Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) bagi kali ke-91 telah diadakan pada 3 hingga 5 Ogos 2010 bertempat di PNB Darby Park Kuala Lumpur. Muzakarah yang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Prof. Tan Sri Dato' Dr. Abdul Shukor bin Hj. Husin ini telah dihadiri oleh Sahibus Samahah Mufti-mufti, Sahibul Fadhilah Timbalan-timbalan Mufti dan Ahli-Ahli yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Pejabat Mufti Negeri Kelantan telah berjaya menganjurkan Wacana Pendidikan Fatwa Peringkat Negeri Kelantan pada 22 Julai 2010 bertempat di Dewan Asma' bt. Abu Bakr, Maahad Muhammadi (P) Jalan Merbau, Kota Bharu Kelantan.
Bahagian Pengurusan Fatwa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ) telah mengadakan Bengkel Penyelarasan Pengurusan Fatwa Jabatan Mufti Seluruh Malaysia pada 27 - 29 Julai 2010 di Bayu Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan. Bengkel ini merupakan kesinambungan kepada bengkel-bengkel penyelarasan pengurusan yang telah diadakan sebelum ini. Pada bengkel kali ini, wakil-wakil dari Jabatan Mufti yang dijemput adalah terdiri dari kalangan Timbalan-Timbalan Mufti serta Pegawai Istinbat dari Jabatan Mufti Seluruh Malaysia.
Pada 20 Julai 2010 bertempat di Bilik Mesyuarat Khas 1, Pejabat Perdana Menteri, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah mengadakan pertemuan dengan YAB Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Hj. Abd. Razak; Perdana Menteri Malaysia. Pertemuan yang lebih menjurus kepada perbincangan isu-isu semasa berkaitan agama dan umat Islam ini diadakan supaya ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ini dapat menyampaikan secara langsung apa jua pandangan kepada YAB Perdana Menteri khususnya mengenai umat Islam.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Pejabat Mufti Negeri Sabah telah berjaya menganjurkan Wacana Pendidikan Fatwa Peringkat Negeri Sabah pada 27 Mei 2010 bertempat di Dewan Sri Kinabalu, Kompleks Tabung Haji, Kota Kinabalu Sabah.