Terengganu

Skim Pelaburan Di Bawah Akaun Khas Zakat

Tarikh Keputusan: 
18 Sep, 1988
Huraian Tajuk/Isu: 
Skim pelaburan di bawah Akaun Khas Zakat
Keputusan: 
Mesyuarat berpendapat bahawa pungutan zakat fitrah dan padi hendaklah dibahagikan secara sekaligus dan dengan seberapa segera yang dapat kepada yang berhak menerimanya manakala zakat lain selain dari keduanya bolehlah diagihkan kepada mereka yang berhak menerimanya samada dengan cara sekaligus atau dengan cara bulanan bila mana difikirkan cara tersebut sesuai. Dan manakala Asnaf-Asnaf yang tidak dapat dihabiskan, terpulanglah kepada Al-Imam (Pemerintah) untuk mentadbirkannya bagi maslahah zakat. Jawatankuasa ini juga berpendapat bahawa lebihan Asnaf zakat yang tidak dapat dibahagikan kepada yang berhak hendaklah dipastikan supaya tidak dibekukan. Dan mana-mana lebihan yang sedia ada hendaklah diambil perjalanan yang segera bagi maslahah zakat.  
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Zakat Padi

Tarikh Keputusan: 
18 Sep, 1988
Huraian Tajuk/Isu: 

Zakat Padi

Keputusan: 

Mesyuarat bersetuju menerima kertas kerja mengenai kaedah/cara kutipan zakat padi di daerah Besut yang disediakan oleh Nazir Zakat.
Mengenai cadangan yang dikemukakan di dalam kertas kerja tersebut sebagaimana ""6.1.1' dan '6.1.2' kedua-duanya diterima - iaitu '6.1.1' petani boleh terus mengira kadar padi masing-masing sejak di padang (di sawah) lagi dan mengeluarkan zakat kepada amil kerana para petani boleh mengira kadar zakat yang dikenakan ke atas mereka berdasarkan bilangan guni padi yang dapat dihasilkan, bagi setiap guni sudah dapat ditafsirkan timbangannya kerana Lembaga Padi dan Beras Negara menetapkan pada lazimnya berat timbangan bagi satu guni padi ialah dalam lingkungan 70-60 kilogram sahaja. Amil boleh pula menjual padi zakat tadi kepada petani dan petani kemudiannya bolehlah menjual padi itu kepada Lembaga Padi dan beras Negara sebagaimana petunjuk berikut :-

Petani - Amil - Petani - Lembaga Padi dan Beras Negara.
( Petani dapat subsidi )

'6.1.2' setelah ditentukan kadar zakat padi - petani mengeluarkan zakat padinya kepada amil dan amil boleh terus menjual padi kepada Lembag Padi dan Beras Negara sebagaimana berikut :-

Petani - Amil - Lembaga Padi dan Beras Negara.
(Amil dapat subsidi)

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Pengagihan Asnaf-Asnaf Zakat

Tarikh Keputusan: 
11 Jun, 1988
Huraian Tajuk/Isu: 

Laporan berhubung dengan perjalanan pengagihan Asnaf-Asnaf Zakat

Keputusan: 

1. Jawatankuasa yang bersidang pada hari ini bersetuju bahawa zakat hendaklah dibahagikan mengikut Asnafnya sebagaimana yang ditentukan oleh Al-Quran.

2. Setiap Asnaf hendaklah dibahagi-bahagikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya menurut cara yang digariskan oleh syarak.

3. Adalah difahamkan bahawa terdapat di antara Asnaf Zakat ada berbaki. Maka kemasukan wang baki itu ke dalam Wang Kumpulan Majlis dan dijadikan Wang Kumpulan perlu dikaji semula.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Kadar emas dijadikan perhiasan

Tarikh Keputusan: 
29 May, 1988
Huraian Tajuk/Isu: 

Kadar/had emas dijadikan perhiasan

Keputusan: 

Mesyuarat bersetuju bahawa kadar/had emas yang dijadikan perhiasan atau pakaian yang diharuskan dikenakan zakat apabila memenuhi syarat-syarat dan melebihinya had yang sepatutnya pada "uruf orang yang setanding atau sepadan dengannya. Adapun emas perhiasan atau pakaian yang tidak diharuskan yakni yang makruh atau haram maka apabila sampai 20 mithqal atau lebih wajib dikeluarkan zakat dengan syarat-syaratnya.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Wang zakat (Asnaf fakir/miskin)

Tarikh Keputusan: 
21 Feb, 1988
Huraian Tajuk/Isu: 

Kertas kerja skim bantuan bulanan pembahagian wang zakat (Asnaf fakir/miskin) untuk mendapatkan nas-nas yang membolehkan skim ini dilaksanakan

Keputusan: 

Jawatankuasa telah membuat keputusan bahawa zakat fitrah dan padi hendaklah dibahagikan secara sekaligus dan dengan seberapa segera yang dapat kepada yang berhak menerimanya manakala zakat selain dari keduanya bolehlah diagihkan kepada mereka yang berhak menerimanya sama ada dengan cara sekaligus atau dengan cara bulanan bilamana difikirkan cara tersebut sesuai.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Hukum Pelaburan keatas SwissCash Mutual Fund

Tarikh Keputusan: 
30 May, 2007
Keputusan: 

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang bersidang pada hari ini bersetuju dengan Fatwa yang telah diputuskan oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-77 pada 20-21 April 2007 bahawa: Hukum Skim Pelaburan SwissCash Mutual Fund dan seumpamanya adalah haram kerana mengandungi unsur riba dan akad mudharabah yang rosak syaratnya.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Wang pampasan

Tarikh Keputusan: 
10 Apr, 1995
Huraian Tajuk/Isu: 

Adakah menjadi pesaka dan waris-waris lain berhak mendapatnya.

Keputusan: 

Majlis berpendapat wang tersebut tidak dianggap pesaka atau tarekah yang wajib dibahagikan kepada waris-waris menurut hukum faraid. Wang tersebut adalah merupakan hadiah kepada ahli dan anak-anak simati yang masih kecil atau siapa-siapa waris yang lain menurut yang ditetapkan dalam undang-undang/peraturan kerana itu adalah sebagai bantuan sementara kepada mereka itu supaya terlepas dari penderitaan selepas mati penangung utama dalam keluarga itu. Tidaklah berhak waris-waris yang lain menuntut apa-apa bahagian daripadanya.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Pandangan mengenai Kasim Ahmad dan bacaan Al-Quran oleh Osman Ali

Tarikh Keputusan: 
15 Jul, 1995
Keputusan: 

Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu yang bersidang hari ini telah berbincang mengenai gerakan menolak hadis dan ' JAM' yang ditaja oleh Kasim Ahmad dan juga bacaan ' terjemahan' quran oleh Osman Ali seorang rakyat Singapura. Perkara tersebut telah menimbulkan kekeliruan dan keluh kesah di kalangan masyarakat Islam serta mengancam akidah Islam, oleh itu perkara ini hendaklah dibincangkan dengan meluas oleh pusat Islam untuk diambil tindakan sewajarnya.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Senarai Bahan-Bahan Penerbitan Al-Arqam Yang Digazetkan Haram (Terengganu)

Tarikh Keputusan: 
10 Apr, 1995
Keputusan: 
 
Mesyuarat bersetuju bahan-bahan penerbitan Al-Arqam yang digazet haram oleh Kementerian Dalam Negeri digazet oleh kerajaan bahawa bahan-bahan tersebut adalah haram di negeri ini.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Pengesahan mengenai pengamalan Tarekat Naqsyanbandiyah Khalidiah

Tarikh Keputusan: 
26 Nov, 2002
Huraian Tajuk/Isu: 

Permohonan mengadakan Muzakarah dan mendapatkan pengesahan mengenai pengamalan Tarekat Naqsyanbandiyah Khalidiah

Keputusan: 

Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa Muzakarah mengenai pengamalan Tarekat Naqsyanbandiyah Khalidiah, tidak perlu diadakan dan surat pengesahan mengenainya tidak dikeluarkan.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Pohon Fatwa : Mahu tarik balik

Tarikh Keputusan: 
22 Apr, 2004
Keputusan: 

Setelah meneliti dan mengkaji permasalahan berkaitan wakaf dan pewakafan tanah untuk kemaslahatan masjid, tanah perkuburan dan sebagainya, mesyuarat bersetuju tidak boleh ditarik balik samada pewakaf itu sendiri ataupun pewarisnya.

Mesyuarat juga berpendapat bahawa pemilikan apabila diwakafkan kepada masjid atau tanah perkuburan, ianya berfaedah menjadi hak Allah secara langsung dan tidak boleh ditarik balik.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Penggunaan jubin yang tertera kalimah

Tarikh Keputusan: 
18 Jul, 2006
Keputusan: 

Mesyuarat membuat keputusan bahawa : peringatan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang bersidang pada 23 Rabiul Akhir 1427 bersamaan 21 Mei 2006 butiran 3.4 dipinda dan adalah menjadi seperti berikut : bahawa kalimah Allah atau lain-lain perkataan yang berkaitan dengan ajaran Islam tidak boleh dibuat hina atau diperbuat sebagai menghinanya. Termasuklah dalam ertikata perbuatan membuat hina kepada Allah ialah menulis ; mengukir ; atau menggambarkan kalimah ' الله ' pada jubin yang akan digunakan pada tempat-tempat yang tidak sesuai dan hina pada pandangan Islam.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Fatwa Terhadap Usaha-Usaha Menghidupkan Semula Al-Arqam

Tarikh Keputusan: 
29 Nov, 2006
Huraian Tajuk/Isu: 
Sighah Fatwa terhadap usaha-usaha menghidupkan semula Al-Arqam melalui : 'Syarikat Rufaqa" Corporation Sdn.Bhd.' (SRC) dan syarikat gabungannya
 
Keputusan: 
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang bensidang pada hari ini bersetuju dengan Sighah daripada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majilis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke 75 yang bertarikh pada 12 September 2006.
 
Keputusan Mesyuarat
Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu
Kali Keenam Penggal Ketujuh
Bertarikh 8 Zulkaedah 1427
bersamaan 29 November 2006

Usaha-usaha Menghidupkan Semula Al-Arqam Melalui Syarikat Rufaqa" Corporation Sdn. Bhd. (SRC) Dan Rangkaian Syarikat Gabungannya

1. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ajaran dan pegangan yang dibawa dan disebarkan oleh ahli jamaah Syarikat Rufaqa" Corporation Sdn.Bhd (SRC) dan rangkaian syarikat gabungannya mengandungi fahaman-fahaman yang menyamai Kumpulan Al-Arqam yang telah diharamkan. Ahli jamah SRC juga didapati mengamalkan ajaran dan pegangan baru yang telah menyeleweng daripada ajaran Islam. Penyelewengan-penyelewengan tersebut adalah seperti berikut :

a) Kesalahan Yang Bercanggah Dengan Aqidah Ahli Sunnah Wal -Jamaah adalah berdasarkan kepercayaan bahawa -

(i) Haji Ashaari bin Muhammad adalah Sahibul Zaman (Mujaddid), manakala Syeikh Muhammad al-Suhaimi pula sebagai Imam Mahdi.

(ii) Haji Ashaari bin Muhammad mempunyai kelebihan meramal dan mengetahui perkara yang akan berlaku pada masa hadapan. Setiap ramalan tersebut dianggap oleh ahli jamaah SRC sebagai sebahagian daripada jadual Tuhan untuk memberi kemenangan kepada mereka.

(iii) Haji Ashaari bin Muhammad mendapat ilmu secara langsung daripada Syeikh Muhammad al-Suhaimi dan Rasulullah s.a.w berkenaan perkara yang akan berlaku pada masa hadapan.

(iv) Mujaddid atau Sahibul Zaman (Haji Ashaari bin Muhammad) mendapat ilmu terus dari Allah (ilham, ilmu ladduni atau kasyaf) yang meliputi soal agama, dunia, hal ehwal semasa, pemerintahan, bina insan dan lain-lain. Ilham dari Tuhan datang kepadanya seperti air sungai yang mengalir.

(v) Ahli jamaah yang banyak menghayati minda Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) dan dapat pula melaksanakannya adalah orang yang paling kuat hubungan mental dengan Abuya.

(vi) Minda Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) itu sebenarnya wahyu dari Tuhan. Bagaimanapun, wahyu yang diturunkan kepada Abuya adalah 1/46 daripada kenabian.

(vii) Allah hendak mengangkat kembali Islam di akhir zaman dengan menghantar Sahibul Zaman (Haji Ashaari bin Muhammad), Imam Mahdi (Syeikh Muhammad al-Suhaimi) dan Nabi Isa a.s yang telah tersedia oleh Allah untuk melaksanakan jadual Tuhan.

(viii) Minda Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) difahami sebagai intisari Quran dan Hadith dan Abuya adalah orang Tuhan yang berupaya menyampaikan intisari tersebut kepada pengikutnya untuk diamalkan. Dengan itu, tidak perlu lagi merujuk kepada Quran dan Hadith kerana minda sudah lengkap.

(ix) Perjuangan ahli jamaah SRC dibantu dan dilindungi oleh para Rijal Ghaib yang terdiri daripada malaikat, jin Islam dan roh-roh muqaddas (roh suci para ahli jamaah yang telah meninggal dunia).

(x) Bertawassul kepada Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) ketika mengahadap sesuatu kesulitan atau kecemasan, Abuya akan menghantar bantuan samada menggunakan jin Islam atau dengan karamahnya.

(xi) Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) adalah manusia yang hebat. Malahan, lebih hebat daripada kita mempunyai 10 orang ibu dan ayah kerana menurut mereka hubungan dengan ibubapa hanya terbatas di dunia, sedangkan dengan Abuya kekal sehingga ke akhirat.

(xii) Allah akan memberitahu Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) tentang musibah sakit yang dialami oleh ahli jamaah SRC. Sekiranya sakit tersebut tidak tertanggung oleh ahli jamaah, Abuya boleh meminta agar Allah meringankan derita pada kadar yang mampu ditanggung oleh ahli jamaah.

(xiii) Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) mempunyai kelebihan untuk menangguhkan ajal sekiranya ahli jamaah yang sampai ajal itu masih banyak dosa.

(xiv) Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) boleh meminta Allah menggantikan ajal kepada ahli jamaah lain yang telah sempurna iman dan taqwa.

(xv) Sewaktu ahli jamaah sedang nazak, Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) akan hadir dan berada di sebelah kanan kepala dengan mengajar talkin, Dengan itu, syaitan tidak akan menyesatkan ahli jamaah berkenaan.

(xvi) Sewaktu ahli jamaah sedang disoal oleh malaikat di alam kubur, Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) akan datang menemani dan menjawab soalan malaikat bagi pihak ahli jamaah. Dengan itu, ahli jamaah berkenaan terlepas seksaan kubur.

(xvii) Sewaktu di padang mahsyar, Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) menunggu-nunggu untuk memberikan syafaat kepada para pengikutnya.

b) Kesalahan Yang Bercanggah Dengan Syariah Islamiyyah adalah berdasarkan kepada kepercayaan bahawa : -

(i) Ibadat sembahyang Jumaat pada mereka adalah tidak wajib kerana kerajaan yang ada sekarang bukan kerajaan Imam Mahdi. Apabila Imam Mahdi muncul dan membentuk kerajaan barulah ibadat sembahyang Jumaat menjadi wajib.

(ii) Sahibul Zaman (Haji Ashaari bin Muhammad) tidak memerlukan kitab dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ilmunya datang terus dari Allah dalam bentuk ilham.

(iii) Orang yang berjuang dengan mempunyai minda Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) adalah lebih tinggi pahala dan darjatnya jika dibandingkan dengan mereka yang tidak mempunyai minda Abuya dalam perjuangan.

(iv) Seorang ahli ibadah ("Abid) hanya mampu menjadi hamba biasa kerana tidak mempunyai minda setaraf dengan wahyu dan tidak boleh menjadi khalifah.

(v) Quran yang ada sekarang hanya tinggal mashaf dan lafaz sahaja. Roh Quran telah ditarik balik oleh Tuhan dan hanya diberikan kepada mujaddid (Haji Ashaari bin Muhammad).

(vi) Sembahyang sehari semalaman hanya tiga waktu sahaja iaitu Subuh, sembahyang jamak Zohor dan Asar serta jamak Mahgrib dan Isyak.

(vii) Segala amalan baik di dunia tidak dapat menandingi amalan pengikut Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) walaupun seseorang itu sembahyang, berpuasa dan berpuluh kali menunaikan ibadat haji.

(viii) Duduk semajlis dengan Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) pahalanya lebih tinggi daripada mengerjakan sembahyang selama 40 tahun atau sembahyang tahjud sepanjang hayat.

(ix) Beramal dengan Aurad Muhammadiah sebagai satu cara untuk menjaga hubungan hati atau rohani dengan Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad). Dengan mengamalkan Aurad Muhammadiah, ahli jamaah akan sentiasa dipantau dan dibimbing secara rohaniah oleh Abuya.

(x) Amalan Aurad Muhammadiah akan terbatal sekiranya ahli jamaah melakukan dosa besar, tidak mengamalkannya tujuh hari berturut-turut, tidak taat dan yakin serta mengaibkan Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad).

(xi) Mengamalkan zikir agung (الذكر الأعظم ) yang terkandung di dalamnya unsur tasawwul, menyeru roh orang yang telah mati serta mendakwa al-Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Suhaimi sebagai Imam Mahdi.

c) Kesalahan Yang Bercanggah Dengan Akhlak Dan Etika Bermasyarakat adalah berdasarkan kepada kepercayaan bahawa :-

(i) Ulama yang ada sekarang adalah ulama kitab atau ulama hafalan yang bergantung kepada kitab dan hafalan untuk mengajar. Manakala Sahibul Zaman pula, ilmunya datang terus dari Tuhan.

(ii) Orang yang menuntut ilmu agama sehingga ke peringkat Ph.D adalah tidak bermanafaat kerana ilmu yang dituntut itu bersumberkan kitab lama dan ketinggalan zaman.

(iii) Ilmu para ulama sekarang dengan mendakwa ilmu mereka tidak setanding dengan ilmu orang Tuhan (Haji Ashaari bin Muhammad).

(iv) Allah melarang ulama yang berwatak Nabi berjuang melainkan setelah munculnya mujaddid yang berwatak Rasul.

2. Berdasarkan kepada penyelewengan tersebut, Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu telah bersetuju memutuskan bahawa ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa dan dipegang oleh ahli jamaah Syarikat Rufaqa" Corporation Sdn. Bhd (SRC) dan rangkaian syarikat gabungannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.

3. Oleh yang demikian, Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu mengambil keputusan bahawa :

(i) mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang menjadi ahli jamaah atau pengikut Syarikat Rufaqa" Corporation Sdn. Bhd. (SRC) dan rangkaian syarikat gabungannya adalah mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam;

(ii) mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang menjadi ahli jamaah atau pengikut Syarikat Rufaqa" Corporation Sdn. Bhd. (SRC) dan rangkaian syarikat gabungannya dengan berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian, perubatan, pembinaan, pertanian, perladangan, telekomunikasi, atau apa-apa aktiviti lain yang berhubungkait dengan SRC dan apa-apa ajaran yang mempunyai unsu-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman kumpulan al-Arqam, adalah mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam ;

(iii) mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan, atau syarikat yang cuba menghidupkan kembali ajaran dan fahaman Kumpulan al-Arqam sama ada melalui Syarikat Rufaqa" Corporation Sdn.Bhd. (SRC), rangkaian syarikat gabungannya atau mana-mana pertubuhan, persatuan, atau syarikat yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman Kumpulan al-Arqam adalah mengamalkan ajaran, pegangan fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam;

(iv) mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan, atau syarikat yang mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang disebut di dalam subperenggan 3(i), (ii) dan (iii) adalah mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah;

(v) apa-apa variasi, versi, bentuk, atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman Kumpulan al-Arqam dan ajaran, pegangan, atau fahaman ahli jamaah SRC atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman kumpulan baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman Kumpulan al-Arqam dan ahli jamaah SRC adalah bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng daripada ajaran Islam; atau

(vi) apa-apa jua bahan publisiti yang menonjolkan atau menghidupkan ajaran Kumpulan al-Arqam dan ajaran, pegangan, atau fahaman ahli jamaah SRC atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman kumpulan baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman Kumpulan al-Arqam dan ahli jamaah SRC dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan adalah diharamkan.
 

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Tapak Masjid Kristal di Pulau Wan Man

Tarikh Keputusan: 
18 Jul, 2006
Keputusan: 

Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa Masjid Kristal di Pulau Wan Man itu hanyalah bertaraf Ghairu Jamek (Masjid yang mana tidak boleh didirikan Jumaat padanya).

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Cadangan Pembesaran Masjid Raja Bukit Besar Kuala Terengganu

Tarikh Keputusan: 
21 May, 2006
Keputusan: 

Mesyuarat membuat keputusan bahawa : Adalah dipersetujui cadangan pembesaran Masjid Raja Bukit Besar dengan syarat perkakas atau alatan yang diwakafkan dikekalkan menjadi sebahagian daripada bangunan masjid dan mana-mana bahan dari perkakas atau alatan itu yang tidak boleh digunakan boleh dijual dan hasilnya dikembalikan kepada masjid.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Memindahkan kubur orang Islam di atas Tanah Lot 3244 Mukim Kuala Dungun

Tarikh Keputusan: 
20 Sep, 2006
Huraian Tajuk/Isu: 

Pohon kebenaran memindahkan kubur orang Islam di atas Tanah Lot 3244 Mukim Kuala Dungun

Keputusan: 

Mesyuarat membuat keputusan bahawa: Adalah diberi kebenaran memindahkan kubur orang Islam di atas Lot 3244 Mukim Kuala Dungun, dengan syarat proses pemindahan mayat berkenaan itu ke Perkuburan Islam yang lain dilakukan oleh orang yang benar-benar beramanah dan meraikan si mati serta dipantau oleh Pegawai Agama Daerah. Kaedah menggali mayat hendaklah tidak dilaksanakan oleh jentera tetapi hendaklah dilaksanakan oleh manusia dengan menggali pada sekeliling mayat bukan di atas mayat supaya struktur asal fizikal mayat terpelihara dan tanah yang mana mayat berada hendaklah diambil bersekali.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Cadangan pembesaran tempat letak kereta di bangunan Wisma Darul Iman

Tarikh Keputusan: 
18 Jul, 2006
Huraian Tajuk/Isu: 

Pohon pandangan mengenai cadangan pembesaran tempat letak kereta di bangunan Wisma Darul Iman

Keputusan: 

Mesyuarat membuat keputusan bahawa : Bersetuju mengekalkan Garis Panduan yang sedia ada sebagai penyelesaian sementara. Garis Panduan yang dipersetujui itu adalah seperti berikut :

(1) Tanah perkuburan yang diwakafkan atau tanah musabbalah ertinya tidak diketahui siapa yang mewakafkan tanah itu, tetapi penduduk di situ sejak zaman berzaman menanam mayat keluarga mereka di situ, maka hukumnya seperti tanah wakaf juga, iaitu perkuburan itu tidak boleh digali atau dibongkar atau dialih kelain tempat, kecuali darurat atau merbahaya.

(2) Perlu dimaklumkan, bahawa tanah-tanah perkuburan yang diwakafkan yang sudah tidak ditanam lagi mayat di situ, dan dianggarkan segala saki baki mayat di dalamnya telah hancur menjadi tanah, maka bolehlah perkuburan itu dibaikpulih iaitu dipagar dengan elok dan ditanam pokok bunga hiasan dengan kawalan yang elok, dan boleh juga diletak tempat duduk untuk tempat berehat-rehat ditepinya.

(3) Baikpulih adalah seperti berikut :

(a) Dibersihkan kawasan perkuburan dan dipagar dengan elok.

(b) Ditanam pokok-pokok bunga yang renek atau rendah, setinggi dua atau tiga kaki sahaja.

(c) Kawasan tanah perkuburan wakaf tidak boleh digali, tidak boleh dibina tandas, longkang atau dibuat tempat membakar sampah di atas kawasan tanah perkuburan itu.

(d) Boleh dibuat jalan pintas di atas perkuburan itu untuk pejalan kaki melintas ke sebelah sana, tanpa digali atau dikorek lebih dari satu kaki. '

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Upacara Akad Nikah

Tarikh Keputusan: 
26 Sep, 2007
Keputusan: 
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa: Bersetuju mengesyorkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu bahawa: Hantaran hendaklah tidak dibawa ke dalam masjid semasa upacara akad nikah, yang perlu dibawa hanyalah maskahwin sahaja.
 
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Penggunaan ayat-ayat suci Al-Quran dan laungan azan dalam nada dering dan paparan skrin di dalam telefon bimbit

Tarikh Keputusan: 
30 May, 2007
Huraian Tajuk/Isu: 

Hukum penggunaan ayat-ayat suci Al-Quran dan laungan azan dalam nada dering dan paparan skrin di dalam telefon bimbit

Keputusan: 

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang bersidang pada hari ini bersetuju dengan Fatwa yang telah diputuskan oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-77 pada 20-21 April 2007 bahawa: Hukum penggunaan ayat-ayat suci Al-Quran dan laungan azan dalam nada dering dan paparan skrin di dalam telefon bimbit adalah harus.
Walau bagaimanapun, pengguna telefon bimbit hendaklah sentiasa menjaga kesucian Al-Quran seperti tidak membiarkan deringan Al-Quran atau laungan azan ketika berada di dalam tandas.

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Bahan masjid/surau yang diroboh

Tarikh Keputusan: 
30 Jul, 2000
Huraian Tajuk/Isu: 

Bahan masjid/surau yang diroboh : Apakah yang harus dilakukan

Keputusan: 

Kertas disediakan oleh Y.Bhg. Dato" Dr. Saleh bin Ismail dan Y. Bhg. Ustaz Talib bin Abdul Rahman.

Setelah mengamati dan membahas dengan teliti kertas ini mesyuarat bersetuju dengan keputusan-keputusan berikut :
i. Menerima kertas ini dengan beberapa pembetulan dan pindaan.
(lihat lampiran 'Ba').
ii. Terima kasih dan tahniah kepada penulis.

Sehubungan dengan isu perobohan masjid/surau, mesyuarat turut membangkitkan tentang beberapa masalah yang sering timbul sekitar proses pembinaan masjid/surau dan perobohannya.

Dari segi pembinaan masjid/surau baru terdapat kes-kes masjid/surau dibina sebelum mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya.

Sungguhpun masalah ini telah cuba diatasi dengan memberi peringatan khusus kepada pihak-pihak yang terlibat dengan perancangan dan perancangan adan proses pembinaan masjid melalui Pekeliling Jabatan Hal Ehwal Agama Bil.(92)JHEAT.01/-001/5 bertarikh 9 Jun 1991 bersamaan 26 Zulkaedah 1411 mengenai 'Meroboh/membina masjid baru (termasuk surau)', tetapi peringatan, seperti ini, ternyata tidak begitu berkesan.

Oleh itu bagi menghindari masalah ini dari terus berlaku dan juga bagi menjamin kelicinan proses pembinaan masjid/surau baru termasuk ditahap memerlukan kelulusan Pesuruhjaya, mesyuarata bersetuju memanjangkan cadangan kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu supaya mewujudkan satu Jawatankuasa Perancang Pembangunan Masjid/Surau Peringkat Negeri.

Keanggotaan jawatankuasa ini membabitkan pihak kepimpinan tertinggi negeri dan agensi yang terlibat dengan proses perancangan pelaksanaan dan pembangunan masjid termasuk Jabatan Mufti.

Berhubung dengan perubahan dan perombakan masjid/surau, mesyuarat juga membincangkan tentang beberapa masalah hukum syarak yang timbul sekitar cara-cara mengurus bekas tapak dan bahan-bahan masjid/surau berkenaan. Biasanya bahan-bahan itu terdiri daripada berbagai jenis dan bentuk samada kayu, batu, kaca dan sebagainya termasuk perkakas atau peralatan tertentu samada masih boleh diguna pakai atau sebagainya.

Bagaimana dan apakah langkah-langkah yang perlu diambil terhadap bahan-bahan itu mengikut hukum syarak. Samada dijual, disimpan, dipakai semula, diubahsuai, dipindah dan sebagainya.

Bagi mengatasi masalah ini, mesyuarat bersetuju supaya majlis mewujudkan satu jawatankuasa khas yang bertugas menilai bahan-bahan berkenaan secara khusus mengikut keadaan kes.

Jawatankuasa ini bertanggungjawab memberi panduan kepada pihak-pihak tertentu supaya mengambil langkah-langkah atau tindakan sesuai degan hukum syarak yang berbangkit dari masa ke semasa.

Lampiran 'Ba'

Bahan masjid/surau yang diroboh : Apakah yang harus dilakukan?

Kertas disediakan oleh Y.Bhg. Dato" Dr. Saleh bin Ismail dan Y. Bhg. Ustaz Talib bin Abdul Rahman.
**************************************************************************************

Muqaddimah :

Masjid adalah termasuk di dalam kumpulan harta wakaf yang ditentukan untuk kegunaan kumpulan tertentu di dalam masyarakat. Ini bererti masjid adalah kepunyaan atau milik semua umat Islam.

Definisi Wakaf :

Wakaf adalah menahan suatu harta yang boleh/sah digunakan dari penguasaan pemilikan untuk tujuan menggunakannya di jalan yang diharuskan oleh syarak.

Jenis Wakaf :

Oleh kerana wakaf harta untuk dijadikan tempat ibadat menyebabkan harta-harta milik masjid tidak tentu pemiliknya. Sebarang urusan ke atas harta wakaf masjid hendaklah didasarkan kepada kepentingan umum dan maslahah mereka. Kecuali bagi harta wakaf yang sudah ditentukan pemiliknya, seperti ia diletakan di bawah nama-nama tertentu.

Pendapat ulama berhubung dengan harta Wakaf :

1. Mazhab Hanafi berpendapat: Bahan-banah masjid ada sifat masjidiinya ia masih kekal sebagai masjid sekalipun tidak diperlukan lagi. Ia tidak boleh dipindah; samada ia dalam bentuk harga atau barang. Ia tidak boleh dipindah kepada masjid yang lain. Manakala Imam Abu Yusuf pula berpendapat : Barang-barang milik masjid berupa hamparan dan almpu-lampu boleh dipindah ke masjid yang lain,

Mengikut pendapat sebahagian dari Mazhab Hanafi pula : Runtuhan masjid yang tidak boleh sewakan lagi dan tidak boleh digunakan untuk dibangunkan semula samada digunakan untuk membuat binaan atau lain-lain, maka ia boleh dijualkan dengan perintah hakam. (pemerintah/pihakberkuasa). Harga dari barang yang dijualkan itu bolehlah dibeli harta wakaf yang lain menggantikan tempat wakaf yang telah dijualkan itu.

Jika harganya tidak digunakan untuk membeli barang-barang tersebut, maka ia bolehlah diserahkan kepada waris yang mewakafkan jika merekaj masih ada. Tetapi jika tidak ada waris yang boleh menerimanya, bolehlah dibahagikan kepada orang-orang fakir.

2. Mazhab Maliki berpendapat : Harta masjid tidak boleh dijualkan berasaskan kepada ijmak ulama" demikian juga Mazhab Syafie berpendapat sepertimana Mazhab Maliki : Bahawa harta masjid tidak dijual. Hanya dalam keadaan perlu (mungkin terdesak) sahaja, harta tak alih (العقار) milik masjid boleh dijual ; seperti keperluan untuk membesarkan atau memperluaskan masjid.

3. Mazhab Hanbali pula berpendapat : Apabila sesebuah masjid tidak diperlukan lagi atas sebab-sebab seperti ia digunakan lagi untuk ibadah sembahyang atau kerana ia sangat sempit unutk pada Jumaat, manakala ia tidak boleh diperbesarkan lagi, atau ianya telah berkecai serta tidak boleh dibangunkan lagi, melainkan dengan cara dijual sebahagian dari harta masjid tersebut. Untuk membangunkan bahagian yang baru pada masjid tersebut jika bahagian-bahagian masjid itu tidak boleh digunaka lagi, maka ia hendaklah dijual.

Apabila harta wakaf dijual, duitnya bolehlah dibeli sesuatu mengikut kehendak waris yang mewakafkannya, samada ia digunakan untuk membeli barang yang sejenis dengan harta yang dijual atau dibeli barang yang lain darinya tetapi kegunaannya samada sepertimana harta yang telah dijualkan itu, kerana harta wakaf tidak boleh diubah selagimana masih boleh diambil faedah darinya.

Tukarganti harta masjid :

Dalam hal menukarganti harta masjid, Imam Ahmad dan lain berpendapat : Jika perlatan dari masjid yang pertama dijual dan pendapatan dari jualannya tersebut digunakan untuk membina masjid yang lebih baik atau selesa maka hukum menjualnya adalah harus. Imam Ahmad membawa hajat Saidina Umar r.a. dan Saidina Uthman r.a. pernah menukarganti atau mengubahsuai masjid di zaman mereka.

Maka dengan ini harus pengubahsuai bangunan harta wakaf dari satu keadaan kepada keadaan yang lain kerana memenuhi keperluan yang jelas.

Ulasan dan pandangan :

Dari pembentangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa terdapat dua kumpulan yang berbeza pendapat berhubung dengan penggunaan harta wakaf masjid.

Pertama : Sebahagian dari Mazhab Hanafi berpendapat bahawa bahan binaan masjid dalam apa keadaan sekalipun masih kekal sifat masjidinnya kerana itu ia tidak boleh dipindah dan ditukarganti. Pendapat ini selari dengan pendapat Mazhab Malikiah di mana meraka berpendapat :
Mengikut ijmak Ulama" bahawa harta wakaf tidak bleh dijual.
Manakala sebahagian dari Mazhab Syafie berpendapat : Bahawa harta wakaf masjid tidak boleh dijual.

Kedua : Imam Ahmad dan lain-lain berpendapat : Bahawa harta masjid dalam keadaan tertentu seperti masjid tidak digunakan lagi kerana terlalu sempit dan tidak boleh diperbesarkan lagi, atau dalam keadaan masjid tersebut telah berkecai seperti tidak boleh dibangunkan lagi melainkan dengan dijual bahannya untuk dibeli dan dibangunkan masjid yang baru, maka ia harus dijual untuk tujuan tersebut, harta dari hualan tersebut boleh dibeli barang yang sama jenis mengikut kehendak waris yang mewakafkannya. Kerana harta wakaf tidak boleh diubah selagi masih boleh diambil faedahnya.

Imam Ahmad berpendapat lagi : Bahawa pemindahan harta wakaf dari satu keadaan kepada keadaan yang lain harus dan boleh dilakukan. Berdasarkan kepada ia pernah dilakukan oleh Saidina Umar r.a. dan Saidina Uthman r.a. Manakala sebahagian dari Mazhab Syafie berpendapat : Dalam keadaan tertentu (terdesak) harta tak alih (العقار) milik masjid boleh dijual seperti untuk membesarkan atau memperluaskan masjid.

Sebahagian dari Mazhab hanafi pula berpendapat : Bahawa runtukhan masjid boleh dijual dengan perintah hakam (pihak berkuasa). Harga dari bahan yang dijual itu dibeli peralatan baru dari jenis manfaat yang bersama, manakala harta wakaf masjid berupa hamparan dam lampu-lampu mengikut pendapat Abu Yusuf ia boleh dipindahkan ke masjid yang lain.

Masjid adalah maslahah umum :

Masjid adalah sesuatu keperluan dan berupa maslahah kepada masyarakat Islam seluruhnya. Tanpa masjid, maka hilanglah syiar Islam dari masyarakat setempat. Masjid dan segala peralatan menjadi hak bersama semua umat Islam. Masjid didirikan adalah untuk kegunaan, kepentingan dan maslahah umat Islam seluruhnya.

Oleh kerana setiap seorang Islam mempunyai hak dan kepentingan ke atas masjid dam hata miliknya. Maka apabila hak mereka terhalang, merekaa berhak mendapatkan semula hak tersebut selagi ada jalan. Beribadah di masjid adalah hak setiap orang yang beriman. Ia wajib diberi dan dibuka peluang kepada mereka yang berhak mendapatkannya.

Oleh itu apabila orang-orang Islam terhalang dari menunaikan sembahyang di masjid kerana sempit atau masjid itu uzur keadaannya sehingga membahayakan keselamatan pada jamaah, maka berusaha untuk membolehkan mereka menunaikan sembahyang berjamaah di masjid menjadi suatu keperluan yang wajib ditunaikan oleh mereka yang bertanggungjawab. Manakala mengabaikannya adalah suatu kesalahan di sisi syarak.

Sekiranya halangan sembahyang di masjid berlaku kerana masjid itu sempit, maka membesarkannya adalah suatu kemestian, sekalipun pembesarannya itu menuntut tukarganti dari yang lama kepada yang baru, dalam keadaan demikian menukarkannya sudah menjadi suatu keperluan yang wajib ditunaikan, kerana ia termasuk di dalam kaedah yang berbunyi 'ما لايتم الواجب إلا به فهو واجب" . Ia juga termasuk di dalam kaedah " لا ضرر ولا ضرار" dan kaedah "الضرورات تبيح المحظورات".

Kesimpulan :

Setelah dilihat pendapat Ulama" berhubung dengan pengendalian harta wakaf masjid serta alasan-alasan yang dibawa oleh mereka, maka kami berpendapat : Bahawa pendapat yang kedua iaitu pendapat Imam Ahmad yang mewakili Mazhab Hanbali dan pendapat sebahagian dari Mazhab Hanafi merupakan pendapat yang lebih jelas dan lebih menepati kepentingan, maslahah dan keperluan umat Islam. Pendapat dan alasan mereka disokong oleh contoh serta amalan yang pernah dilaksanakan oleh dua Sahabat Baginda s.a.w iaitu Saidina Umar r.a dan Saidina Uthman r.a.

Amalan ini diterima dan tidak dibantah oleh para sahabat yang lain. Ia menggambarkan persetujuan pada sahabat di atas tindakan tersebut. Dengan itu kami berpendapat : Bahawa harta wakaf masjid boleh dijual jika perlu dan keadaan mendesak untuk keperluan membesar, memperbaharui dan menyelesaikan sesebuah masjid atas sebab maslahah umat Islam di tempat yang tersebut.
والله اعلم بالصواب۔

Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Syndicate content