya;
 
(v)         Kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang contohnya seperti tidak melihatkan bayi di muka cermin kerana kelak ia akan mati di dalam air, tidak boleh keluar ketika gagak berbunyi kerana takut mendapat sial atau bala dan sebagainya;
 
(vi)       Kepercayaan kepada ramalan-ramalan bintang, zodiak, angka, nombor, kod matrik, tarikh kelahiran, abjad nama, rajah-rajah tertentu, kitaran hari dan bulan dalam kalendar dan sebagainya dalam merancang dan melaksanakan sesuatu perkara dan mengatur kehidupan; dan
 
(vii)      Memuja objek-objek tertentu, roh nenek moyang, kubur-kubur yang dianggap wali atau syeikh tertentu, melakukan upacara menghadirkan roh dan sebagainya.
 
d)        Antara amalan khurafat yang berlaku di Negeri Melaka:
 
(i)        Membaca tahlil dan doa serta bertakbir di tiang bendera semasa upacara menurun dan menaikkan bendera;
 
(ii)      Upacara menyapu dan menyiram cairan cendana pada batu nisan, mebentang kain penutup ke atas kubur, membalut kain putih pada batu nesan, memasang colok dan meletakkan bendera di atas kubur;
 
(iii)     Perarakan membawa bendera, bunga telur, bunga-bungaan, buah-buahan di dalam dulang disertai oleh para pengunjung sambil berselawat menuju ke kubur tertentu;
 
(iv)     Mengadakan Majlis maulud atau sambutan hari hol atau upacara tertentu di perkuburan;
 
(v)       Membawa haiwan ternakan hidup ke sesuatu tempat untuk disembelih bagi tujuan tertentu seperti membayar nazar, memohon hajat, lambang terima kasih kepada kubur dan simbol penutup selepas usaha memuja tempat yang didakwa keramat;
 
(vi)     Melakukan bai’ah di atas kubur atau ditempat-tempat yang dianggap keramat.
 
(vii)     Upacara zikir dan ratib di sisi kubur untuk memohon hajat tertentu; dan
 
(viii)   Upacara suluk atau uzlah dengan menghabiskan zikir tertentu berhari-hari di kawasan kubur dengan kepercayaan boleh meningkatkan taraf atau darjat di sisi Allah.
 
 e)        Azimat atau tangkal ialah suatu objek yang ditulis dengan ayat-ayat tertentu yang
            dianggap mempunyai kesaktian dan kuasa ghaib yang melampaui kekuatan semula jadi 
            apabila dijampi atau dipuja untuk mendapatkan pertolongan atau bantuan bagi manfaat
           diri sendiri atau memudharatkan orang lain.
 
f)         Islam sangat menitikberatkan soal-soal akidah dan syariah. Segala amalan dan
            kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber yang asal seperti 
           al-Quran, al-Hadith, Ijma’ dan Qiyas adalah ditolak oleh Islam.
 
g)        Amalan memuja dan memohon pertolongan dari objek yang dipuja seperti yang selalu
           dilakukan oleh sesetengah bomoh dan dukun adalah syirik dan menyesatkan.  
          Orang-orang yang bersahabat dengan mengunakan jin, tukang sihir dan tukang tenung
          adalah tergolong di dalam golongan orang-orang jahil dan menzalimi diri sendiri.
 
h)        Haram mengunakan azimat atau tangkal yang mengandungi rajah-rajah atau tulisan-
            tulisan yang tidak difahami seperti obejek-objek tertentu dan bercampur aduk dengan
           ayat al-Quran atau berdasarkan kepada sihir, atau yang memuja hantu syaitan dan jin
          iblis, atau yang mengandungi benda-benda najis atau kotor dan menganggapkan tangkal
          mempunyai kuasa.
 
i)         Amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu
           pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu penjauh jin, penimbul, penyeri, pemanis,
           mempercepatkan jodoh, pelaris, penunduk musuh, penunduk kata, pemerdu suara,
           pembungkam, penarik rezeki, penjaga diri, penguat batin dan sebagainya yang
          dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam.
 
j)         Jampi adalah haram sekiranya ia mengandungi perkataan yang tidak difahami
           maknanya atau yang berdasarkan sihir atau memuja hantu syaitan dan jin iblis atau
           mengiktikadkan bahawa jampi itu yang memberi kesan sehingga si pesakit menjadi
           sembuh.
 
k)        Pihak Berkuasa Negeri perlu mewujudkan peraturan untuk menghalang mana-mana
           orang Islam membawa dan menyembelih haiwan di tempat-tempat pemujaan dalam
           negeri Melaka bagi mencegah berlakunya perbuatan syirik dan khurafat selaras dengan
           kaedah sadd az-zari’ah (menutup pintu-pintu yang boleh membawa kemudharatan)
 
l)         Mana-mana orang Islam yang terlibat dengan perbuatan syirik atau khurafat,
           menggunakan azimat atau tangkal atau mengamalkan jampi serapah yang bertentangan
           dengan aqidah, syariat dan akhlak Islam wajib segera bertaubat dan memohon
          keampunan kepada Allah Ta’ala.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Nombor Rujukan: 
JMM/BFB(S)/351/255/01/13
Akta/Enakmen: 
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002

Cadangan Pembayaran Zakat Fitrah Melalui SMS Bersama Maxis

Tarikh Keputusan: 
25 Feb, 2011
Keputusan: 
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil. 1/2011 yang bersidang pada 22 Rabiulawwal 1432H bersamaan 25 Februari 2011M sebulat suara bersetuju memutuskan bahawa :
 
  1. Pihak Maxis hanya diiktiraf sebagai agen dan bukannya amil untuk memungut kutipan zakat fitrah kerana menggunakan perkhidmatan SMS.
     
  2. Bayaran upah hendaklah diambil dari PZM dan bukan dari pembayar fitrah yang menggunakan perkhidmatan SMS.
     
  3. Memandangkan semakin banyak syarikat telekomunikasi terdapat di Malaysia dan kemungkinan memohon untuk memberi perkhidmatan seperti ini maka mesyuarat bersetuju untuk mewartakan fatwa ini secara umum.
     
  4. Sighah fatwa yang dipersetujui adalah seperti berikut :
 "Pembayaran zakat fitrah melalui khidmat Sistem Pesanan Ringkas (SMS) adalah harus dengan syarat pihak yang menyediakan perkhidmatan tersebut hendaklah dilantik oleh Majlis Agama Islam Melaka (Majlis) sebagai agen yang hanya akan membuat pungutan zakat fitrah melalui kaedah SMS di Negeri Melaka bagi suatu tempoh yang dibenarkan oleh pihak Majlis."
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Penetapan Semula Kadar 'Uruf Pemakaian Emas di Negeri Melaka Dan Kaedah Pengiraan Zakat Ke Atasnya

Tarikh Keputusan: 
27 Apr, 2010
Keputusan: 
 
  1. Menetapkan bahawa kadar ‘uruf pemakaian emas perhiasan oleh wanita Islam di negeri Melaka ialah sebanyak 200 gram;
     
  2. Kadar pengiraan zakat emas perhiasan bagi negeri Melaka ialah 2.5 peratus daripada nilai emas yang melebihi kadar ‘uruf pemakaian emas yang ditetapkan seperti formula berikut :

    2.5% x (nilai emas – kadar ‘uruf) = zakat emas
     

  3. Meminda keputusan fatwa terdahulu dengan keputusan ini dan menyiarkannya dalam Warta Kerajaan Negeri Melaka.
 
 
 

Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
6 Jan, 2011
Nombor Rujukan: 
JMM/BFB(S)/351/255/02/09;PUNM. 700-02/40
Akta/Enakmen: 
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002

Hukum Melukis, Melakar Atau Mengukir Gambar Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam, Ahli Keluarga Dan Pada Sahabat Baginda

Tarikh Keputusan: 
19 Nov, 2009
Keputusan: 

 

  1. Perbuatan melukis, melakar, mengukir, mengilustrasi atau memvisualisasikan gambar para malaikat, Nabi-Nabi terdahulu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dan ahli keluarga serta para Sahabat Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam yang utama atau melakonkan watak-watak mereka dalam apa juga bentuk adalah haram; dan
     
  2. Orang Islam adalah dilarang mencetak, menjual, mengedar, membeli atau memiliki perkara-perkara yang tersebut dalam perenggan (a) dalam apa jua bentuk.
Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
6 Jan, 2011
Nombor Rujukan: 
JMM/BFB(S)/351/255/01/08; PUNM. 700-02/40
Akta/Enakmen: 
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002

Fatwa Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain

Tarikh Keputusan: 
24 Feb, 2010
Keputusan: 
 
Harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut :
 
  1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
     
  2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
     
  3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.
Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
28 Oct, 2010
Nombor Rujukan: 
JMM/BFB(S)/351/255/01/05, PUNM. 700-02/37
Akta/Enakmen: 
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002

Fatwa Penggunaan Wang Baitulmal Bagi Tujuan Dakwah Kepada Golongan Bukan Islam Di Negeri Melaka

Tarikh Keputusan: 
22 Jul, 2009
Keputusan: 
 
Penggunaan wang dan harta Baitulmal perlu diberi keutamaan untuk hal-hal yang berkaitan dengan urusan dan kemaslahatan umat Islam. Walau bagaimanapun, pemerintah diharuskan menggunakan wang Baitulmal untuk memberi bantuan kepada golongan bukan Islam berdasarkan siyasah dan keperluan secara hikmah bagi tujuan dakwah, tertakluk kepada kemampuan kewangan Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka.
Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
27 May, 2010
Nombor Rujukan: 
JMM/BFB(S)/351/255/03/03; PUNM. 700-02/37
Akta/Enakmen: 
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002

Hukum Penggunaan Dan Kepercayaan Angka 786

Tarikh Keputusan: 
22 Jul, 2009
Keputusan: 

 

  1. Kepercayaan terhadap angka 786 bermaksud  atau mentafsirkan mana-mana ayat al-Qur’an dengan angka-angka tertentu dan meyakini bahawa angka-angka sedemikian membawa tuah dan nasib yang baik adalah suatu kepercayaan yang salah dan bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariat serta akhlak Islam. Perbuatan ini juga termasuk dalam golongan mereka yang mentafsirkan al-Qur’an mengikut hawa nafsu dan tidak berdasarkan kepada ilmu dan disiplin-disiplinnya serta tidak mendapat hidayah Allah Ta’ala;
     
  2.  Mempercayai bahawa angka-angka tertentu boleh membawa tuah dan nasib yang baik kepada seseorang adalah suatu kepercayaan yang salah dan bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariat serta akhlak Islam; dan
     
  3. Semua pihak yang terlibat hendaklah menghentikan kepercayaan dan penggunaan terhadap perkara ini dengan serta merta.
Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
27 May, 2010
Nombor Rujukan: 
JMM/BFB(S)/351/255/01/05; PUNM. 700-02/37
Akta/Enakmen: 
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002

Memohon Pandangan Mengenai Cadangan Had Tempoh Panggilan Muallaf

Tarikh Keputusan: 
29 Dec, 2010
Keputusan: 
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 4/2010 yang bersidang pada 23 Muharram 1432H bersamaan 29 Disember 2010 sebulat suara bersetuju memutuskan bahawa :
 
i. Had Tempoh panggilan muallaf ialah 5 tahun dikira dari tarikh pendaftaran memeluk Islam dengan syarat mereka telah mengikuti kelas-kelas agama anjuran Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka;
 
ii. Menubuhkan satu jawatankuasa dikenali Jawatankuasa Muallaf yang berfungsi untuk menilai kelayakan dikeluarkan dari panggilan muallaf dan kelayakan menerima zakat asnaf muallaf;
 
iii. Selepas 5 tahun, pemberian zakat dinilai berdasarkan siasatan sebagaimana untuk menentukan golongan fakir atau miskin. Mereka yang telah mempunyai taraf hidup yang melepasi garis kemiskinan tidak dapat dipertimbangkan untuk menerima zakat;
 
iv. Jawatankuasa Muallaf boleh mengikut pertimbangannya, mengecualikan mana-mana muallaf daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam syor yang dinyatakan; dan
 
v. Pihak Majlis Agama Islam Melaka mewujudkan suatu kaedah atau peraturan bagi melaksanakan cadangan tersebut supaya ianya lebih teratur.
 
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Cadangan Pewartaan Fatwa Pengharaman Tarikat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani

Tarikh Keputusan: 
29 Dec, 2010
Keputusan: 
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 4/2010 yang bersidang pada 23 Muharram 1432H bersamaan 29 Disember 2010 sebulat suara bersetuju memutuskan bahawa :
 
i. Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani adalah diharamkan seterusnya diwartakan seperti sighah berikut:
 
Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah di bawah pimpinan Syeikh Nazim bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Pengamal ajaran ini dikehendaki segera bertaubat.
 
ii. Menyiarkan keputusan ini dalam Warta Kerajaan Negeri Melaka sebagai Fatwa.
 
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Kajian Lanjut Mengenai Kaedah Rawatan Di Pusat Perubatan Alternatif Di Bukit Pegoh, Melaka

Tarikh Keputusan: 
29 Dec, 2010
Keputusan: 
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 4/2010 yang bersidang pada 23 Muharram 1432H bersamaan 29 Disember 2010 sebulat suara bersetuju memutuskan bahawa :
 
i. Pengamal perubatan ini didapati menggunakan khidmat jin dalam aktiviti perawatannya;
 
ii. Penggunaan jin dalam menjalankan perawatan/perubatan adalah tidak dibenarkan di dalam Islam kerana boleh memudharatkan akidah pengamal dan orang yang menerima rawatan;
 
iii. Kaedah rawatan/perubatan yang dijalankan melanggar garis panduan perbomohan yang dikeluarkan oleh JAKIM;
 
iv. Surat arahan atas nama Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka perlu dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengamal untuk menutup dan memberhentikan operasi rawatan serta merta;
 
 
 
 
 
  •  
  • Status Penwartaan: 
    Tidak Diwartakan
    Nombor Rujukan: 
    JMM/BFB(S)/351/437/01

    Cadangan Pewartaan Fatwa Pengharaman Ajaran Agama Asalama

    Tarikh Keputusan: 
    13 Oct, 2010
    Keputusan: 
    Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 3/2010 yang bersidang pada 5 Zulkaedah 1431H bersamaan 13 Oktober 2010M sebulat suara bersetuju memutuskan beberapa perkara berikut:
     
    a) Sighah fatwa ajaran atau agama Asalama adalah seperti berikut :
     
    1. Ajaran atau fahaman agama Asalama didapati sesat. Oleh yang demikian, mana-mana orang Islam yang berpegang dengan ajaran atau fahaman tersebut juga adalah sesat;

    2. Mana-mana orang Islam adalah dilarang untuk mengajar, mempelajari, mengamalkan atau menyebarkan ajaran dan fahaman tersebut dalam apa-apa jua bentuk dan cara; dan

    3. Orang Islam di mana-mana jua berada, yang telah mengamalkan ajaran atau fahaman agama Asalama hendaklah segera meninggalkan ajaran atau fahaman tersebut dan bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah subhanahu wata’ala.

    b) Menyiarkan sighah keputusan tersebut dalam Warta Kerajaan Negeri Melaka sebagai Fatwa bagi tujuan penguatkuasaan;

    c) Memohon kerjasama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui JAKIM untuk menyekat blog yang dibangunkan oleh pengasas ajaran ini daripada disebarkan kepada umum; dan
     
    d) Majlis pemurnian aqidah ke atas pembawa ajaran ini perlu diadakan dengan kerjasama Unit Pemantauan Aqidah, Bahagian Penyelidikan JAIM.
    Status Penwartaan: 
    Diwartakan
    Nombor Rujukan: 
    JMM/BFB(S)/351/255/01/10

    Permohonan Mendirikan Solat Jumaat Di Surau Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MICET, Taboh Naning, Alor Gajah Melaka

    Tarikh Keputusan: 
    13 Oct, 2010
    Keputusan: 
    Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 3/2010 yang bersidang pada 15 Zulkaedah 1431H bersamaan 13 Oktober 2010 sebulat suara bersetuju memutuskan beberapa perkara berikut:
     
     
    a) Memberi status Surau Jumaat kepada Surau Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MICET, Taboh Naning, Alor Gajah, Melaka;
     
    b) Membenarkan solat Jumaat diadakan di surau tersebut kerana wujud kesulitan dan keperluan yang mendesak dengan bersandarkan kepada satu Qaul dalam Mazhab Syafi’e yang mengharuskan orang-orang yang bermukim di satu tempat dan bilangannya lebih daripada 40 orang untuk mendirikan Jumaat. Bagaimanapun kebenaran ini tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut :
     
    1. Telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan kebenaran bertulis daripada Majlis Agama Islam Melaka;
    2. Kebenaran hanya terhad untuk mendirikan solat Jumaat sahaja tanpa mengubah status surau kepada masjid;
    3. Surau ini bernaung di bawah Masjid Kariah Taboh Naning, Alor Gajah, Melaka di mana segala urusan hal ehwal hukum syarak seperti pernikahan, kematian, zakat fitrah, kenduri kendara dan sebagainya hendaklah dirujukkan kepada pegawai-pegawai masjid kariah berkenaan;
    4. Suatu jawatankuasa hendaklah dibentuk bagi mengurus dan mentadbir surau institusi ini;
    5. Kewujudan surau institusi ini dan ahli-ahli jawatankuasa serta pegawai syarak yang dilantik hendaklah didaftarkan kepada Majlis Agama Islam Melaka;
    6. Pegawai syarak yang dilantik perlu mengikuti kursus  dan temuduga yang dijalankan oleh pihak berkuasa agama;
    7. Pegawai syarak berkenaan bertanggungjawab memastikan seruan azan dikumandangkan setiap kali masuk waktu solat, memimpin pelaksanaan solat Jumaat, solat waktu dan lain-lain solat sunat yang dituntut berjemaah serta melaksanakan kegiatan-kegiatan pengimarahan surau yang disuruh, disyorkan atau dibenarkan oleh Islam dari semasa ke semasa tanpa mempunyai bidangkuasa lain;
    8. Pelaksanaan khutbah dan solat Jumaat hendaklah mengikut ketetapan hukum syarak dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama;
    9. Pihak Majlis Agama Islam Melaka tidak bertanggungjawab untuk memberi apa-apa elaun kepada pegawai syarak dan jawatankuasa yang dilantik;
    10. Pihak pengurusan UniKL MICET bertanggungjawab ke atas segala tanggungan dan kos berkaitan pengurusan surau ini; 
    11. Pihak pengurusan UniKL hendaklah membenarkan para jemaah daripada mana-mana institusi berhampiran untuk keluar masuk ke surau tersebut bagi mendirikan solat Jumaat;
    12. Mana-mana orang Islam bertaraf pemastautin yang tinggal berhampiran UniKL MICET tidak dibenarkan menunaikan solat Jumaat di surau tersebut sekiranya ia mengurangkan jumlah jemaah yang diperlukan untuk mengesahkan solat Jumaat di masjid kariah Taboh Naning iaitu sekurang-kurangnya 40 orang lelaki dewasa bertaraf pemastautin;
    13. Pihak pengurusan UniKL MICET bertanggungjawab memastikan penyampaian khutbah dan solat Jumaat dapat dilaksanakan di surau berkenaan secara berterusan pada setiap hari Jumaat meskipun bilangan jemaah tidak sampai 40 orang sebagai menghormati kefardhuan Jumaat dan memelihara syiar Islam;
    14. Sekiranya solat Jumaat didirikan dengan bilangan jemaah (pemastautin atau pemukim) tidak sampai 40 orang, maka hendaklah didirikan solat i;adah Zohor  secara berjemaah selepas daripada itu; dan 
    15. Majlis Agama Islam Melaka boleh pada bila-bila masa menarik balik status dan kebenaran yang diberikan ini jika pihak pengurusan UniKL MICET tidak mematuhi mana-mana syarat yang dinyatakan atau wujud keperluan untuk berbuat demikian.
    Status Penwartaan: 
    Tidak Diwartakan
    Nombor Rujukan: 
    JMM/BFB(S)/351/437/06

    Kajian Semula Mengenai Penetapan Kadar Uruf Emas Perhiasan Di Negeri Melaka dan Kaedah Pengiraannya

    Tarikh Keputusan: 
    15 Jul, 2010
    Huraian Tajuk/Isu: 
    Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa telah sebulat suara bersetuju memutuskan beberapa perkara berikut :
     
    a) Menetapkan bahawa kadar 'urf pemakaian emas perhiasan bagi wanita Islam di Negeri Melaka ialah sebanyak 200 gram; manakala zakat yang dikenakan ialah sebanyak 2.5 peratus daripada nilai emas perhiasan yang melebihi kadar 'urf tersebut (tanpa penolakan);
     
    b) Meminda pada 9(i) Warta Kerajaan Negeri Melaka bertarikh 19 November 2009 mengenai fatwa zakat harta di bawah tajuk zakat emas dan perak.
    Status Penwartaan: 
    Tidak Diwartakan

    Penetapan Had Selisih Arah Qiblat Yang Dibenarkan Bagi Mihrab Masjid/Surau Yang Telah Dibina Dan Penduduk Yang Berada Jauh Dari Makkah

    Tarikh Keputusan: 
    24 Feb, 2010
    Keputusan: 

    Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa telah sebulat suara bersetuju memutuskan beberapa perkara berikut:

    a) Menerimapakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-79 pada tahun    2007 seperti berikut :

    i. Arah menghadap qiblat merupakan perkara ijtihadi dan zanni. Penentuan had tidak melebihi 3 darjah bagi pesongan mihrab yang dibenarkan tidak perlu ditetapkan.

    ii. Oleh itu, Muzakarah memutuskan bahawa had berpaling yang dibenarkan dari qiblat tidak perlu difatwakan, tetapi boleh dijadikan sebagai garis panduan dalam pembinaan masjid dan surau baru.

    b) Menggunapakai kaedah jihah Ka’abah dalam menangani isu arah qiblat yang terpesong bagi mihrab masjid/surau dan orientasi tanah perkuburan Islam yang telah digunakan semenjak sekian lama. Kaedah ini adalah berdasarkan pendapat Jumhur Ulama’ yang berhujah dengan hadis riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmizi yang bermaksud “apa yang di antara timur dan barat adalah qiblat”.

    c) Penetapan arah qiblat berdasarkan jihah membenarkan had berpaling yang lebih luas daripada qiblat sebenar berbanding penetapan berdasarkan ‘ain qiblat atau Kaabah.

    d) Saf dan mihrab masjid/surau serta orientasi tanah perkuburan Islam yang telah digunakan sejak sekian lama tetapi didapati terpesong dari arah qiblat sebenar tidak perlu disemak semula atau diubah jika saf, mihrab dan orientasinya masih menghadap jihah Kaabah.

    e) Bagi pembinaan masjid/surau dan pembukaan tanah perkuburan Islam yang baru di Negeri Melaka, pengukuran arah qiblat hendaklah dibuat berdasarkan kedudukan ‘ain Kaabah secara dzan dengan menggunakan instrumen berkejituan tinggi dan disahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Melaka bagi memastikan ketepatannya.

    Status Penwartaan: 
    Tidak Diwartakan

    Cadangan Pewartaan Fatwa Mengenai Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal dan Institusi Islam Lain.

    Tarikh Keputusan: 
    24 Feb, 2010
    Keputusan: 

    Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa telah sebulat suara bersetuju memutuskan beberapa perkara berikut :

    a) Menerima pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-88 pada 2 Oktober 2009 berpandangan seperti berikut :

    Di dalam Islam, harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut : 

    i. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

    ii. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau

    iii. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

    Status Penwartaan: 
    Tidak Diwartakan

    Memohon Fatwa Mengenai Cadangan Pembayaran Zakat Melalui Terminal Onepay Yang Dikendalikan oleh Mobilityone Sdn. Bhd.

    Tarikh Keputusan: 
    24 Feb, 2010
    Keputusan: 

    Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa telah sebulat suara bersetuju memutuskan beberapa perkara berikut :

    a) Harus membayar zakat harta dengan menggunakan kad ATM (Bankcard) di terminal Onepay yang dikendalikan oleh Syarikat Mobolityone Sdn. Bhd. sebagai kemudahan kepada umat Islam untuk melunaskan kewajipan tersebut. Namun demikian, keharusan ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat berikut :

    i. Keseluruhan kos yang terlibat dalam urusan tersebut hendaklah ditanggung oleh Pusat Zakat Melaka atau pihak syarikat yang mengendalikannya dan bukan ditanggung oleh pembayar zakat.

    ii. Penggunaan kaedah tersebut hanya merupakan suatu pilihan kepada pembayar zakat.

    Status Penwartaan: 
    Tidak Diwartakan

    Cadangan Pewartaan Fatwa Larangan Penggunaan Kalimah Allah Ke Atas Penganut Kristian dan Orang Bukan Islam (Melaka)

    Tarikh Keputusan: 
    24 Feb, 2010
    Keputusan: 

    Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil.1/2010 yang bersidang pada 10 Rabiulawwal 1431H bersamaan 24 Februari 2010 sebulat suara bersetuju memutuskan beberapa perkara berikut :

    a) Mengesahkan dan menerimapakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Malaysia mengenai larangan penggunaan kalimah Allah ke atas penganut Kristian dan orang bukan Islam seperti berikut :

    i) Bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.

    ii) Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Status Penwartaan: 
    Tidak Diwartakan

    Kaedah Pengurusan Lebihan Agihan Zakat Negeri Melaka

    Tarikh Keputusan: 
    18 Dec, 2008
    Keputusan: 

     1. Menetapkan bahawa kaedah pengurusan lebihan agihan zakat daripada kutipan zakat bagi tahun semasa di Negeri Melaka adalah seperti berikut -

    (a) lebihan agihan zakat daripada mana-mana bahagian asnaf bagi tahun semasa hendaklah dipindahkan kepada bahagian asnaf lain yang ada penerimanya dalam tahun semasa tersebut;

    (b) sekiranya masih berbaki, lebihan agihan zakat daripada jumlah kutipan zakat bagi tahun semasa hendaklah dicampurkan dengan anggaran hasil kutipan zakat pada tahun berikutnya mengikut bahagian asnaf yang telah ditentukan; dan

    (c) lebihan agihan zakat tersebut hendaklah disimpan di dalam kumpulan wang lebihan zakat.

    2. Penggunaan dan perbelanjaan lebihan agihan zakat tersebut adalah hanya untuk lapan asnaf yang layak menerima zakat pada tahun yang berikutnya dengan menaikkan kadar bantuan agihan kepada setiap asnaf bagi tahun tersebut

    Status Penwartaan: 
    Diwartakan
    Tarikh Diwartakan: 
    19 Nov, 2010
    Nombor Rujukan: 
    JMM/BFB(S)/351/255/02/06; PUNM. 700-02/37
    Akta/Enakmen: 
    Enakmen Pentadbiran Agama Islam (NEGERI MELAKA) 2002
    Syndicate content