Soalan-Soalan Lazim
S: Apakah nama sebenar Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan?
J: Nama sebenar Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ialah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia atau ringkasnya disebut Jawatankuasa Fatwa MKI dan sering disebut sebagai Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
S: Bilakah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ditubuhkan?
J: Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ditubuhkan pada awal tahun 1970 di bawah Perkara 11 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).
S: Apakah tugas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan?
J: Tugas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ialah menimbang, memutus dan mengeluar fatwa atas apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja. Jawatankuasa akan mengemukakan pendapat-pendapatnya kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang kemudian menghantarkanya bersama-sama dengan pengesyoran-pengesyoran kepada Majlis Raja-Raja.
S: Apakah Status Keputusan Fatwa Kebangsaan?
J: Keputusan/ pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bukan fatwa mengikut peruntukan undang-undang. Ia merupakan pandangan hukum terhadap sesuatu isu yang dibincangkan dan ia merupakan keputusan bersama sesama Mufti dari setiap negeri yang menganggotai Jawatankuasa tersebut. Keputusan/ pandangan tersebut tidak mengikat negeri-negeri, tetapi sebaliknya ia hanya boleh dikuatkuasakan di peringkat negeri jika negeri berkenaan mengambil tindakan atau menerima pakai keputusan/ pandangan tersebut mengikut kaedah pembuatan/ pengeluaran fatwa negeri masing-masing.
S: Berapa ramai Mufti di seluruh Malaysia.
J: Jumlah Mufti di Malaysia ialah seramai 14 orang iaitu setiap negeri mempunyai seorang Mufti.
S: Berapa kali Jawatankuasa Fatwa MKI bermuzakarah setahun?
J: Mengikut perancangan, Jawatankuasa Fatwa MKI dijadualkan bermuzakarah sebanyak 6 kali setahun ATAU mengikut keperluan dan isu-isu berbangkit.
S: Bagaimana proses Jawatankuasa Fatwa MKI membuat keputusan?
J: Jawatankuasa Fatwa MKI dalam membuat sesuatu keputusan/ memberikan pandangan hukum terhadap sesuatu isu/ perkara adalah berdasarkan kajian dan penyelidikan yang mendalam. Hasil kajian tersebut terlebih dahulu diteliti dan dibincang oleh Panel Kajian Akidah (PKA) atau Panel Kajian Syariah (PKS) JAKIM sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Fatwa MKI untuk diputuskan. Sesuatu keputusan/ pandangan hukum itu hanya akan diputuskan setelah Jawatankuasa berpuashati mengenainya. Keputusan/ pandangan hukum adalah keputusan yang dicapai secara bersama oleh Mufti-Mufti seluruh Malaysia yang menganggotai Jawatankuasa berkenaan.
S: Apakah e-Fatwa?
J: e-Fatwa ialah satu laman web yang memuatkan keputusan/ pandangan hukum Jawatankuasa Fatwa MKI dan Fatwa Negeri-Negeri sama ada yang diwartakan atau tidak diwartakan serta maklumat berkaitan dengan program/ aktiviti Institusi Fatwa di negara ini. e-Fatwa boleh diakses melalui alamat URL http://www.e-fatwa.gov.my ATAU melalui Laman Web JAKIM ATAU laman-laman web Jabatan-Jabatan Mufti di seluruh Malaysia.
- 5638 reads
Printer-friendly version





