Soalan-Soalan Lazim
S: Apakah nama sebenar Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan?
J: Nama sebenar Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ialah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia atau ringkasnya disebut Jawatankuasa Fatwa MKI dan sering disebut sebagai Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
S: Bilakah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ditubuhkan?
J: Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ditubuhkan pada awal tahun 1970 di bawah Perkara 11 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).
S: Apakah tugas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan?
J: Tugas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ialah menimbang, memutus dan mengeluar fatwa atas apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja. Jawatankuasa akan mengemukakan pendapat-pendapatnya kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang kemudian menghantarkanya bersama-sama dengan pengesyoran-pengesyoran kepada Majlis Raja-Raja.
S: Apakah Status Keputusan Fatwa Kebangsaan?
J: Sesuatu keputusan/ fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan merupakan pandangan hukum terhadap sesuatu isu yang dibincangkan dan ia merupakan keputusan bersama sesama Mufti dari setiap negeri yang menganggotai Jawatankuasa tersebut. Keputusan ini tidak mengikat negeri-negeri, tetapi sebaliknya ia hanya boleh dikuatkuasakan di peringkat negeri jika negeri berkenaan mengambil tindakan atau menerima pakai keputusan/ fatwa tersebut mengikut kaedah pembuatan/ pengeluaran fatwa negeri masing-masing.
S: Berapa ramai Mufti di seluruh Malaysia.
J: Jumlah Mufti di Malaysia ialah seramai 14 orang iaitu setiap negeri mempunyai seorang Mufti.
S: Bila sesuatu perbincangan/Muzakarah diadakan?
J: Mengikut keperluan dan isu-isu berbangkit.
S: Apakah e-Fatwa?
J: e-Fatwa ialah satu laman web yang memuatkan keputusan-keputusan Mesyuarat/ Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI dan Fatwa Negeri-Negeri sama ada yang diwartakan atau tidak diwartakan serta maklumat berkaitan dengan program/ aktiviti Institusi Fatwa di negara ini. e-Fatwa boleh diakses melalui alamat URL http://www.e-fatwa.gov.my ATAU melalui laman-laman web Jabatan-Jabatan Mufti di seluruh Malaysia.
- 3382 reads
Printer-friendly version







