Terengganu

Penggunaan perkataan "hakim" bagi menggantikan perkataan "Qadhi"

Tarikh Keputusan: 
26 Jul, 1993
Huraian Tajuk/Isu: 

Penggunaan perkataan 'hakim' bagi menggantikan perkataan 'Qadhi'

Keputusan: 
Jawatankuasa ini bersetujuj perkataan 'hakim' menggantikan perkataan 'Qadhi' kerana dari segi syara' pengertian perkataan-perkataan berkenaan adalah sama.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Hukum Menjual Dan Membeli Air Zam zam Al-Mubarak

Tarikh Keputusan: 
26 Jul, 1993
Huraian Tajuk/Isu: 
Apakah hukum menjual dan membeli air zam zam al-Mubarak
Keputusan: 
Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu telah memperhalusi dalam perkara di atas didapati bahawa tidak ada larangan atau tegahan dari syarak mengenai penjualan air zam zam. Oleh yang demikian Jawatankuasa Negeri Terengganu berpendapat tiada halangan bagi sesiapa yang memilikinya untuk menjualnya.
 
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Penggunaan lafaz-lafaz yang kurang jelas dengan tujuan jampi-jampi

Tarikh Keputusan: 
10 May, 1993
Huraian Tajuk/Isu: 

Penggunaan lafaz-lafaz dan perkataan yang kurang jelas ertinya untuk tujuan perubatan dan jampi-jampi

Keputusan: 

Berdasarkan persoalan yang dikemukakan di dalam para 1 (a), (b) dan (c) Jawatankuasa berpendapat menggunakan lafaz-lafaz dan perkataan-perkataan yang kurang jelas ertinya serta tidak sahih sebutan bacaannya hendaklah dijauhi kerana dibimbangkan membawa kepada kerosakan akidah.
Jawatankuasa berpendapat menggunakan ayat al-Quran atau huruf-huruf Arab sebagai tangkal azimat untuk tujuan perubatan dan lain-lain pada dasarnya tidaklah salah, walau bagaimanapun dibimbangkan penggunaannya itu akan membawa kepada terhiiina dan tercemar kesucian al-Quran maka adalah haram.
Jawatankuasa berpendapat menggunakan rajah-rajah, dan huruf-huruf tertentu untuk lariskan perniagaan sekiranya ianya merupakan suatu kepercayaan yang boleh merosakan akidah adalah haram.
Jawatankuasa berpendapat menggunakan debu lintah bagi perubatan adalah diharuskan sekiranya keadaan memerlukan dan tidak membawa kepada kemudaratan.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

ASN dan ASB

Tarikh Keputusan: 
1 Mar, 1993
Huraian Tajuk/Isu: 
Membincang dan menimbangkan ASN dan ASB
Keputusan: 
 
Setelah meneliti draf pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu mengenai Amanah Sham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra, mesyuarat telah membuat beberapa pembetulan adalah sebagaimana dalam lampiran berkembar. Berdasarkan kepada nas-nas daripada fuqaha Islam sebagaimana yang dipetik dan disenaraikan itu dan juga keadaan yang diamalkan oleh Amanah Saham Nasional/ Amanah Saham Bumiputra yang didapati tiada tempat yang nyata haramnya kecuali di dalam institusi kewangan yang dianggapkan ada syubahah di dalam Islam maka Jawatnkuasa Fatwa berpendapat melabur di dalam Skim Amanah Saham Nasional/ Amanah Saham Bumiputra adalah tidak haram.

 

Keterangan/Hujah: 
 
Lampiran

Pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu mengenai Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra

1. Pendahuluan

Umum telah mengetahui bahawa negara Malaysia khasnya Semenanjung Tanah Melayu adalah kepunyaan orang-orang Melayu beragama Islam. Merekalah yang mempusakai Semenanjung Tanah Melayu ini dari nenek moyang mereka turun temurun hinggalah datangnya penjajah yang mengubah wajah negara ini. Di samping membuka pintu seluas-luasnya kepada pendatang-pendatang asing sehingga melemahkan dan mengurangkan kekuasaan asal orang-orang Melayu di negara mereka sendiri.


Selepas mencapai kemerdekaan, para pemimpin Melayu telah memikirkan cara-cara yang serius bagaimana hendak mengembalikan semula kedaulatan hak dan ketuanan asal orang-orang Melayu di negara ini.

Keadilan tidak mungkin berada di tempatnya sekiranya tahap pencapaian ekonomi orang-orang Melayu dan tahap ketinggian pendidikan orang-orang Melayu tidak dibela. Keadaan ketidak adilan yang wujud menyebabkan negara menjadi pincang dan canggung buat selama-lamanya. Di samping itu ditakuti pula akan timbul perasaan tidak puashati yang meluap-luap di kalangan orang-orang Melayu yang mana akan membara terus-menerus dan di suatu masa nanti menyebabkan retak membawa belah. Oleh yang demikian berkewajipanlah pemimpin-pemimpin Melayu berusaha dan berikhtiar seberapa daya dan upaya mereka membela dan memenuhi hasrtat pembelaan ekonomi dan pendidikan orang-orang Melayu dengan apa cara dan apa jalan pun termasuklah melalui penubuhan Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra.

2. Pengenalan Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra

Skim Amanah Saham Nasional (Skim ASN) ialah suatu rancangan kerajaan untuk mencapai salah satu daripada matlamat dasar ekonomi baru, iaitu menyusun semula masyarakat menerusi pemilikan syarikat sekurang-kurangnya 30% daripada sektor ekonomi negara.


Pada awal 1970an, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan dan perindustrian telah memperuntukan saham-saham kepada orang-orang perseorangan (Bumiputra) sebagai usaha meningkatkan pemilikan Bumiputra di sektor syarikat. Malangnya, sebahagian besar daripada saham-saham ini telah dijual di pasaran terbuka intuk meraih kenaikan modal. Ini sudah tentu menjejaskan matlamat kerajaan.

Untuk menentukan saham-saham ini dipegang oleh masyarakat Bumiputara untuk tempoh yang lebih panjang, satu bentuk pemindahan saham secara tidak langsung atau 'indirect' telah dirancangkan.

Pada awal 1978, kerajaan telah menubuhkan Yayasan Pelabuaran Bumiputra. Yayasan ini diamanahkan dengan tanggungjawab mempercepatkan usaha pemilikan Bumiputra melalui korporat atau syarikat yang kian berkembang.

Untuk tujuan ini, kerjaan telah menubuhkan sebuah syarikat pelaburan yang dimiliki sepenuhnya, iaitu Permodalan Nasional Berhad. Tugas utama Permodalan Nasional Berhad ialah memilih adan membeli saham syarikat-syarikat yangg berpotensi dan mempunyai 'track record' yang positif. Selain daripada itu, Permodalan Nasional Berhad bertindak sebagai gedung saham yang mana sahamnya (dari pelbagai sumber) dipindahkan kepada Skim Amanah Saham Nasional yang menjualkan unit-unitnya kepada masyarakat Bumiputra.

Ini bermakna saham-saham yang dipegang oleh Permodalan Nasional Berhad adalah secara amanah. Saham-saham ini kemudiannya diagihkan kepada Bumiputra menerusi Skim Amanah Saham Nasional. Dengan cara ini sebahagian besar daripada Bumiputra dapat menyertai dan menerima manafaat sebagai pemilik dan pemegang (untuk tempoh yang lebih panjang) oleh Bumiputra.

Skim Amanah Saham Bumiputara pula diwujudkan adalah sebagai satu skim tambahan untuk masyarakat Bumiputra terus menyimpan dan melabur di dalam pelaburan saham amanah demi untuk meningkat dan mengekalkan pegangan ekonomi Bumiputra di sektor syarikat.

Walaupun Skim Amanah Saham Bumiputra mempunyai ciri-ciri dan struktur bentuk yang sama seperti Amanah Saham Nasional yang ada sekarang tetapi terdapat dua perbezaan yang utam. Pertamanya, had pelaburan maksimum yang dibenarkan di dalam Skim Amanah Saham Bumiputra adalah 100,000 unit bagi ekaun dewasa. Kedua, had umur yang layak melabur di dalam Skim Amanah Saham Bumiputra adalah 12 tahun ke atas. Keistimewaan di dalam skim Amanah Saham Bumiputara ini adalah untuk memberi peluang lebih ramai masyarakat Bumiputra melabur di dalam Saham Amanah di samping mendidik budaya menyimpan, terutamanya di kalangan pelajar-pelajar Bumiputra.

Dalam masalah pembelian saham dalam Amanah Saham Nasional dan Saham Bumiputra pihak pengurusan tidak menggalakkan pelabur-pelabur membuat pinjaman memandangkan pelaburan dalam Skim Saham Amanah adalah pelaburan jangka panjang. Oleh itu adalah baik pelaburan dibuat melalui simpanan sendiri.

Selain dari itu pihak pengurusan Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra menjelaskan bahawa pihaknya akan terus memastikan pelaburannya tidak terlibat dalam pelaburan perjudian dan minuman keras.

Pihak pengurusan Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra juga menjelaskan bahawa dalam konsep pelaburan, atau apa-pa sahaja urusniaga yang berkaitan dengannya, penglibatan bank dan insuran memang tidak dapat dielakkan kerana ia merupakan institusi yang membantu segala urusniaga dan bank memainkan peranan yang besar dalam ekonomi negara.

Pelaburan Amanah Saham Nasonal dan Amanah Saham Bumiputra dipelbagaikan dalam beberapa sektor bagi menentukan portfolio Skim Amanah Saham Nasonal dan Amanah Saham Bumiputra sentiasa kukuh dan memberi pulangan yang memuaskan. Jumlah pelaburan Amanah Saham Nasonal dan Amanah Saham Bumiputra sehingga 31 Desember 1991 mengikut sektor adalah seperti berikut:-

Amanah Saham Nasional
*********************

Sektor Jumlah Kos
($) Jumlah
Perindustrian
Perladangan
Perlombongan
Harta Benda
Kewangan 1,130,345,274
621,416,286
76,850,015
245.921,365
354,193,552 46.54
25.59
3.16
10.13
14.58
JUMLAH 2,428,726,492 100.00

Amanah Saham Bumiputra
**********************

Sektor Jumlah Kos
($) Jumlah
Perindustrian
Perladangan
Perlombongan
Harta Benda
Kewangan 3,531,243,081
2,415,952,076
464,727,028
661,432,704
2,718,474,813 36.06
24.67
4.75
6.76
27.76
JUMLAH 9,791,829,702 100.00

Secara terperinci syarikat-syarikat yang diceburi oleh Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra berdasarkan sektor seperti tersebut di atas adalah sebagaimana lampiran berkembar.


Darisegi kenyataan di atas persoalan yang berkaitan ialah bermuamalah dengan bank atau sektor kewangan yang mana sektor kewangan itu ada melibatkan urusan kewangan yang bercampur antara halal dan haram.

3. Pandangan Islam mengenai muamalah kewangan yang bercampur Halal dan Haram :

Islam sentiasa menggesa supaya dipertahankan lima perkara iaitu :
- Memelihara agama
- Memelihara nyawa atau jiwa raga
- Memelihara akal
- Memelihara zuriat keturunan, dan
- Memelihara harta benda

Kerana dengan terdirinya lima perkara ini menjadi tonggak kepada keteguhan kedudukan umat Islam serta kehidupan mereka yang layak sebagi satu umat. Sekiranya terjejas salah satu daripada lima perkara ini maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan kaum bangsa mereka khususnya kehidupan di dalam masyarakat majmuk yang mempunyai persaingan yang hebat di Malaysia ini iaitu 'Siapa cepat dia dapat, siapa kuat dia berkuasa'. Umat Islam perlu mempertahankan kehidupan mereka dalam dunai yang penuh dengan persaingan dan kemajuan supaya umat Islam menjadi suatu umat yang kuat dalam ekonomi dan pelajaran.


Para fuqaha telah menjelaskan mengenai hukum-hukum kira bicara (bermuamalah) dalam urusan kewangan yang bercampur halal haram :-

(1) Di dalam Kitab Al-Fatawa Kubra Fiqhiah LiIbnu Hajar Al-Haitami juzuk ketiga muka surat 372 ada menyebut :-
فمعتمد مذهبنا أن معاملة من اكثر امواله حرام مكروهة لا محرمة۔
Maksudnya : Dalam pendapat yang muktamad dari Mazhab kita bahawa berurusan dengan orang yang kebanyakan hartanya haram hukumnya makruh tidaklah haram.

(2) Di dalam Kitab Ihya' Ulumud Din
)(احياء علوم الدين للغزالى مع شرح اتحاف السادة المتقين )
Juzuk 6 halaman 41 Matbaah Darul Fikri, Beirut, Imam Al-Gahzali telah menyatakan :-

Maksudnya : Demikian lagi orang yang mengetahui bahawa harta-harta dalam dunia ini telah bercampur aduk dengan benda-benda yang memangnya haram tidaklah memestikannya meninggalkan membeli belah dan memakan makanan, kerana yang demikian itu menjadi kesukaran, padahal tiada dalam agama itu kesukaran. Dari itu diketahui manakala dicuri perisai dan dicuri iba"ah (sejenis baju labuh) oleh salah seorang pada zaman Rasulullah dahulu tidaklah tertegah seseorang itu dari membeli perisai dan iba"ah di dunia ini, begitulah juga keadaannya dengan barang-barang lain yang terdapat di antara barang-barang yang dicuri. Demikian lagi diketahui bahawa terdapat di kalangan manusia itu orang yang berurusan dengan riba dari dirham dan dinar, tetapi Rasulullah dan orang ramai tidak meninggalkan dirham dan dinar sama sekali. Ringkas kata hanya sanya dunia ini akan terhapus dari benda-benda haram jika sekiranya manusia di dalam dunia dijadikannya maksum. Perkara ini mustahil. Jika perkara seperti ini tidak dimestikan di dunia ini seluruhnya tidaklah dimestikan juga pada mana-mana negeri pun kecuali dalam keadaan di mana apa yang berlaku itu begitu terhad di kalangan sekumpulan kecil masyarakat.

(3) Pada halaman 42 kitab yang sama, Al-Imam Al-Ghazali menyatakan :-

Maksudnya : bahagian ketiga, bahawa percampuran benda yang haram tidak diketahui juga jumlahnya dengan yang halal yang tidak diketahui jumlahnya, seumpama hukum harta benda di zaman kiti ini. Hingga katanya : Dan menurut pendapat yang kami melihat iaitu tidaklah haram dengan sebab percampuran ini diambil sesuatu daripadanya yang mungkin ianya haram dan mungkin ianya halal, kecuali didapati bersama harta itu satu tanda yang menunjukan ianya dari harta yang haram. Sekiranya tidak didapati pada harta itu apa-apa tanda yang menunjukan ianya dari harta yang haram, maka meninggalkannya itu dianggap sebagai warak, manakala mengambilnya pula hukumnya halal yang tidak menjadikan penggunanya itu fasik.

Berdasarkan kepada nas-nas daripada fuqaha" Islam sebagaimana yang dipetik dan disenaraikan itu dan juga keadaan sosio ekonomi umat Islam di negara ini serta kaedah pelaburan dan institusi yang diamalkan oleh Amanah Saham Nasional/ Amanah Saham Bumiputra yang didapati tiada tempat yang nyata haramnya kecuali di dalam institusi kewangan yang dianggap ada syubahah di dalam Islam maka Jawatankuasa Fatwa berpendapat melabur di dalam Skim Amanah Saham Nasional / Amanah Saham Bumiputra adalah tidak haram.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

BIBLE DISCOVERY ADULT STUDENT

Tarikh Keputusan: 
15 Dec, 1993
Huraian Tajuk/Isu: 

Buku bertajuk BIBLE DISCOVERY ADULT STUDENT"S BOOK dikeluarkan oleh Presbyterian Church (U.S.A) 1993

Keputusan: 

Didapati buku bertajuk DISCOVERY ADULT STUDENT"S BOOK itu mengandungi gambar-gambar Nabi Adam, Siti Hawa, Nabi Ismail dan Siti Hajar. Menurut pendangan Islam melukis gambar Nabi-nabi dan Malaikat adalah Haram. Gambar-gambar tersebut tidak memberi suatu gambaran yang tepat disamping bolah menjadi satu penghinaan kepada yang berkenaan.
Oleh itu jawatankuasa berpendapat hendaklah diharamkan dan tindakan sewajarnya hendaklah diambil oleh pihak yang berkenaan.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Surau-surau sekolah.

Tarikh Keputusan: 
15 Dec, 1993
Huraian Tajuk/Isu: 

Pohon pandangan mengenai surau-surau sekolah.

Keputusan: 

Jawatankuasa berpendapat bangunan surau di sekolah-sekolah itu hanyalah bertaraf musolla sahaja bukanlah surau yang dikehendaki di dalam undang-undang.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Membina ruang berpagar di dalam kawasan tanah perkuburan

Tarikh Keputusan: 
5 Oct, 1993
Huraian Tajuk/Isu: 

Surat daripada Nazir Baitul Mal dan Wakaf pohon pandangan mengenai amalan membina ruang berpagar di dalam kawasan tanah perkuburan

Keputusan: 

Jawatankuasa berpendapat tanah perkuburan yang diwakaf secara umum adalah haram dipagar sementara tanah perkuburan yang di wakaf secara khusus untuk keluarga tertentu maka tiada halangan untuk memagarnya.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Wang Dividen Daripada Zakat Yang Disimpan Di Dalam Bank

Tarikh Keputusan: 
5 Oct, 1993
Keputusan: 
Jawatankuasa berpendapat wang dividen daripada wang zakat yang disimpan di dalam bank bukan wang zakat dan tidak terikat dengan Asnaf Zakat.
 
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Mayat yang telah hancur

Tarikh Keputusan: 
19 Oct, 1992
Huraian Tajuk/Isu: 

Hukum-hukum yang berkaitan dengan mayat yang telah hancur akibat daripada sebuah kapal terbang penumpang jatuh terhempas

Keputusan: 

Setelah berbincang maka jawapan bagi tiap-tiap persoalan adalah seperti berikut :-

1. Bagaimanakah cara hendak kumpul mayat yang telah hancur?
Jawabnya ialah hendaklah diambil dikumpul dengan cara yang hormat kerana menghormati mayat dan jangan ditinggalkan sedikit pun cebisan mayat itu. Kemudian diletak ditempat yang disediakan baginya.

2. Adakah mesti dikumpulkan dan dijadikan 150 mengikut bilanggan penumpang yang asal dan dikapankan dalam 150 kain kapan?
Jawabnya : ialah dalam keadaan hancur berkecai dan tidak dapat dibezakan antara satu sama lain maka tidak semestinya diasing-asingkan.

3. Bagaimana cara hendak mandi daging-daging yang hancur berkecai itu?
Jawabnya : ialah hendaklah meratakan air kepada daging-daging yang hancur atau bahagian-bahagian mayat yang hancur dengan disunatkan berniat mandi untuk mayat-mayat Islam.

4. Apakah konsep 'diantara' (بَيْنَ) dalam konteks pengkebumian jenazah yang bercampur orang Islam dengan bukan Islam yang tidak dapat dikenal pasti?
Jawabnya : ialah Maksud (بَيْنَ) itu disuatu tempat yang berasingan iaitu tidak di kubur Islam dan tidak di kubur kafir.

5. Sekiranya waris-waris kepada simati orang kafir menuntut mayat warisnya yang mati sebelum semua mayat yang hancur. itu dimandikan dan disembahyangkan, bagaimana harus kita lakukan?
Jawabnya : ialah dalam keadaan mayat berkecai dan hancur masalah tuntutan mayat tidak timbul dan tidak perlu dilayani.

6. Bagaimana pula jika waris orang kafir itu menuntut untuk mengkebumikan mayat warisnya yang mati itu, apakah boleh diberikan kepadanya satu bungkusan mayat yang hancur itu untuk dikebumikan olehnya?
Jawabnya : ialah dalam keadaan mayat berkecai dan hancur masalah tuntutan untuk mengkebumikan mayat waris juga tidak mungkin timbul dan tidak perlu dilayani.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Mayat mangsa AIDS dan Skim Simpanan Premium

Tarikh Keputusan: 
23 Feb, 1992
Huraian Tajuk/Isu: 

Pengendalian mayat mangsa AIDS dan Skim Simpanan Premium

Keputusan: 

YM Dato" Pengerusi memaklumkan beberapa perkara yang telah dibincang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, antaranya :-

(a) Pengendalian mayat mengsa AIDS. Setelah Jawatankuasa Fatwa mendengar penjelasan daripada pihak Jabatan Kesihatan maka didapati tidak ada sebab orang-orang Islam yang mengalami AIDS tidak dimandikan. Mayat pesakit AIDS sama dengan mayat orang-orang Islam lain hendaklah dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

(b) Skim Simpanan Premium di dalam Bank Simpanan Nasional. Skim ini dibuat dalam bentuk orang ramai membeli sijil. Di dalam perkara ini keuntungan sepatutnya hak penyimpan oleh itu dalam amalan sekarang sebahagian keuntungan dibahagi kepada penyimpan dan sebahagiannya dijadikan hadiah. Setelah dikaji Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan membuat keputusan iaitu harus disimpan di dalam Sijil Premium itu.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Makan gaji bank

Tarikh Keputusan: 
23 Feb, 1992
Huraian Tajuk/Isu: 

Makan gaji bank

Keputusan: 

Jawatankuasa berpendapat makan gaji dengan bank boleh dalam keadaan terdesak.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Kain Baju Bertulisan Ayat Al-Quran

Tarikh Keputusan: 
23 Feb, 1992
Huraian Tajuk/Isu: 
Kain baju bertulisan ayat al-Quran
Keputusan: 
Jawatankuasa berpendapat ayat-ayat al-Quran dan tulisan-tulisan bagi perkataan yang dimuliakan oleh Islam tidak boleh dijadikan lukisan pada kain untuk dijadikan pakaian kerana dibimbangi membawa kepada penghinaan dan sayugialah dicegahkan.  
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Membeli rumah dengan wang pinjaman bank dan bagaimana penjualannya

Tarikh Keputusan: 
23 Feb, 1992
Huraian Tajuk/Isu: 

Membeli rumah dengan wang pinjaman bank dan bagaimana penjualannya

Keputusan: 

Jawatankuasa ini berpendapat penjualan adalah sah tentang dosa terpulanglah kepadanya dengan Allah Taala oleh kerana ada interest hukumnya riba.

Mengenai pembelian kedua hukumnya sah dan jika ada interest hukumnya juga riba.

* Jawatankuasa ini berpendapat jualbeli dengan pinjaman bank adalah sah, adapun bermuamalah dengan riba hukumnya haram. (19/06/1992 - huraian)

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Masjid dhirar

Tarikh Keputusan: 
13 Jul, 1992
Huraian Tajuk/Isu: 

Pengertian masjid dhirar

Keputusan: 

Setelah perbincangan Jawatankuasa Fatwa berpendapat :-

Pengertian Masjid Dhirar :

Dengan merujuk kepada kitab-kitab Tafsir Masjid Dhirar ialah masjid yang didirikan dengan tujuan memusuhi orang-orang Islam, dan memudharatkan perkembangan Agama Islam, memudharatkan umatnya, membahayakan Dakwah Islamiah sebagaimana Firman Tuhan dalam Surah At-Taubah ayat 107.

Mereka yang menjadikan masjid untuk membahayakan, untuk menunjukan kekufuran, untuk memecahbelahkan antara orang-orang Mukmin, untuk menjaditempat mengintip bagi mereka yang memusuhi Allah dan Rasulnya sebelum itu, mereka bersumpah kami bertujuan baik sedangkan Allah mengingatkan mereka berdusta. Firman Allah لا تقم فية ابدا ... الخ.

Ulasan Jawatankuasa :-

Berdasarkan kepada huraian di atas maka mana-mana tempat ibadah yang didirikan dengan maksud-maksud atau salah satu maksud itu adalah termasuk dalam hukum Masjid Dhirar dan bertentangan dengan matlamat ajaran Islam, supaya umat Islam berkenal mesra di antara satu sama lain, berbaik-baik, bersatu padu dan saling bantu membantu. Oleh sebab itu membina masjid baru di tempat yang telah sedia ada masjid dan pembinaan itu adalah suatu amalan yang bercanggah dengan matlamat ajaran Islam, dan masjid itu adalah termasuk di bawah hukum Masjid Dhirar. Pembinaan masjid tidak dikira sebagai suatu amalan kebajikan yang diterima di sisi Allah kecuali ianya dilakukan untuk keperluan para ahli jemaah dan bukan bagi tujuan memecahbelahkan para jemaah.

Di dalam hal ini para Fuqaha" telah menyarankan pendapat-pendapat mereka di dalam kitab-kitab Fekah tentang hukum berbilang Jumaat di dalam satu mukim atau satu Daerah, dan mana-mana tempat yang memerlukan berbilang-bilang Jumaat adalah terlebih dahulu diperlukan mendapat keizinan pemerintah (Ulul Amri) kerana pada dasarnya setiap daerah atau mukim seboleh-bolehnya mestilah mempunyai satu tempat sahaja untuk didrikan Jumaat.

Pendapat Jawatankuasa :-

Atas konsep Dhirar maka mana-mana masjid atau tempat ibadah yang difikirkan boleh membawa berpecahbelah umat Islam serta fitnah adalah wajar dirobohkan sebagaimana Rasulullah s.a.w merobohkan Masjid Dhirar yang telah didirikan bagi menyaingi Masjid Qaba" di masa hayat baginda.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Memindahkan beberapa buah kubur lama di tapak pembangunan

Tarikh Keputusan: 
19 Oct, 1992
Huraian Tajuk/Isu: 

Projek pembangunan pelancongan Pulau Kapas - cadangan memindahkan beberapa buah kubur lama di tapak pembangunan

Keputusan: 

Y.Mulia Dato" Pengerusi telah memaklumkan bahawa kubur-kubur yang dimaksudkan telah dilawati sekejap tadi. Selanjutnya Y. Mulia Dato" Pengerusi memaklumkan iaitu berdasarkan siasatan oleh Pegawai Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu kubur-kubur lama yang terdapat di Pulau Kapas kebanyakan adalah terdiri daripada kubur orang-orang yang dalam pelayaran kerana urusan perdagangan dan ada juga kubur penduduk tempatan. Kubur terakhir yang masih diingat oleh En. Mamat bin Yaakub iaitu seorang yang telah dilahirkan dan bermastautin pada suatu ketika dulu di Pulau Kapas, ialah lebih kurang 40 tahun yang lalu. Tidak ada waris atau kaum keluarga yang menziarahi kubur-kubur tersebut sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu kerana kesukaran untuk mengenal pasti kubur-kubur yang menjadi waris mereka. Selain dari itu kubur di Pulau Kapas ini telah terbiar sekian lama di mana penduduk-penduduk tempatan di suatu masa dahulu pernah memelihara binatang-binatang ternakan seperti lembu dan kambing yang mana telah merosakkan kebanyakan batu-batu nisan di atas kubur tersebut.

Setelah berbincang Jawatankuasa Fatwa berpendapat :-

1) Kubur tersebut ditanam di atas tanah milik dan bukan di atas tanah yang disediakan bagi perkuburan di samping itu keadaan tidak begitu mendesak untuk dipindahkan kubur-kubur berkenaan pada masa ini kerana tidak terlibat secara langsung dengan pembinaan rumah-rumah di dalam projek pembangunan tersebut. Kubur-kubur tersebut adalah dipercayai kubur lama yang besar kemungkinan mayat atau rangkanya telahpun hancur dan untuk menjadikan laluan di atas kubur-kubur tersebut kiranya keadaan mendesak maka tidaklah ada halangan kerana hukumnya makruh sahaja.

2) Masalah nisan-nisan yang ada di sekitar kawasan projek yang mana bilangannya yang dapat dikesan sebanyak 6 buah kubur maka untuk mengekalkan kedudukannya sebagai kubur dan untuk menghilangkan keadaan atau suasana yang kurang menyenangkan pengunjung atau penghuni rumah-rumah di dalam projek berkenaan bolehlah diturunkan batu-batu nisan itu separas dengan tanah dan hendaklah dikekalkan tanda-tanda kubur itu di dalam pelan kawasan berkenaan supaya senang dikesani apabila ada projek-projek lain di masa-masa akan datang.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

zakat

Tarikh Keputusan: 
19 Oct, 1992
Huraian Tajuk/Isu: 

(1) Adakah pendapatan (gaji) dikenakan zakat dan jika dikenakan zakat bagaimanakah cara mengeluarkannya.
(2) Bolehkah bayaran zakat dibayar secara ansuran tiap-tiap bulan sebagaimana kemudahan bayaran pungutan bulanan ke atas cukai pendapatan.

Keputusan: 

YM Dato" Pengerusi memaklumkan bahawa di akihr-akhir ini banyak timbul persoalan tentang zakat Gaji dan bila ianya hendak dikuatkuasakan.

(1) Setelah berbincang dengan teliti maka Jawatankuasa Fatwa berpendapt menurut Mazhab Syafie pendapatan gaji diwajibkan zakat apabial cukup haul dan nisabnya. Manakala pendapat daripada Sahabat dan Tabiin seperti Ibnu Abbas, Ibnu Mas"ud, Muawiyah, As-Sadiq, Al-Bakar, An-Nasir, Daud Umar bin Abdul Aziz, Al-Hasan, Az-Zahri, Al-Auza"i dan Mazhab Ahmad Ibnu Hanbal dalam masalah pendapatn dari sewaan mereka tidak mensyaratkan haul.

Di Negeri Terengganu dalam membuat dan mengeluarkan sebarang fatwa hendaklah berpandukan kepada Mazhab Syafie. Perkara ini diperuntukan di dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 di dalam seksyen 26 (1) kecuali bagi maksud kemaslahatan dan kebajikan orang-orang Islam maka bolehlah Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan fatwa atau kaedah pengertian berpandukan kepada mana-mana Mazhab yang empat atau Mazhab lain yang difikirkan sesuai olehnya.

Berdasarkan kedudukan tersebur dan memandangkan kepada penunaian zakat ini memberi kebajikan kepada orang-orang Islam maka Jawatankuasa Fatwa berpendapat bolehlah bagi sesiapa yang mahu mengeluarkan zakat pendapatan bebas atau hasil usaha kerja atau hasil usaha kemahiran semasa termasuklah gaji menunaikan zakatnya menurut pendapat yang tidak mensyaratkan haul.

(2) Berdasarkan Mazhab yang mewajibkan zakat atas pendapatan bebas seperti hasil yang diperolehi oleh peguam termasuklah gaji bulanan maka Jawatankuasa Fatwa berpendapat bayaran zakat bolehlah dibuat secara anasuran bulanan dari semasa ke semasa apabila mencukupi nisabnya yang dikeluarkan bagi tahun semasa tanpa mengambil kira haul.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Mendirikan rumah ibadat agama Budha

Tarikh Keputusan: 
27 Jun, 1991
Huraian Tajuk/Isu: 

Permohonan fatwa berhubung mendirikan rumah ibadat agama Budha

Keputusan: 

Setelah berbincang dan mengkaji nas-nas yang berkaitan maka jawatankuasa yang bersidang pada hari ini berpendapat bahawa negeri Terengganu Darul Iman adalah sebuah negeri Islam. Oleh itu adalah tidak harus disisi syara' mendirikan rumah-rumah ibadat orang bukan Islam atau mengizinkan mana-mana pihak untuk mendirikan kerana Allah s.w.t. mengharamkan kekufuran sebagaimana firmannya:
وَلايَرْضَى لِعِبَادِهَِ الْكُفْرَ.
Ayat 7, Surah Az-Zumar . Maksudnya: Allah tidal redhakan hambanya berkeadaan kufur.
Pengharaman tersebut melazimkan pengharaman mengadakan bangunan atau tempat yang disediakan bagi tujuan itu. Dengan demikian sesiapa yang terlibat dengan pembinaan atau memberi keizinan untuk pembinaannya maka ia adalah terlibat dalam mengerjakan perkara haram. Sekiranya sesorang beranggapan penglibatannya dalam perkara seumpama itu adalah harus maka dengan ini ia telah menjadi kafir.
والعياذ بالله . سبدا رسول الله صلى عليه وسلم :
مَنْ رَضِيَ عَمَلَ قَوْمِ كَانَ شَرِيْكًا مَعَهُمْ.
Maksudnya: Sesiapa yang redha dengan pekerjaan sesuatu kaum, maka jadilah ia kongsi mereka.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Lagu Ulik Mayang

Tarikh Keputusan: 
8 Apr, 1991
Huraian Tajuk/Isu: 

Pandangan Mengenai lagu Ulik Mayang

Keputusan: 

Setelah diteliti terhadap seni kata lagu Ulik Mayang didapati ada mengandungi unsur-unsur pemujaan, maka dibandingkan perkara ini akan membawa kepada terpesongnya akidah Islamiah. Untuk memelihara kesuciannya maka perkara-perkara seperti ini hendaklah dielakkan dan ditinggalkan.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Sistem perparitan Bandar Kuala Terengganu

Tarikh Keputusan: 
8 Apr, 1991
Huraian Tajuk/Isu: 

Kawasan tanah perkuburan Islam terlibat dengan cadangan sistem perparitan Bandar Kuala Terengganu

Keputusan: 

1. Di dalam kertas berkenaan dicatit bahawa tanah perkuburan yang terlibat itu merupakan rezab perkuburan Islam, tetapi setelah diteliti didapati tanah tersebut ialah tanah kerajaan oleh itu ianya hendaklah dibuat pembetulan.

2. Setelah berbincang Jawatankuasa berpendapat :-

i) Menurut pandangan syarak kubur-kubur Islam wajiblah dihormati dan dipelihara daripada terlibat dengan projek-projek seperti sistem perparitan, atau sebagainya.

ii) Sekiranya projek cadangan sistem perparitan Bandar Kuala Terengganu yang dicadangkan itu tidak ada laluan lain maka atas dasar darurat bolehlah sistem perparitan yang dicadangkan itu dijalankan dengan syarat dipeliharakan segala peninggalan saki baki mayat si mati dan jika terjumpa hendaklah dipindahkan ke tempat lain dan ditanam di tanah perkuburan Islam. Kerja-kerja penggalian hendaklah dijalankan dengan hati-hati dan di bawah seliaan Pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu.

iii) Jawatankuasa fatwa menarik perhatian pihak-pihak berkenaan supaya mana-mana projek yang hendak dibuat hendaklah dielak dari terlibat dengan tanah-tanah wakaf atau tanah-tanah perkuburan Islam supaya tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Tanah-tanah wakaf dan kubur yang terlibat dengan pembinaan jalan

Tarikh Keputusan: 
12 Mar, 1991
Huraian Tajuk/Isu: 

Pohon pandangan serta ulasan mengenai tanah-tanah wakaf dan kubur yang terlibat dengan pembinaan jalan

Keputusan: 

Setelah berbincang Jawatankuasa berpendapat :

i) Pembinaan jalan di atas mana-mana tanah wakaf atau mana-mana tanah perkuburan adalah suatu pencerobohan terhadap tanah berkenaan menurut hukum syarak dan dan adalah ditegah dan menyalahi seksyen 214 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986.

ii) Oleh kerana pembinaan jalan di atas tanah-tanah tersebut dianggap sebagai pemusnahan terhadap harta wakaf maka pihak berkenaan atau pihak bertanggungjawab hendaklah berusaha sedaya-upaya untuk mengalih rancangan pembinaan jalan itu ke laluan yang lain dan sekiranya pemusnahan itu tidak dapat dielakkan juga maka pihak berkenaan atau pihak bertanggungjawab hendaklah membayar ganti rugi di atas pemusnahan itu dengan kadar yang sewajarnya.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Syndicate content